Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran saling serang dan tuduh menuduh, ancam perjanjian damai
AS, Iran saling serang dan tuduh menuduh, ancam perjanjian damai
AS, Iran saling serang dan tuduh menuduh, ancam perjanjian damai
DUBAI/WASHINGTON: Iran dan Amerika Syarikat meneruskan serangan di Teluk apabila masing-masing menuduh pihak lain melanggar perjanjian sementara yang ditandatangani kurang dari dua minggu lalu bagi menamatkan perang mereka yang berlangsung selama empat bulan.
Sejurus selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran Amerika mungkin akan “menyempurnakan tugasan secara ketenteraan”, Iran pada awal 28 Jun melancarkan peluru berpandu dan dron ke tapak ketenteraan Amerika di Kuwait dan Bahrain, meneruskan siri serangan yang semakin meningkat.
Pihak tentera Amerika berkata sebelum itu, ia telah menyerang Iran semula, beberapa jam selepas sebuah kapal tangki diserang di Selat Hormuz, laluan pengangkutan tenaga paling penting di dunia, yang telah disekat oleh Iran sepanjang tempoh konflik.
Kedua-dua pihak yang berperang saling menuduh pihak lain melanggar perjanjian yang dicapai dua minggu lalu bagi menamatkan konflik empat bulan itu.
Perjanjian sementara Amerika-Iran yang mengandungi 14 perkara itu bertujuan menghentikan pertempuran yang dimulakan Amerika dan Israel pada 28 Februari, dan membuka semula selat itu kepada perkapalan sambil rundingan mengenai isu yang lebih mendalam seperti program nuklear Iran dimulakan.
Seminggu lalu, satu pusingan rundingan telah diadakan di Switzerland antara Naib Presiden, Encik J.D. Vance dan Pengerusi Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf. Washington turut menangguhkan sekatan ke atas Teheran, namun pertempuran dan tuduhan bertimbal balik kembali memuncak.
“Mungkin akan tiba masanya apabila kami tidak lagi mampu bersikap munasabah, dan terpaksa menyempurnakan secara ketenteraan tugasan yang telah kami mulakan dengan begitu jayanya. Jika itu berlaku, Republik Islam Iran tidak akan wujud lagi!” tulis Encik Trump di media sosial pada 27 Jun.
Perintah Pusat Amerika menyatakan pada 27 Jun bahawa tenteranya menjalankan serangan baharu selepas sebuah kapal tangki berbendera Panama diserang oleh dron Iran pada awal 27 Jun.
Di Iran, Penyiaran Republik Iran Islam (IRIB) berkata pada awal 28 Jun (waktu tempatan), letupan kedengaran di Sirik di selatan Iran, tanpa memberikan butiran lanjut.
“Iran diberi peluang menghormati perjanjian gencatan senjata tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian,” kata Markas Pusat Amerika dalam satu kenyataan.
Ia berkata serangan itu merupakan “tindak balas langsung terhadap pencerobohan Iran yang berterusan ke atas perkapalan komersial” dan menyasar kemudahan pengawasan tentera, komunikasi, pertahanan udara, penyimpanan dron dan pemasangan ranjau Iran.
Seorang pegawai pertahanan Amerika kemudian melaporkan serangan ke atas sasaran Iran telah selesai, jelas Fox News.
Washington berkata sebelum ini, ia menyerang sasaran Iran pada waktu malam. Iran berkata ia bertindak balas pada 27 Jun dengan menyerang sasaran yang berkaitan dengan tentera Amerika. - Reuters.
