WASHINGTON: Amerika Syarikat menggerakkan kapal induk USS George Washington dari Pasifik menuju ke Timur Tengah bagi menggantikan USS Abraham Lincoln, yang sudah berada di laut lebih 240 hari untuk menyokong operasi ketenteraan dalam perang dengan Iran.

Pergerakan itu dilakukan ketika timbul laporan mengenai masalah bekalan, tekanan terhadap kesihatan mental anak kapal dan kesan penugasan panjang terhadap kira-kira 5,000 kelasi USS Abraham Lincoln.

Beberapa anggota Demokrat di Kongres kini mendesak Pentagon memberi penjelasan mengenai keadaan di kapal berkenaan, meskipun Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, menegaskan laporan mengenai masalah itu telah “disalah gambarkan sepenuhnya”.

USS George Washington meninggalkan pelabuhan Da Nang, Vietnam, beberapa hari lalu sebelum dikesan melintasi Selat Melaka.

Seorang pegawai Tentera Laut Amerika mengesahkan kapal induk itu kemudian berada di Selat Melaka, laluan yang menghubungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi dan membolehkannya bergerak menuju ke Timur Tengah.

The Wall Street Journal sebelum ini melaporkan USS George Washington akan menggantikan USS Abraham Lincoln sebagai satu daripada dua kapal induk Amerika yang ditempatkan di rantau itu.

USS Abraham Lincoln berlepas dari San Diego pada 21 November lalu dan tiba di Timur Tengah pada Januari, sebelum perang Amerika-Iran bermula pada 28 Februari.

Tempoh penugasannya yang pada asalnya dijangka berakhir pada Mei terpaksa dilanjutkan akibat perang dan operasi Amerika di rantau itu.

Tentera Laut Amerika mengakui konflik tersebut mewujudkan persekitaran operasi yang sukar apabila beberapa pusat bekalan tradisional di Timur Tengah terjejas akibat pertempuran.

Keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan dan penghantaran surat serta bungkusan kepada anak kapal USS Abraham Lincoln.

“Pihak kepimpinan mengutamakan bekalan penting untuk misi: makanan terlebih dahulu, kemudian barangan kebersihan dan selepas itu surat,” menurut Tentera Laut Amerika.

Ia menegaskan kelasi kini mempunyai akses kepada air bersih dan pilihan makanan yang sihat.

Senator Connecticut, Encik Richard Blumenthal, yang menganggotai Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, meminta siasatan dilakukan berhubung keadaan di kapal itu.

Dalam surat kepada Encik Hegseth dan Pemangku Setiausaha Tentera Laut, Encik Hung Cao, beliau membangkitkan laporan mengenai kekurangan bekalan asas, pencemaran air, masalah paip, keselamatan dek, gangguan penghantaran surat dan keadaan kesihatan mental anak kapal.

“Penugasan panjang Lincoln amat penting kerana ia berlaku dalam konteks operasi ketenteraan berterusan terhadap Iran dan kemungkinan sejumlah besar aset tentera laut Amerika diperlukan di rantau itu untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Tentera Laut Amerika berkata ia tidak melihat peningkatan dalam kes pemikiran atau percubaan membunuh diri di kapal tersebut, tetapi tidak mendedahkan data atas alasan keselamatan operasi dan privasi pesakit.

Seorang pegawai mengesahkan seorang kelasi USS Abraham Lincoln terjatuh ke laut pada awal Ogos tetapi berjaya diselamatkan dengan cepat, menerima rawatan dan kemudian dipindahkan dari kapal untuk rawatan susulan.

Pegawai itu tidak menyatakan sama ada kejadian tersebut dianggap sebagai percubaan membunuh diri.

Senator Arizona, Encik Ruben Gallego, yang juga mantan anggota Kor Marin, pula merancang membawa delegasi dwipartisan Kongres untuk melakukan lawatan pemantauan ke USS Abraham Lincoln.

Encik Hegseth berkata Pentagon mahu membawa pulang anak kapal USS Abraham Lincoln dan menggantikan kapal induk itu dengan pasukan lain secepat mungkin selepas tempoh penugasannya dilanjutkan berbulan-bulan.

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan bahawa anak kapal USS Abraham Lincoln tidak mendapat bekalan dan sokongan mencukupi sepanjang penugasan mereka.

“Kami memastikan setiap kapal, anak kapal dan kapten menerima segala bekalan serta sokongan yang mampu kami sediakan pada setiap masa,” katanya.

Menurut beliau, tempoh sesetengah penugasan terpaksa dilanjutkan mengikut keperluan operasi.

“Saya amat menghargai pengorbanan para kelasi ini. Mereka menjalankan tugas di laut dalam keadaan mencabar dan mempunyai lebih sedikit peluang untuk singgah di pelabuhan. Apa yang mereka lakukan amat luar biasa,” katanya.

Tekanan terhadap USS Abraham Lincoln mencerminkan cabaran lebih luas yang dihadapi Tentera Laut Amerika akibat penugasan kapal perang yang semakin panjang.

USS Gerald R. Ford pulang pada Mei selepas berada dalam penugasan selama 326 hari, tempoh paling panjang bagi sebuah kapal induk Amerika sejak Perang Vietnam.

Kapal itu turut menyokong perang dengan Iran selepas sebelum itu terbabit dalam operasi Amerika di Caribbean.

USS George H.W. Bush pula berlepas pada 31 Mac dan kini sudah beroperasi di Timur Tengah.

Penugasan panjang bukan sahaja memberi tekanan kepada anak kapal, malah meningkatkan kehausan peralatan, menjejaskan jadual penyelenggaraan dan boleh mengurangkan kesiapsiagaan kapal bagi operasi akan datang.

Mantan Naib Laksamana Tentera Laut Amerika, Encik Mike Franken, memberi amaran bahawa kesannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.

“Apabila penugasan dilanjutkan dan kapal perlu berada di laut melebihi jadual biasa, kesiapsiagaan dan penyelenggaraan akan terjejas,” katanya.

USS Abraham Lincoln memainkan peranan penting sejak perang dengan Iran bermula, termasuk mempertahankan diri daripada serangan peluru berpandu dan dron Iran serta membantu menguatkuasakan sekatan Amerika terhadap pelabuhan Iran.

Sekatan itu dilaksanakan dari 13 April sehingga perjanjian gencatan senjata diumumkan pada pertengahan Jun, sebelum dikuatkuasakan semula pada 15 Julai.

Menurut Markas Pusat Amerika (Centcom), sejak sekatan itu disambung semula, 55 kapal komersial telah diarahkan mengubah haluan, dua dilumpuhkan dan dua lagi dinaiki anggota Amerika bagi memastikan pematuhan.

Belum diketahui bila USS George Washington akan tiba di Timur Tengah dan mengambil alih tugas USS Abraham Lincoln.

Namun, perjalanannya melalui Selat Melaka menunjukkan Washington kini berusaha melakukan pertukaran kapal induk bagi mengurangkan tekanan terhadap anak kapal dan aset tentera laut yang sudah berbulan-bulan beroperasi dalam konflik Iran. – Agensi berita.