WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan terhadap empat isu utama program nuklear Teheran ketika rundingan diteruskan, walaupun gencatan senjata masih rapuh dan ketegangan ketenteraan kembali memuncak di Teluk.

Sumber diplomatik berkata rundingan terbaru itu tertumpu kepada had pengayaan uranium, pemeriksaan antarabangsa, pelonggaran sekatan ekonomi dan masa depan kemudahan nuklear Iran.

Walaupun masih terdapat perbezaan pendapat, kedua-dua pihak dilaporkan sudah mula merangka kemungkinan laluan ke arah perjanjian lebih luas bagi mengelakkan konflik lebih besar di Asia Barat.

Rundingan itu berlangsung ketika pertempuran berselang-seli dan serangan ketenteraan baharu mengancam momentum diplomatik.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menegaskan Washington masih komited terhadap penyelesaian politik, manakala pegawai Iran berkata rundingan akan diteruskan selagi kepentingan nasional dan keselamatan negara itu dihormati, lapor Axios.

Negara pengantara serantau pula terus berusaha memastikan kedua-dua pihak kekal berada di meja rundingan.

Sebelum tercetus semula keganasan terbaru di Asia Barat, pegawai kanan Encik Trump dilaporkan telah berunding dengan Teheran mengenai empat elemen utama perjanjian nuklear yang menurut pegawai Amerika boleh menghentikan program nuklear Iran selama kira-kira 15 tahun.

Menurut pegawai Amerika dan diplomat yang diberi taklimat mengenai rundingan sulit itu kepada The New York Times, perbincangan itu telah berkembang jauh melebihi isu pembukaan semula Selat Hormuz yang hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran selama 101 hari.

Pegawai Amerika menggambarkan rundingan tersebut sebagai “rangka kasar” satu perjanjian, bergantung kepada sama ada Pengawal Revolusi Iran dan ahli politik tegar negara itu menyokong usaha Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.

Namun, masih belum jelas sama ada perkembangan terbaru, termasuk dakwaan Encik Trump bahawa Iran telah menembak jatuh helikopter Amerika Apache berhampiran Selat Hormuz, akan menjejas rundingan tersebut.

Antara isu utama yang sedang dirundingkan ialah penggantungan jangka panjang kegiatan pengayaan uranium Iran.

Amerika sebelum ini menuntut Iran menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium sekurang-kurangnya selama 20 tahun.

Iran pula menawarkan tempoh 10 tahun, namun pegawai Amerika percaya Teheran mungkin bersedia menerima tempoh 15 tahun.

Encik Trump sebelum ini berkata larangan selama 20 tahun masih tidak mencukupi, tetapi ketika pulang dari China pada 15 Mei lalu, beliau memberitahu wartawan bahawa beliau boleh menerima tempoh itu jika ia benar-benar dipatuhi.

Isu kedua ialah agar simpanan uranium diperkaya Iran itu dicairkan.

Menurut dua pegawai Amerika, Washington mahu bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi mencairkan simpanan uranium Iran.

Pegawai Amerika turut membayangkan Washington mahu memainkan peranan aktif dalam pengendalian bahan nuklear itu, sesuatu yang sebelum ini ditolak Iran.

Bagaimanapun, pegawai Iran berkata Amerika hanya akan bertindak sebagai pemerhati.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata sebarang perjanjian mesti meliputi keseluruhan 11 tan uranium diperkaya yang dimiliki Iran, bukan hanya sebahagian kecil bahan yang hampir bertaraf senjata nuklear.

Iran setakat ini belum menyatakan secara terbuka sama ada negara itu bersedia melepaskan keseluruhan simpanan uranium tersebut.

Namun, jika uranium itu dicairkan dan bukannya dihantar keluar negara, pemerintah Iran masih boleh mendakwa mereka mengekalkan pemilikan bahan tersebut.

Isu ketiga ialah desakan Amerika supaya Iran menutup atau meleraikan tiga tapak nuklear utama di Natanz, Fordo dan Isfahan.

Amerika menyerang ketiga-tiga kemudahan itu dalam Operasi Midnight Hammer hampir setahun lalu sehingga menyebabkan kerosakan besar.

Iran dilaporkan bersedia menutup dua kemudahan itu tetapi mahu mengekalkan satu tapak bagi menunjukkan negara itu tidak menyerah hak terhadap apa yang dianggap sebagai “hak untuk mengayakan uranium”.

Perkara itu dijangka menjadi isu sensitif kerana tapak Fordo sebelum ini dikritik hebat dalam perjanjian era Presiden Barack Obama apabila Iran kembali menggunakannya untuk menghasilkan uranium hampir bertaraf bom nuklear.

Isu keempat ialah tuntutan Amerika supaya pemeriksa antarabangsa dibenarkan melakukan pemeriksaan mengejut di mana-mana lokasi di Iran.

Masih belum jelas sama ada Teheran bersedia menerima syarat tersebut.

Banyak tapak nuklear yang disyaki berada dalam pangkalan tentera Pengawal Revolusi Iran, kawasan yang sering ditutup kepada pemeriksa antarabangsa.

Jika Iran bersetuju dengan empat syarat utama itu, ia dianggap kemajuan besar berbanding perjanjian nuklear 2015.

Namun, kejayaan perjanjian itu tetap bergantung kepada kerjasama penuh Iran dalam membenarkan pemeriksa antarabangsa memasuki semua tapak yang disyaki.

Perbincangan itu kini berada dalam keadaan rapuh selepas Iran dan Israel saling berbalas serangan sejak 7 Jun lalu lalu.

Encik Trump turut mendakwa sebuah helikopter Apache tentera Amerika ditembak jatuh berhampiran pantai Oman, walaupun kakitangan pesawat itu berjaya diselamatkan.

Walaupun begitu, Rumah Putih masih optimis bahawa rundingan itu boleh diteruskan dan berharap perbincangan lebih terperinci mengenai pelupusan program nuklear Iran dapat dimulakan di Switzerland menjelang pertengahan Jun ini.

Iran pula terus menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti disertai pembebasan aset Iran bernilai AS$25 bilion ($32.2 bilion) yang dibekukan serta penarikan sekatan ekonomi antarabangsa. – Agensi berita.