Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS halang 27 kapal cuba langgar sekatan di Selat Hormuz
AS halang 27 kapal cuba langgar sekatan di Selat Hormuz
AS halang 27 kapal cuba langgar sekatan di Selat Hormuz
WASHINGTON: Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan telah menghalang 27 kapal daripada memasuki atau keluar dari pelabuhan Iran sejak sekatan dikenakan berhampiran Selat Hormuz kira-kira seminggu lalu.
Menurut Komand Pusat Amerika (Centcom) pada 20 April, tindakan itu merupakan sebahagian daripada operasi penguatkuasaan sekatan maritim yang semakin diperketat di laluan tenaga paling penting dunia itu.
Dalam perkembangan sama, kapal kargo Iran, Touska, telah dilumpuhkan dan dirampas pada 19 April di Teluk Oman selepas didakwa cuba mengelak sekatan tersebut.
Seorang pegawai tentera Amerika berkata pasukan marin kini sedang memeriksa sejumlah besar kontena di atas kapal itu.
“Kami sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kargo kapal tersebut sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat,” katanya.
Menurut pihak tentera, kapal Touska enggan mematuhi beberapa amaran radio yang dikeluarkan oleh kapal perang Amerika.
Kapal pemusnah peluru berpandu, Spruance, kemudian mengarahkan anak kapal Touska supaya mengosongkan bilik enjin kapal itu, sebelum melepaskan tembakan ke arah sistem pendorong kapal Iran itu bagi melumpuhkannya.
Tindakan itu disahkan oleh Centcom dalam satu kenyataan rasmi.
Seorang bekas pegawai kanan tentera laut Amerika, Encik Kevin Donegan, berkata insiden tersebut memberi isyarat jelas kepada kapal lain.
“Mesej sudah jelas, kebanyakan kapal kini tidak lagi berani menghampiri kawasan tersebut,” katanya.
Pegawai tentera Amerika berkata keputusan mengenai nasib kapal Touska akan dibuat selepas pemeriksaan selesai.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan termasuk menunda kapal itu ke Oman atau membenarkannya kembali ke pelabuhan Iran jika keadaan mengizinkan.
Anak kapalnya pula dijangka dihantar pulang ke Iran dalam masa terdekat.
Pihak tentera Iran mengutuk tindakan Amerika itu dan memberi amaran akan bertindak balas.
“Iran akan mengambil langkah yang perlu terhadap tentera Amerika bagi mempertahankan kepentingan negara,” menurut kenyataan yang disiarkan media rasmi Iran.
“Kementerian Luar Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyalahi undang-undang dan ganas oleh ‘tentera pengganas’ Amerika dalam menyerang kapal komersial Iran, Touska, yang berlaku pada Ahad (19 April),” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menggelar insiden itu sebagai satu “bentuk lanun maritim dan tindakan pengganas,” kenyataan itu menegaskan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, serta gencatan senjata selama dua minggu dengan Amerika yang bermula pada 7 April.
Kementerian berkenaan menuntut pembebasan kapal berbendera Iran itu serta anak kapalnya serta keluarga mereka.
“Tanpa ragu-ragu lagi, Iran akan menggunakan semua keupayaannya untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan negaranya, dan untuk memelihara hak serta maruah rakyat Iran,” katanya sambil menegaskan bahawa Amerika bertanggungjawab atas “peningkatan selanjutnya”.
Namun, dakwaan di media sosial mengenai serangan dron Iran ke atas kapal tentera Amerika telah dinafikan oleh Pentagon.
Pegawai tentera Amerika memaklumkan, beberapa kapal lain turut dipantau dengan ketat.
“Kami memantau setiap kapal yang berpotensi melanggar sekatan,” kata Komander Centcom, Laksamana Brad Cooper.
Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, turut menegaskan bahawa tentera Amerika akan menjejaki mana-mana kapal yang membantu Iran.
Walaupun beberapa kapal dilaporkan cuba melalui Selat Hormuz, pergerakan di laluan tersebut kekal hampir terhenti.
Lebih 800 kapal dilaporkan masih terkandas di Teluk Parsi menyusuli ketidaktentuan sekatan oleh kedua-dua pihak.
Beberapa kapal, termasuk kapal kargo Shoja 2, juga berbendera Iran, dilaporkan cuba melintasi selat tersebut sebelum berhenti menghantar isyarat lokasi, manakala kapal lain menukar haluan atau bergerak berhati-hati di sepanjang pantai Oman.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menegaskan bahawa sekatan terhadap Iran akan dikekalkan buat masa ini.
Beliau turut membayangkan bahawa gencatan senjata dua minggu antara kedua-dua negara, yang dijangka tamat pada 22 April, tidak mungkin dilanjutkan.
Dalam masa yang sama, rundingan antara Amerika dengan Iran dijangka berlangsung di Pakistan, walaupun ketegangan di lapangan masih tinggi.
Seorang penganalisis berkata situasi ini menunjukkan risiko konflik yang berterusan.
“Selagi sekatan dan ancaman ketenteraan berterusan, keadaan di Selat Hormuz akan kekal tidak stabil, sekali gus memberi kesan langsung kepada ekonomi global,” katanya. – Agensi berita.
