DUBAI: Trafik perkapalan komersial melalui Selat Hormuz hampir terhenti pada 20 April selepas pembukaan semula yang singkat dan mengelirukan pada hujung minggu, berakhir dengan rampasan pertama kapal Iran oleh Amerika Syarikat.

Kejadian tersebut menunjukkan betapa sukarnya untuk memulihkan aktiviti di selat penting itu yang membekalkan 20 peratus bekalan minyak dunia.

Transit melalui laluan air itu telah banyak berkurangan sejak perang selama tujuh minggu di Timur Tengah, ketika Iran mengetatkan kawalan sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika dan Israel.

Pada 17 April, sekatan itu kelihatan berakhir apabila Iran dan Amerika mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz, menyebabkan harga minyak menjunam dan kapal-kapal bergegas untuk menyeberangi selat itu.

Namun, pembukaan semula selat itu tidak kekal lama.

Menjelang 19 April, tentera laut Amerika telah merampas sebuah kapal kargo Iran di perairan dekat pelabuhan Jask Iran di Teluk Oman ketika ia menuju ke Hormuz – tindakan pertama semasa sekatan dilaksanakan oleh Amerika.

Tindakan itu telah meningkatkan taruhan bagi pemilik kapal yang beroperasi di seluruh rantau Teluk dan sekali gus meluaskan perairan yang dilihat berisiko untuk transit.

Harga minyak kembali melonjak sebagai tindak balas, memandangkan krisis bekalan tenaga nampaknya lebih berpanjangan.

Sebuah kapal tangki, Nova Crest, yang kini berada di selatan pulau Larak dan menuju keluar daripada Selat Hormuz ke Teluk Oman, telah disekat oleh Britain, Kesatuan Eropah dan Switzerland atas penglibatannya dalam perdagangan minyak Russia.

Destinasi kapal itu ialah Khor Fakkan di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Axon I, sebuah kapal pengangkut gas petroleum cecair yang disekat oleh Amerika ketika menuju ke Selat Hormuz daripada Fujairah, menunjukkan Sharjah di UAE sebagai destinasi.

Di sebelahnya ialah kapal tangki minyak jarak sederhana, Starway, yang menandakan Hamriyah di UAE sebagai pelabuhan persinggahan seterusnya.

Gencatan senjata Amerika-Iran dijadualkan tamat pada 21 April.

Tidak jelas sama ada gencatan senjata itu akan dilanjutkan, atau sama ada rundingan mengenainya di Islamabad akan diteruskan. – Agensi berita.