Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump henti bantuan ketenteraan kepada Ukraine

Mar 4, 2025 | 12:41 PM
Foto fail menunjukkan askar Ukraine melepaskan bedilan dari meriam Howitzer, buatan Amerika Syarikat, ke arah tentera Russia di wilayah Kharkiv di Ukraine pada 19 Julai 2023.
Foto fail menunjukkan askar Ukraine melepaskan bedilan dari meriam Howitzer, buatan Amerika Syarikat, ke arah tentera Russia di wilayah Kharkiv di Ukraine pada 19 Julai 2023. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menghentikan buat sementara waktu, semua bantuan ketenteraan ke Ukraine, berikutan perbalahan dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, minggu lalu, kata seorang pegawai Rumah Putih pada 3 Mac.

“Presiden telah menjelaskan bahawa beliau memberi tumpuan kepada keamanan. Kami memerlukan rakan kongsi yang komited kepada matlamat itu juga.

“Kami berhenti sebentar dan menyemak bantuan kami untuk memastikan ia menyumbang kepada penyelesaian,” kata pegawai itu, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Tindakan itu dibuat selepas Encik Trump membatalkan dasar Amerika mengenai Ukraine dan Russia selepas memegang jawatan pada Januari, mengamalkan sikap yang lebih berdamai terhadap Moscow.

Ini selepas berlakunya konfrontasi antara Encik Trump dengan Encik Zelensky di Rumah Putih pada 28 Februari.

Encik Trump telah mengkritiknya kerana tidak cukup berterima kasih atas sokongan Washington dalam perang Ukraine dengan Russia.

Pada 3 Mac, Encik Trump sekali lagi berkata, Encik Zelensky sepatutnya lebih menghargai sokongan Amerika sebagai mengulas laporan agensi berita yang memetik Encik Zelensky sebagai berkata perang “sangat, sangat jauh” daripada berakhir.

“Ini adalah kenyataan terburuk yang boleh dibuat oleh Zelensky, dan Amerika tidak akan bersabar dengannya lebih lama lagi!” tambah Encik Trump menulis dalam platform media sosialnya, Truth Social.

Pada 3 Mac Encik Trump turut mencadangkan bahawa perjanjian untuk membuka sektor galian Ukraine kepada pelaburan Amerika masih boleh dipersetujui walaupun beliau kecewa dengan Kyiv, ketika pemimpin Eropah mencanangkan gencatan senjata dalam perang Russia dengan jirannya itu.

Pemimpin Eropah melahirkan sokongan terhadap Kyiv dalam sidang puncak London pada 2 Mac dan berjanji meningkatkan perbelanjaan keselamatan serta saling bersatu bagi mempertahankan sebarang gencatan senjata di Ukraine.

Pentadbiran Encik Trump melihat perjanjian galian sebagai cara Amerika memperoleh kembali berpuluh bilion dolar yang telah diberikan kepada Ukraine dalam bentuk bantuan kewangan dan ketenteraan sejak Russia menyerang negara itu tiga tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada perjanjian itu tidak akan dicapai, Encik Trump berkata di Rumah Putih: “Tidak, saya tidak fikir begitu.”

Beliau menyifatkan ia sebagai “urusan yang hebat untuk kami jalankan” dan berkata beliau akan memberikan maklumat terkini mengenai situasi pada malam 4 Mac apabila beliau berucap pada sesi bersama Kongres. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg