TEHERAN/WASHINGTON: Tempoh 60 hari yang diberikan kepada Amerika Syarikat dan Iran untuk merundingkan perjanjian muktamad berakhir pada 17 Ogos tanpa kedua-dua pihak mencapai penyelesaian, sekali gus menyebabkan konflik antara Washington dengan Teheran terus tergantung tanpa perang lebih besar atau perdamaian.

Presiden Donald Trump sebelum ini memberi kedua-dua negara tempoh dua bulan untuk mengubah kerangka yang dipersetujui pada Jun kepada perjanjian lebih menyeluruh bagi menamatkan perang, menangani program nuklear Iran dan membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz.

Namun, memorandum persefahaman yang dimeterai di Islamabad pada 18 Jun itu pada hakikatnya sudah hampir gagal dilaksanakan.

Tiada serangan besar Amerika terhadap sasaran Iran dilaporkan sejak akhir Julai, tetapi ketegangan masih tinggi.

Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz kekal terganggu, sekatan Amerika terhadap minyak Iran dilaksanakan semula dan Washington turut mengenakan kembali sekatan laut.

Pada masa sama, hampir tiada kemajuan ketara dicapai dalam rundingan mengenai program nuklear Iran, yang sepatutnya menjadi antara isu utama dalam tempoh 60 hari tersebut.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Teheran tidak menganggap tamatnya tempoh itu sebagai berakhirnya satu gencatan senjata.

“Tidak ada gencatan senjata 60 hari yang kini perlu dilanjutkan,” katanya.

“Apa yang diumumkan dalam memorandum persefahaman Islamabad ialah berakhirnya perang. Amerika Syarikat melanggar memorandum itu dan konflik kembali berlaku.”

Menurut beliau, tempoh dua bulan berkenaan sebenarnya ditetapkan bagi membolehkan kedua-dua pihak merundingkan penyelesaian muktamad.

Encik Araghchi berkata Qatar dan Pakistan masih menjadi perantara dengan menyampaikan mesej kepada Teheran, tetapi hubungan itu belum boleh dianggap sebagai rundingan aktif.

Iran juga belum membuat keputusan sama ada akan kembali ke meja rundingan dengan Washington.

Pertikaian mengenai Selat Hormuz kini muncul sebagai antara halangan terbesar kepada penyelesaian konflik.

Iran menutup semula laluan strategik itu selepas menuduh Amerika cuba mewujudkan laluan perkapalan alternatif yang tidak dipersetujui di bawah memorandum Islamabad.

Washington pula mahu Iran membuka semula Hormuz sebelum Amerika memenuhi komitmen lain.

Teheran sebaliknya menegaskan Washington perlu terlebih dahulu melaksanakan apa yang menurutnya telah dipersetujui pada Jun, termasuk pembebasan aset Iran yang dibekukan.

Iran turut menetapkan beberapa syarat sebelum rundingan boleh disambung, antaranya serangan terhadap Iran dan sekutunya dihentikan secara kekal, sekatan laut serta ekonomi ditarik balik dan aset Iran yang dibekukan dibebaskan tanpa syarat.

Bekas Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Encik Mohammad-Baqer Zolghadr, sebelum ini menegaskan Hormuz tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga Washington “membetulkan tindakannya”.

Pertikaian itu penting kerana Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling strategik di dunia, dengan kira-kira satu perlima eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia biasanya melalui laluan tersebut.

Kebuntuan itu menyebabkan kedua-dua negara kini terperangkap dalam apa yang disifatkan penganalisis sebagai “permainan ketahanan”, dengan masing-masing berharap tekanan ekonomi dan politik akhirnya memaksa pihak lawan berkompromi.

Pakar Iran dari Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Ali Vaez, berkata kedua-dua pihak masih belum bersedia memuktamadkan perjanjian.

“Kedua-duanya berpendapat dalam beberapa hari atau minggu lagi, pihak satu lagi akan menjadi lebih terdesak untuk mencapai perjanjian dan mereka boleh mendapatkan lebih banyak konsesi,” katanya.

Amerika kini kembali meningkatkan tekanan ekonomi.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Washington sedang menyediakan sekatan kewangan baharu terhadap Iran yang lebih keras berbanding langkah sebelumnya.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa tekanan lebih berat terhadap ekonomi Iran yang sudah terjejas akibat perang dan sekatan boleh mendorong Teheran meningkatkan tindak balas ketenteraan, bukannya berkompromi.

Satu lagi kegagalan besar sepanjang tempoh 60 hari itu ialah ketiadaan kemajuan bermakna mengenai program nuklear Iran.

Memorandum Jun sepatutnya membuka jalan kepada rundingan mengenai isu rumit termasuk pengayaan uranium, selain menawarkan kelonggaran sekatan kepada Iran.

Namun, tumpuan kedua-dua pihak kini semakin beralih kepada pertikaian mengenai Hormuz.

Encik Trump menambahkan ketegangan pada 14 Ogos apabila berkata beliau tidak lama lagi akan “mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat”.

Rumah Putih tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan itu.

Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, segera menolaknya.

“Selat Hormuz adalah milik Iran, milik Iran sekarang dan akan kekal milik Iran,” katanya.

Selepas 60 hari yang sepatutnya membawa Washington dan Teheran semakin hampir kepada perdamaian, kedua-dua pihak sebaliknya masih berdepan kebuntuan.

Serangan besar mungkin mereda buat sementara waktu, tetapi isu Hormuz, sekatan ekonomi dan program nuklear Iran masih belum diselesaikan menyebabkan hubungan kedua-dua negara kekal dalam keadaan tidak berperang sepenuhnya, tetapi juga masih jauh daripada mencapai perdamaian. - Agensi berita