WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran sekali lagi saling melancarkan serangan pada awal 9 Julai, sekali gus meletakkan gencatan senjata yang rapuh di ambang keruntuhan ketika kedua-dua negara saling menuduh melanggar syarat perjanjian yang dipersetujui Jun lalu.

Pertempuran terbaharu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyatakan bahawa beliau percaya gencatan senjata antara kedua-dua negara “sudah berakhir”, walaupun masih membuka ruang kepada rundingan bagi mengelakkan perang berskala penuh.

Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata tentera Amerika melancarkan satu lagi siri serangan ke atas kira-kira 90 sasaran di Iran yang didakwa digunakan untuk menyimpan peluru berpandu, dron serta sistem pertahanan udara.

Menurut kenyataan Centcom, operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam kapal dagang yang melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan sebahagian besar bekalan minyak dan gas dunia.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengumumkan pihaknya telah melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika di Kuwait dan Bahrain.

IRGC memberi amaran bahawa serangan akan diperluaskan ke pangkalan Amerika lain di Asia Barat sekiranya Washington terus melancarkan operasi ketenteraan.

“Jika serangan AS diteruskan, tindakan balas kami akan diperluaskan ke pangkalan-pangkalan Amerika yang lain di rantau ini,” menurut kenyataan IRGC yang disiarkan media pemerintah Iran.

Setakat ini, Kuwait dan Bahrain belum melaporkan sebarang kerosakan besar.

Tentera Kuwait mengesahkan bahawa pihaknya telah bertindak balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu pada awal 9 Julai, namun tidak menyatakan lokasi pelancarannya.

Tentera Bahrain pula memaklumkan bahawa sistem pertahanan negara itu telah berjaya memintas dan memusnahkan beberapa dron serta peluru berpandu yang disifatkan sebagai serangan “khianat” oleh Iran.

Sebelum itu, bunyi pesawat pejuang dilaporkan kedengaran di ruang udara Pulau Kish, Iran, manakala beberapa letupan menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas, Konarak serta Chabahar yang menyaksikan sebahagian kawasan terputus bekalan elektrik pada 8 Julai, lapor agensi berita rasmi Iran, Irna.

Di Iran, pihak berkuasa memaklumkan bahawa serangan Amerika itu turut merosakkan landasan kereta api yang menghubungkan Teheran dengan bandar suci Mashhad.

Kerosakan itu telah menyebabkan perkhidmatan kereta api penumpang tergendala.

Pihak berkuasa kereta api Iran berkata kerja pembaikan sedang dijalankan, manakala penumpang yang terkandas dihantar ke Mashhad menggunakan bas.

Serangan itu berlaku di Mashhad, ketika Iran sedang mengadakan upacara hari terakhir pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan Israel pada hari pertama perang tersebut pada 28 Februari lalu.

Encik Trump berkata serangan di Mashhad itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran menyerang kapal-kapal dagang di Selat Hormuz.

Pada 7 Julai lalu, Washington turut membatalkan pengecualian sekatan terhadap industri minyak Iran yang sebelum ini diberikan sebagai sebahagian daripada perjanjian sementara antara kedua-dua negara.

Ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Turkey pada 7 Julai, Encik Trump ditanya mengenai status gencatan senjata dengan Iran.

“Saya fikir ia sudah berakhir,” katanya.

Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan bahawa pintu rundingan masih terbuka dan tidak menjangkakan perang berskala penuh akan tercetus semula.

Semasa dalam penerbangan pulang dari Turkey ke Washington, Encik Trump turut mendakwa Iran telah menghubungi Amerika bagi membincangkan penyelesaian baharu.

“Mereka menghubungi kami sebentar tadi. Mereka benar-benar mahu mencapai satu perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, Teheran belum mengesahkan sebarang rundingan baharu dengan Washington.

Pertempuran terkini sekali lagi tertumpu di Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Iran menegaskan, perjanjian terdahulu memberikan negara itu kuasa menyelaras pergerakan kapal di Selat Hormuz dan menuntut semua kapal menggunakan laluan yang ditetapkannya.

Sebaliknya, Amerika menuduh Iran berulang kali menyerang kapal perdagangan yang melalui perairan strategik itu.

Ketua perunding Iran,Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menuduh Washington mengingkari janji dan menggunakan pendekatan ugutan.

“Biar jelas, jika anda menyerang, anda juga akan diserang. Selat Hormuz hanya akan dibuka mengikut aturan Iran, bukan ancaman Amerika,” katanya menerusi media sosial.

Ketegangan yang kembali memuncak menyebabkan trafik perkapalan di Selat Hormuz sekali lagi terganggu, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.

Pasaran minyak turut memberi reaksi segera apabila harga minyak mentah Brent turun 1.32 peratus kepada AS$76.99 ($93) setong pada 9 Julai.

Walaupun masih lebih rendah berbanding kemuncaknya ketika perang meletus, harga itu kekal jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$72 setong sebelum konflik bermula.

Penganalisis memberi amaran bahawa jika kedua-dua negara terus meningkatkan serangan, bukan sahaja gencatan senjata akan berkubur sepenuhnya, malah risiko perang lebih meluas di Asia Barat akan kembali meningkat, dengan kesan langsung terhadap perdagangan global dan harga tenaga dunia. – Agensi berita.