Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS dakwa Israel rancang bunuh perunding kanan Iran
AS dakwa Israel rancang bunuh perunding kanan Iran
AS dakwa Israel rancang bunuh perunding kanan Iran
WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat percaya Israel mungkin merancang membunuh dua pegawai kanan Iran ketika rundingan damai sensitif antara Washington dengan Teheran sedang berlangsung awal tahun ini, menurut laporan yang memetik pegawai semasa dan bekas pegawai Amerika.
Dua tokoh yang dikatakan berada dalam sasaran utama Tel Aviv ialah Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf.
Pegawai Amerika percaya sebarang cubaan membunuh kedua-dua pemimpin itu boleh menggagalkan rundingan gencatan senjata dan menyalakan semula perang antara Iran, Israel dan Amerika.
Kebimbangan Washington memuncak ketika rundingan damai bermula secara serius pada April lalu.
Israel sebelum itu menjadikan pembunuhan pemimpin kanan Iran sebagai strategi utama sejak perang bermula pada 28 Februari lalu menerusi serangan yang membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bersama beberapa pegawai kanan lain.
Serangan itu dilaporkan dilakukan berdasarkan maklumat risikan Amerika.
Ketika Amerika menumpukan serangan terhadap kekuatan tentera laut dan peluru berpandu Iran, Israel pula memberi keutamaan kepada usaha menghapuskan kepimpinan tertinggi Iran bagi menjatuhkan pemerintah tegar negara itu.
Antara tokoh yang terbunuh dalam serangan Israel ialah pegawai keselamatan kanan Iran, Encik Ali Larijani, dan mantan Menteri Luar Iran, Encik Kamal Kharazi.
Kedua-dua mereka dikatakan terlibat dalam rundingan dengan Amerika ketika maut dalam serangan udara Israel.
Laporan itu menyatakan perbezaan matlamat perang antara Amerika dan Israel semakin ketara selepas fasa awal konflik.
Washington mahu mencapai perjanjian damai dengan Iran, manakala Israel didakwa meragui proses tersebut dan mahu perang diteruskan sehingga berlaku perubahan pemerintah di Teheran.
Pegawai Amerika dilaporkan menganggap Encik Araghchi dan Encik Ghalibaf sebagai sasaran sah ketika perang sedang memuncak kerana mereka merupakan pegawai kanan pemerintah Iran.
Namun selepas rundingan damai bermula, Washington percaya sebarang cubaan membunuh kedua-dua pemimpin itu akan memusnahkan proses diplomatik yang sedang dibina.
Menurut beberapa pegawai, Amerika malah meminta negara lain di Asia Barat menyampaikan amaran kepada Iran mengenai kemungkinan Israel menyasarkan dua pegawai terbabit.
Pada Jun lalu, Amerika dan Iran berjaya mencapai satu perjanjian rangka kerja yang membuka semula Selat Hormuz dan menjadi asas kepada rundingan lanjut mengenai program nuklear Teheran.
Bagaimanapun, pegawai dan pengulas di Israel melihat perjanjian itu sebagai kegagalan kerana tidak mencapai matlamat utama perang Israel iaitu menjatuhkan pemerintah Iran, memusnahkan rangkaian proksi Teheran dan melemahkan program peluru berpandu negara itu.
Israel juga bimbang perjanjian tersebut akan membolehkan berbilion dolar kembali mengalir ke Iran sekali gus membantu negara itu membina semula kekuatan tenteranya dengan cepat.
Jurucakap Kedutaan Israel di Washington enggan mengulas mengenai laporan tersebut.
Seorang pegawai Amerika pula berkata rundingan antara delegasi Amerika dengan Iran masih diteruskan dan utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, bersama menantu PresidenTrump, Encik Jared Kushner, mengadakan pertemuan positif di Qatar.
Menurut pegawai itu, Presiden Trump, mahu proses damai “diteruskan sehingga berjaya”.
Laporan Wall Street Journal pada Mac lalu turut mendakwa Israel pernah meletakkan Encik Araghchi dan Encik Ghalibaf dalam senarai sasaran, namun nama mereka sementara waktu dikeluarkan selepas Amerika memulakan rundingan dengan Teheran.
Seorang pegawai Amerika dan seorang pegawai Asia Barat berkata Washington mengetahui sekurang-kurangnya nama Encik Ghalibaf berada dalam senarai sasaran Israel sebelum meminta Tel Aviv supaya tidak mengambil tindakan.
Encik Ghalibaf sendiri dilaporkan hampir terbunuh dua kali dalam konflik dengan Israel.
Menurut tiga pegawai kanan Iran, beliau hampir maut dalam perang selama 12 hari pada Jun 2025 dan sekali lagi dalam konflik tahun ini apabila Israel menyerang mesyuarat rahsia pegawai kanan Iran di sebuah kubu bawah tanah di bawah gunung.
Dalam kedua-dua kejadian itu, beliau berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan.
Seorang anggota Parlimen Iran, Encik Mohsen Zanganeh, memuji keberanian pasukan rundingan Iran yang terus bergerak walaupun berdepan ancaman keselamatan besar.
“Hari ini Ghalibaf, Araghchi dan anggota pasukan rundingan lain mempertaruhkan nyawa mereka walaupun mengetahui ancaman keselamatan yang serius. Itu adalah pengorbanan sebenar, bukan sekadar permainan politik,” katanya kepada media tempatan pada April lalu.
Ketika rundingan berlangsung, Iran turut meningkatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan serangan Israel terhadap pegawai kanan mereka.
Pada April lalu, Encik Ghalibaf dijadual mengunjungi Islamabad untuk bertemu Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance.
Namun pegawai keselamatan Iran bimbang Israel akan menggunakan peluang itu untuk membunuh Encik Ghalibaf atau Araghchi bagi menggagalkan rundingan damai.
Iran kemudian meminta jaminan daripada Amerika melalui Pakistan dan Qatar bahawa Israel tidak akan melancarkan operasi rahsia terhadap delegasi Iran.
Pesawat pejuang Pakistan dilaporkan mengiringi pesawat Iran yang membawa lebih 70 anggota delegasi dari sempadan Iran ke Islamabad dan kembali semula selepas pertemuan tamat.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang ke Teheran, pasukan keselamatan Iran mendakwa menerima maklumat risikan bahawa Israel merancang menyerang pesawat yang dinaiki Encik Ghalibaf.
Menurut mereka, dua pesawat pejuang Israel dikesan memasuki ruang udara Iran dari arah sempadan Iraq.
Penasihat kanan Encik Ghalibaf, Encik Mahdi Mohammadi, mengesahkan insiden itu menerusi media sosial.
Pesawat delegasi Iran kemudian melakukan pendaratan kecemasan di Mashhad sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Teheran melalui jalan darat selama hampir lapan jam.
Walaupun berdepan ancaman keselamatan berterusan, Encik Ghalibaf dan Encik Araghchi terus menghadiri rundingan damai termasuk di Qatar dan Switzerland sepanjang Mei dan Jun lalu. – Agensi berita.
