DOHA: Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan mencapai “kemajuan positif” dalam rundingan tidak langsung yang berlangsung di Qatar, dengan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan selepas upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, berkata rundingan berasingan melibatkan wakil Amerika Syarikat dan Iran bersama pengantara Qatar dan Pakistan berlangsung di Doha pada 1 Julai.

“Pengantara Qatar dan Pakistan menamatkan mesyuarat berasingan dengan perunding Amerika Syarikat dan Iran di Doha hari ini (1 Julai), dengan kemajuan positif dicapai berhubung isu berkaitan Memorandum Persefahaman Islamabad,” katanya menerusi platform X.

Beliau berkata perbincangan itu dibina berdasarkan hasil Sidang Kemuncak Tasik Lucerne sebelum ini dan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan rundingan dalam tempoh terdekat.

“Mesyuarat seterusnya akan dijadualkan secepat mungkin selepas upacara pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran,” katanya lagi.

Upacara pengebumian Khamenei dijadual bermula 4 Julai ini di Teheran.

Delegasi Amerika Syarikat diketuai utusan Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, bersama menantu Presiden Amerika Syarikat, Encik Jared Kushner.

Iran pula diwakili Timbalan Menteri Luarnya, Encik Kazem Gharibabadi.

Rundingan itu bertujuan memperincikan pelaksanaan perjanjian maritim sementara yang dilihat penting bagi membuka jalan kepada perjanjian damai kekal antara kedua-dua negara selepas perang yang tercetus pada Februari lalu.

Menurut laporan media Iran, Encik Gharibabadi berkata satu saluran komunikasi khas akan diwujudkan mulai 2 Julai bagi melaporkan dan merekodkan sebarang pelanggaran memorandum persefahaman antara Teheran dan Washington.

Encik Gharibabadi berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai aset Iran dibekukan, yang menurut Teheran perlu dibebaskan sebagai sebahagian daripada penyelesaian menyeluruh.

Beliau berkata, pegawai kedua pihak turut meneliti penggunaan sebahagian daripada dana awal berjumlah AS$6 bilion (S$7.7 bilion) dan bersetuju supaya barangan keperluan Iran dibeli serta disalurkan kepada negara itu.

Di bawah memorandum yang menghentikan perang antara Iran dan Amerika Syarikat, Washington bersetuju membenarkan akses kepada aset Iran yang sebelum ini dibekukan atau disekat.

Presiden Donald Trump, berkata hubungan antara Washington dan Teheran kini menunjukkan perkembangan baik.

“Kami semakin baik dengan Iran,” katanya kepada wartawan.

“Proses pelucutan program nuklear Iran berjalan dengan baik. Mereka mengadakan mesyuarat yang sangat baik dan kita akan lihat perkembangannya.”

Encik Trump turut berkata Iran telah “berubah jauh” berbanding sebelum ini.

Terdahulu Teheran menafikan dakwaan awal Encik Trump bahawa rundingan itu akan berlangsung secara langsung, dengan jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, menegaskan bahawa Iran tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengadakan rundingan dengan pihak Amerika pada mana-mana peringkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Menurut diplomat Encik Kushner dan Encik Witkoff, tidak menyertai rundingan teknikal itu selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, pada 2 Julai.

Pada 1 Julai, pejabat Amir Qatar memaklumkan Encik Kushner dan Encik Witkoff turut mengadakan pertemuan dengan pemerintah negara itu, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Kementerian Luar Qatar memaklumkan bahawa ketiga pihak membincangkan rundingan Amerika-Iran serta perkembangan semasa di Lebanon.

Zamil bukan pemastautin di Institut Negara-Negara Teluk Arab Cik Anna Jacobs, berkata masih terlalu awal untuk menilai hasil rundingan kerana proses itu masih berada pada peringkat awal dan pelbagai perbezaan pandangan sedang ditangani sama ada secara tertutup mahupun terbuka.

“Isyarat paling positif ialah kedua-dua pihak masih meneruskan penglibatan mereka walaupun berlaku pertempuran minggu lalu,” katanya kepada AFP.

Sejak perjanjian Amerika-Iran dimeterai bulan lalu, kedua pihak terus berbalas serangan di rantau Teluk, sekali gus memperlihatkan cabaran besar untuk menukar gencatan senjata awal kepada penyelesaian yang berkekalan.

Teheran menyasarkan sebuah kapal perdagangan yang didakwa menyimpang daripada laluan yang dibenarkan melalui Selat Hormuz, manakala Pemerintah Pusat Amerika (CENTCOM) memaklumkan pihaknya melancarkan serangan terhadap 10 sasaran ketenteraan Iran.

Iran kemudian membalas dengan menyerang pangkalan tentera Amerika di Kuwait dan Bahrain, tindakan yang mengundang kecaman daripada kedua negara Teluk itu.

Walaupun rundingan menunjukkan perkembangan positif, beberapa isu utama masih menjadi penghalang kepada perjanjian muktamad, khususnya berkaitan status Selat Hormuz dan konflik di Lebanon.

Selat Hormuz kekal menjadi titik paling sensitif dalam rundingan kerana ia merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima penghantaran minyak dan gas asli dunia ketika waktu aman.

Sejak perang tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, Teheran menggunakan kedudukannya di Selat Hormuz sebagai tekanan geopolitik utama yang memberi kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.

Di bawah perjanjian sementara sebelum ini, Iran dan Amerika Syarikat bersetuju membenarkan kapal melalui selat berkenaan tanpa bayaran selama 60 hari.

Bagaimanapun, Teheran menegaskan ia mesti mengawal laluan kapal dan mengenakan bayaran pada masa depan, sesuatu yang ditolak Washington dan beberapa negara Teluk Arab.

Pertikaian itu kembali menjadi perhatian selepas sebuah kapal kontena asing dilaporkan terkandas di Selat Hormuz ketika menggunakan laluan yang menurut Iran tidak diluluskan.

Televisyen negara Iran melaporkan kejadian itu tanpa mendedahkan identiti kapal terbabit.

Insiden berkenaan dilihat sebagai amaran bahawa ketegangan di laluan strategik itu masih belum reda walaupun rundingan damai sedang berlangsung.

Usaha Oman dan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuka laluan baharu berhampiran pantai Oman sebelum ini turut mencetuskan beberapa serangan di Timur Tengah hujung minggu lalu.

Penganalisis melihat rundingan di Doha sebagai langkah penting untuk mengukuhkan gencatan senjata sementara yang dicapai selepas konflik selama beberapa bulan itu menggugat ekonomi dan keselamatan serantau.

Namun, mereka turut mengingatkan bahawa jurang besar masih wujud terutama berkaitan pengaruh Iran di Lebanon, peranan Hezbollah dan masa depan kawalan maritim di Selat Hormuz.

Buat masa ini, kedua-dua pihak dilihat cuba mengekalkan momentum diplomatik sambil mengelakkan ketegangan baharu yang boleh menggagalkan rundingan damai yang masih rapuh. - Agensi berita