NEW YORK: Amerika Syarikat dan Iran mengadakan rundingan selama tiga jam di New York pada 22 September dalam usaha terbaru mencari jalan menamatkan perang hampir tujuh bulan antara kedua-dua negara, beberapa jam selepas Presiden Donald Trump memberi amaran mengenai tindakan ketenteraan lebih keras jika persetujuan gagal dicapai.

Encik Trump menyifatkan rundingan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sebagai “sangat baik” dan berkata satu lagi pertemuan dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Wakil khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dan menantu Encik Trump yang juga penasihat presiden, Encik Jared Kushner, mewakili Washington dalam rundingan itu.

Encik Witkoff kemudian menjelaskan bahawa perbincangan dilakukan menerusi pengantara yang berulang-alik antara delegasi Amerika dan Iran, dan bukan sepenuhnya sebagai rundingan langsung antara kedua-dua pihak.

Pertemuan itu penting kerana hubungan diplomatik langsung antara Washington dengan Teheran amat terhad, lebih-lebih lagi sejak perang tercetus pada Februari.

Encik Trump tidak memberikan butiran mengenai perkara yang dibincangkan, tetapi berkata rundingan itu produktif dan terdapat momentum untuk mencapai persetujuan.

“Saya tidak dapat membayangkan mengapa mereka tidak mahu mencapai persetujuan,” katanya kepada wartawan.

Beliau menggambarkan pilihan yang dihadapi Iran sebagai antara mencapai persetujuan yang boleh membuka peluang membangunkan semula negara itu atau berdepan kemusnahan akibat tindakan ketenteraan Amerika.

Nada diplomatik itu muncul hanya beberapa jam selepas Encik Trump menggunakan ucapannya di Perhimpunan Agung PBB untuk memberi amaran keras kepada Iran.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama Washington kekal untuk memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.

Encik Trump turut membayangkan bahawa persetujuan mungkin dicapai selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November, walaupun beliau berkata keputusan pilihan raya itu tidak akan menentukan dasar beliau terhadap Iran.

Pertemuan di New York itu sekali gus membuka semula ruang diplomasi selepas perang yang bermula dengan serangan Amerika dan Israel terhadap Iran pada Februari mencetuskan ketidakstabilan lebih luas di Timur Tengah dan menjejaskan pasaran tenaga dunia.

Perang itu turut menjejaskan perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang sebelum konflik mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia.

Iran kini memberi isyarat bahawa Selat Hormuz boleh dibuka semula dalam tempoh beberapa hari sekiranya Washington mengurangkan tekanan ketenteraan dan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters bahawa Teheran telah menyampaikan cadangan terbarunya kepada Washington menerusi pengantara pada 16 September.

Menurut pegawai itu, Iran boleh membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan negara Teluk dalam tempoh tujuh hari sekiranya tuntutannya dipenuhi.

Laporan media Iran pula menyatakan Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, antara lain menuntut sekatan maritim Amerika ditarik balik dan aset Iran yang dibekukan dikembalikan.

Belum jelas sejauh mana jurang antara kedua-dua pihak dapat dirapatkan dalam perbincangan tiga jam itu.

Iran masih menuntut langkah nyata daripada Washington bagi mengurangkan tekanan ketenteraan dan ekonomi, manakala Amerika menegaskan bahawa sebarang persetujuan mesti memastikan Teheran tidak memperoleh senjata nuklear.

Encik Trump berkata rundingan akan diteruskan dan beliau percaya satu penyelesaian akhirnya dapat dicapai.

Diplomasi di New York turut berlangsung ketika Encik Trump bertemu pemimpin negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang mempunyai kepentingan besar dalam usaha menamatkan konflik dan memulihkan sepenuhnya perkapalan melalui Selat Hormuz.

Negara Teluk berdepan tekanan langsung akibat perang itu kerana sebahagian daripada mereka menempatkan pangkalan tentera Amerika, selain ekonomi rantau tersebut amat bergantung pada keselamatan laluan eksport tenaga.

Pada masa sama, konflik semakin meluas ke Yaman, dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan tekanan terhadap tentera yang disokong Arab Saudi.

Ketegangan itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan laluan tenaga bukan sahaja melalui Selat Hormuz, malah Laut Merah.

Arab Saudi pada 22 September memulakan semula operasi saluran paip Timur-Barat, laluan penting yang membolehkan minyak dihantar ke pantai Laut Merah tanpa melalui Selat Hormuz.

Perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada pasaran tenaga selepas gangguan bekalan membantu melonjakkan harga minyak.

Walaupun rundingan terbaru membawa harapan bahawa saluran diplomatik antara Washington dengan Teheran kembali terbuka, kedua-dua pihak masih memperlihatkan pendirian keras.

Angkatan Tentera Iran menolak ancaman Encik Trump dan memberi amaran bahawa ia bersedia bertindak balas terhadap sebarang serangan baru.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, pula menegaskan bahawa Teheran tidak akan menyerah kepada tekanan Amerika.

Pertemuan tiga jam di New York itu bagaimanapun menunjukkan bahawa di sebalik ancaman terbuka kedua-dua pihak, usaha mencari penyelesaian diplomatik masih berjalan.

Dengan perang terus memberi kesan kepada keselamatan Teluk, ekonomi Iran dan pasaran tenaga dunia, perhatian kini tertumpu kepada rundingan susulan bagi menentukan sama ada pertemuan di New York boleh membawa kepada persetujuan atau sekadar menjadi satu lagi percubaan diplomatik yang gagal menamatkan konflik. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti