Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS-Iran dilapor terus rundingan, diplomasi dihidup semula selepas serangan balas
AS-Iran dilapor terus rundingan, diplomasi dihidup semula selepas serangan balas
Media Iran lapor hingga 43j hadiri upacara penghormatan, pengebumian Khamenei di Teheran, Qom, Najaf, Karbala dan Mashhad
AS-Iran dilapor terus rundingan, diplomasi dihidup semula selepas serangan balas
WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dilaporkan telah mengesahkan akan meneruskan rundingan teknikal dengan Iran bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang kembali memuncak minggu ini, walaupun kedua-dua negara saling melancarkan serangan udara dan ketegangan terus membelenggu Timur Tengah.
Seorang pegawai kanan Amerika berkata Washington kekal komited terhadap usaha diplomatik bagi mengelakkan konflik menjadi lebih buruk, sambil menyifatkan serangan Iran ke atas kapal dagang di Selat Hormuz sebagai “tindakan keganasan”.
“Kami masih komited kepada rundingan dengan Teheran dan perbincangan teknikal akan diteruskan,” katanya kepada media MS Now dan Al Jazeera.
Beliau berkata memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kedua-dua negara Jun lalu bersifat berasaskan prestasi, namun tindakan Iran sejak beberapa hari lalu dianggap gagal memenuhi komitmen yang dipersetujui.
“Memorandum itu bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak. Tindakan Iran menunjukkan kegagalan memenuhi komitmen pada tahap yang tidak boleh diterima, namun rundingan tetap akan diteruskan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika beberapa negara pengantara berusaha menghidupkan semula saluran diplomatik selepas dua hari serangan balas antara Amerika dan Iran yang mengorbankan sejumlah mangsa serta mengancam kestabilan serantau.
Beberapa hari lalu, tentera Amerika melancarkan serangan baharu ke atas sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.
Susulan itu, Jabatan Perbendaharaan Amerika menarik balik pengecualian sekatan yang sebelum ini membenarkan Iran mengeksport minyak.
Iran pula menuduh Washington melanggar syarat memorandum persefahaman dengan mendakwa Amerika terus mengancam tindakan ketenteraan, melanggar pelarasan yang dipersetujui berkaitan Selat Hormuz serta mengembalikan sekatan terhadap eksport minyak negara itu.
Ketegangan semakin memuncak selepas Presiden Donald Trump, pada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), di Ankara menyatakan bahawa gencatan senjata antara kedua-dua negara telah “berakhir”.
“Saya tidak mahu lagi berurusan dengan mereka (Iran),” katanya.
Bagaimanapun, ketika dalam penerbangan pulang dari Ankara, Encik Trump berkata Iran telah menghubungi Washington bagi mencari jalan menamatkan permusuhan.
“Mereka menghubungi kami tidak lama tadi. Mereka benar-benar mahu mencapai perjanjian. Persoalannya ialah sama ada mereka boleh dipercayai dan akan menghormati perjanjian itu,” katanya.
Walaupun kenyataan Encik Trump dilihat bercanggah dengan pendirian keras beliau sebelum ini, pegawai Amerika menegaskan usaha diplomatik masih diteruskan melalui saluran teknikal.
Perkembangan itu sedikit sebanyak meredakan kebimbangan pasaran tenaga dunia.
Harga minyak mentah Brent bagi penghantaran September susut sedikit kepada sekitar AS$76.30 ($98.20) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$71.87 setong.
Data perkapalan turut menunjukkan semakin banyak kapal tangki gas asli cecair (LNG) kembali menggunakan laluan Selat Hormuz selepas keadaan keselamatan bertambah stabil.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran menamatkan upacara pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, selepas berlangsung selama tujuh hari.
Media Iran melaporkan antara 41 juta hingga 43 juta orang menghadiri siri upacara penghormatan yang berlangsung di Tehran, Qom, Najaf, Karbala dan Mashhad.
Press TV menyifatkan upacara itu sebagai “perarakan pengebumian terbesar pernah disaksikan dunia”.
Upacara rasmi bermula 4 Julai lalu di Kompleks Keagamaan Grand Mosalla di Teheran sebelum jenazah Khamenei dibawa ke bandar suci Qom untuk dikebumikan.
Beberapa tokoh kanan Iran termasuk Speaker Parlimen, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf; Ketua Kehakiman, Encik Gholamhossein Mohseni Ejei dan anak sulung Khamenei, Encik Mostafa Khamenei dilihat hadir pada majlis itu.
Bagaimanapun, anak lelaki beliau yang juga pengganti jawatan tertinggi negara itu, Encik Mojtaba Khamenei, sekali lagi tidak kelihatan di khalayak umum sepanjang istiadat berkenaan.
Pengebumian tersebut berlangsung ketika pertempuran antara Iran dengan Amerika memasuki hari kedua, dengan pegawai Iran melaporkan serangan udara Amerika mengorbankan 17 individu.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah delegasi daripada Hamas, Jihad Islam Palestin, Hezbollah dan kumpulan Houthi dari Yaman.
Allahyarham Khamenei terbunuh lebih empat bulan lalu dalam serangan yang didakwa dilakukan secara bersama oleh Amerika dan Israel ke atas kompleks kediamannya di Teheran.
Penganalisis berpendapat kesediaan Washington meneruskan rundingan walaupun berlaku serangan balas menunjukkan kedua-dua pihak masih belum menutup sepenuhnya ruang diplomasi.
Bagaimanapun, mereka berpandangan rundingan dijangka berlangsung dalam suasana sukar kerana isu utama yang menjadi pertikaian, termasuk program nuklear Iran, keselamatan Selat Hormuz dan sekatan ekonomi Amerika masih belum menemui penyelesaian.
Bagi banyak negara di Timur Tengah, kejayaan rundingan itu penting bagi mengelakkan konflik yang lebih besar, selain memastikan laluan perdagangan dan bekalan tenaga global terus beroperasi tanpa gangguan. – Agensi berita.
