WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan berjaya memujuk Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya menghentikan serangan lanjut terhadap Iran selepas ketegangan antara kedua-dua negara hampir mencetuskan semula perang besar di Asia Barat.

Menurut laporan, Encik Trump menghubungi Encik Netanyahu pada pagi 8 Jun dan memberitahu bahawa Washington serta Teheran kini semakin hampir mencapai kejayaan penting yang boleh membuka jalan kepada rundingan jangka panjang mengenai program nuklear Iran.

Panggilan itu dibuat selepas serangan balas antara Iran dengan Israel sejak dua hari lalu menggugat gencatan senjata yang sudah bertahan hampir dua bulan.

Encik Trump sebelum ini berulang kali mendakwa Amerika dan Iran semakin hampir mencapai persetujuan untuk membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan mengenai isu nuklear Iran.

Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin rumit selepas Iran dan Israel saling melancarkan serangan sejak 7 Jun.

Ketegangan bermula apabila Israel melancarkan serangan berhampiran Beirut di Lebanon dengan mendakwa sasaran mereka ialah kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan gelombang peluru berpandu balistik ke arah Israel.

Tentera Israel pula berkata mereka melancarkan dua siri serangan udara ke seluruh Iran pada 8 Jun termasuk menyasarkan kompleks petrokimia terbesar negara itu.

Serangan itu mencetuskan satu lagi gelombang peluru berpandu Iran ke arah kawasan tengah Israel.

Dalam mesej rakaman selepas perbualannya dengan Encik Trump, Encik Netanyahu berkata “tembakan terhadap Iran kini dihentikan”.

Tentera Iran turut mengumumkan mereka menghentikan serangan buat sementara waktu, berdasarkan kenyataan yang disiarkan televisyen negara Iran pada petang 8 Jun.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak memberi amaran mereka bersedia menyambung semula serangan pada bila-bila masa.

Dalam kenyataan awam pertamanya sejak Iran mula melancarkan peluru berpandu ke Israel kira-kira 20 jam sebelum itu, Encik Netanyahu berkata Teheran cuba “mencipta persamaan baharu” melalui serangan balas terhadap Israel susulan operasi ketenteraan Israel di Lebanon.

“Persamaan ini tidak boleh diterima dan saya tidak akan menerimanya,” katanya.

Iran pula menegaskan mereka hanya akan mengekalkan gencatan senjata sekiranya Israel menghentikan serangan terhadap Hezbollah di Lebanon.

Teheran memberi amaran mereka akan menyerang semula jika Israel meneruskan operasi ketenteraan di Lebanon.

Encik Netanyahu turut memberi amaran balas bahawa jika Iran “melakukan kesilapan dengan menyambung semula serangan”, Israel akan bertindak “dengan kekuatan penuh”.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan operasi ketenteraan di Lebanon akan diteruskan tanpa mengira tekanan antarabangsa.

Beliau berkata Israel akan terus menyerang kawasan selatan Beirut yang dikuasai Hezbollah sebagai tindak balas terhadap setiap serangan ke atas utara Israel.

Encik Trump pula dilaporkan semakin kecewa dengan Encik Netanyahu dan sebelum ini menyeru kedua-dua pihak menghentikan serangan.

Menurutnya, rundingan akhir ke arah keamanan masih boleh diteruskan “selagi ia tidak dihalang oleh kejahilan atau kebodohan”.

Namun, Encik Netanyahu dalam kenyataan televisyen berkata beliau telah memberitahu Encik Trump, “Israel mempunyai hak penuh untuk mempertahankan diri dan kami akan melaksanakannya apabila perlu”.

Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan Israel di bandar Tyre mengorbankan lima orang manakala serangan di daerah Nabatieh meragut tujuh nyawa dan satu lagi serangan di Marwanieh membunuh dua individu.

Tentera Israel pula mendakwa mereka berjaya memintas beberapa peluru yang dilancarkan ke arah tenteranya di selatan Lebanon.

Mereka juga berkata satu “sasaran udara mencurigakan” dari Yaman berjaya dipintas tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Di Teheran, suasana kelihatan lebih tenang pada 8 Jun walaupun ketidakpastian masih dirasai penduduk.

Kafe dan restoran dilihat kembali dipenuhi orang ramai, tetapi terdapat lebih ramai penduduk beratur di stesen minyak.

Seorang akauntan berusia 41 tahun dikenali sebagai Cik Maryam berkata rakyat kini hidup dalam keadaan bingung.

“Anda tidak tahu sama ada perang akan berlaku atau perjanjian damai ini akan bertahan. Tiada apa yang jelas. Orang ramai berasa kecewa,” katanya.

Di Tel Aviv pula, penduduk dilihat bergegas masuk ke tempat perlindungan selepas semboyan kecemasan dibunyikan.

“Saya harap keadaan ini tidak berpanjangan, tetapi kita tidak pernah tahu. Sebelum ini kami fikir ia akan singkat tetapi akhirnya berlarutan selama sebulan,” kata Encik Jonathan Ariel, 30 tahun.

Sementara itu, lapangan terbang antarabangsa Teheran yang ditutup akibat serangan peluru berpandu dilaporkan dibuka semula bagi membolehkan penerbangan membawa pulang jemaah haji dari Arab Saudi mendarat.

Konflik terkini itu turut memberi kesan kepada pasaran minyak dunia.

Harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate melonjak lebih 5 peratus pada awal dagangan Asia susulan kebimbangan perang akan kembali tercetus, sebelum kembali stabil pada penghujung dagangan.

Konflik itu juga menyebabkan Iran hampir menghentikan sepenuhnya penghantaran minyak dan gas Teluk melalui Selat Hormuz, manakala Washington terus melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Tentera Amerika turut mengumumkan mereka menyerang dan melumpuhkan sebuah kapal tangki minyak kosong yang didakwa melanggar sekatan pelabuhan tersebut.

Di sebalik ketegangan itu, Iran menegaskan mereka masih mahu meneruskan rundingan diplomatik yang sedang menyaksikan Pakistan sebagai perantara.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata diplomasi masih diteruskan walaupun konflik boleh memberi kesan terhadap proses rundingan.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, turut menulis di wadah X bahawa Teheran masih “berada di meja rundingan”. – Agensi berita.