Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS henti kongsi risikan dengan Ukraine

Mar 6, 2025 | 1:29 PM
Amerika Syarikat telah menghentikan perkongsian risikan dengan Ukraine, meningkatkan tekanan kepada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Encik Donald Trump dalam mengadakan rundingan damai dengan Russia.
Amerika Syarikat telah menghentikan perkongsian risikan dengan Ukraine, meningkatkan tekanan kepada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Encik Donald Trump dalam mengadakan rundingan damai dengan Russia. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah menghentikan perkongsian risikan dengan Ukraine, kata Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA) Encik John Ratcliffe, pada 5 Mac, meningkatkan tekanan kepada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam mengadakan rundingan damai dengan Russia.

Penggantungan itu, boleh mengorbankan nyawa dengan menjejas keupayaan Ukraine untuk mempertahankan diri daripada serangan peluru berpandu Russia, menyusuli pemberhentian bantuan tentera Amerika kepada Kyiv minggu ini.

Kesemua langkah tersebut menekankan kesediaan Encik Trump untuk bertindak tegas terhadap sekutu ketika beliau beralih kepada pendekatan yang lebih berdamai dengan Moscow berbanding sokongan Amerika yang kuat sebelum ini kepada Ukraine.

Tekanan itu nampaknya berjaya, dengan Encik Trump pada 4 Mac berkata bahawa beliau menerima surat daripada Encik Zelensky yang melahirkan hasrat untuk datang ke meja rundingan.

Sumber yang biasa dengan situasi itu, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata pentadbiran Encik Trump telah menghentikan “segala-galanya”, termasuk menyasarkan data yang digunakan oleh Ukraine untuk menyerang sasaran Russia.

Washington pada 3 Mac menghentikan bantuan ketenteraan kepada Kyiv berikutan mesyuarat di Pejabat Meja Bundar yang menyaksikan perbalahan pada 28 Februari apabila Encik Trump dan Encik Zelensky saling bertikam lidah di hadapan media dunia.

Pertembungan itu menangguhkan pemeteraian perjanjian yang akan memberi hak Amerika kepada pendapatan daripada deposit mineral kritikal Ukraine, yang telah dituntut Encik Trump sebagai bayaran balik bantuan ketenteraan Amerika.

Encik Zelensky berkata pada 5 Mac bahawa terdapat “pergerakan positif” mengenai isu itu dan pegawai dari kedua-dua negara boleh bertemu semula tidak lama lagi.

Rumah Putih berkata ia sedang menimbangkan semula pemberhentian dalam membiayai Ukraine dan perbincangan antara kedua-dua negara mengenai perjanjian mineral sedang berjalan.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Trump berkata pemeteraian itu dijangka berlaku tidak lama lagi dan menjadi langkah pertama dalam rundingan yang lebih panjang antara Ukraine, Washington dengan Russia untuk menamatkan perang.

Kedutaan Ukraine di Washington dan Kementerian Luar Ukraine tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenainya.– Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg