AS–Iran mulakan rundingan nuklear di Geneva, penentu perang atau damai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS–Iran mulakan rundingan nuklear di Geneva, penentu perang atau damai

Feb 26, 2026 | 4:04 PM

AS–Iran mulakan rundingan nuklear di Geneva, penentu perang atau damai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang wanita Iran berjalan melepasi papan iklan anti-Amerika Syarikat di Tehran, Iran, 25 Februari 2026. Amerika Syarikat dan Iran dijadual menyambung pusingan ketiga rundingan nuklear penting di Geneva.
Seorang wanita Iran berjalan melepasi papan iklan anti-Amerika Syarikat di Tehran, Iran, 25 Februari 2026. Amerika Syarikat dan Iran dijadual menyambung pusingan ketiga rundingan nuklear penting di Geneva. - Foto EPA

GENEVA: Amerika Syarikat dan Iran akan bertemu di Geneva pada 26 Februari dalam satu pusingan rundingan nuklear berprofil tinggi yang berpotensi menentukan sama ada kedua-dua negara menuju ke arah peperangan atau mencapai perjanjian baharu.

Rundingan itu berlangsung ketika Washington meningkatkan kehadiran ketenteraan di Asia Barat, sekali gus menimbulkan kebimbangan konflik serantau lebih luas.

Presiden Donald Trump dalam ucapan tahunan di Kongres pada 24 Februari menegaskan beliau lebih cenderung menyelesaikan pertikaian melalui diplomasi, namun memberi amaran tegas. “Saya tidak akan sesekali membenarkan penaja keganasan nombor satu dunia memiliki senjata nuklear. Itu tidak boleh berlaku,” katanya.

Menteri Luar Iran Encik Abbas Araghchi berkata negaranya tidak akan membangunkan senjata nuklear, tetapi tidak akan melepaskan hak memperkaya uranium bagi tujuan aman. “Keyakinan asas kami jelas: Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear dalam apa jua keadaan, tetapi kami juga tidak akan melepaskan hak menggunakan teknologi nuklear secara aman,” katanya.

Menurut pegawai Iran, Teheran dijangka mencadangkan penggantungan aktiviti pengayaan uranium selama tiga hingga lima tahun, sebelum menyertai konsortium nuklear serantau dengan kadar pengayaan rendah sekitar 1.5 peratus untuk penyelidikan perubatan.

Iran juga dilaporkan bersedia mencairkan secara berperingkat 400 kilogram uranium diperkaya tinggi yang masih disimpan, sambil membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memantau proses tersebut. “Ada ruang untuk perjanjian jika diplomasi diberi keutamaan,” kata Encik Araghchi.

Rundingan di Geneva dikendali oleh Menteri Luar Oman Encik Badr Albusaidi. Wakil khas Amerika Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, menantu Encik Trump, akan menyertai perbincangan bersama Encik Araghchi. Encik Albusaidi dilaporkan bertemu Encik Araghchi pada 25 Februari bagi membincangkan cadangan Iran sebelum menyampaikannya kepada delegasi Amerika.

Ini merupakan pusingan ketiga sejak rundingan disambung semula bulan ini, selepas Enck Trump memberi amaran kemungkinan campur tangan ketenteraan.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance menegaskan pendirian Washington. “Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Itu objektif ketenteraan utama jika laluan itu dipilih,” katanya kepada Fox News.

Setiausaha Negara Marco Rubio pula menyifatkan keengganan Iran membincangkan program peluru berpandu balistik sebagai “masalah besar”. “Jika kemajuan dalam isu nuklear pun sukar dicapai, apatah lagi peluru berpandu,” katanya.

Program peluru berpandu Iran yang mampu menjangkau sejauh 2,000 kilometer dan sokongan Teheran terhadap kumpulan militan serantau tidak termasuk dalam agenda rasmi rundingan.

Pada 2015, Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang mengehadkan pengayaan uranium kepada 3.5 peratus. Namun pada 2018, Trump menarik Amerika keluar daripada perjanjian itu dan mengenakan semula sekatan ekonomi ketat.

Sejak itu Iran meningkatkan tahap pengayaan sehingga 60 peratus, hampir kepada tahap 90 peratus bagi kegunaan senjata.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),, Encik Rafael Grossi menyatakan Iran kini memiliki stok uranium diperkaya mencukupi untuk membina beberapa bom nuklear sekiranya diputuskan berbuat demikian.

Jun lalu, rundingan antara kedua-dua pihak terhenti selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, mencetuskan perang selama 12 hari yang menyaksikan Amerika turut mengebom tiga kemudahan nuklear utama Iran. Iran mengancam akan bertindak balas sekiranya diserang lagi.

Encik Trump sebelum ini memberi tempoh 10 hingga 15 hari kepada Tehran untuk mencapai persetujuan, memberi amaran “perkara sangat buruk” boleh berlaku jika gagal.

Iran berharap insentif ekonomi seperti pembelian barangan Amerika dan membuka sektor tenaga kepada pelaburan Amerika dapat membantu meredakan ketegangan. Bekas diplomat Iran, Encik Hossein Mousavian berkata kerjasama ekonomi boleh menjadi pemangkin kepercayaan. “Kerjasama ekonomi besar antara Iran dan Amerika boleh membina keyakinan,” katanya.

Namun perbezaan ketara kekal, termasuk susunan pengurangan sekatan dan skop konsesi.
Di dalam negara, Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei berdepan tekanan ekonomi dan gelombang protes susulan tindakan keras awal tahun 2026 ini.

Sanam Vakil dari Chatham House menyifatkan pusingan ini sebagai penentu. “Ini pusingan yang menentukan. Jika Iran tidak cukup berkompromi dan Amerika tidak menawarkan kelegaan sekatan mencukupi, keadaan boleh meletup,” katanya.

Dengan penempatan ketenteraan terbesar Amerika di rantau itu sejak pencerobohan Iraq 2003, perhatian dunia kini tertumpu kepada Geneva. Hasil rundingan hari ini bakal menentukan sama ada diplomasi berjaya meredakan ketegangan atau rantau itu melangkah ke arah konfrontasi lebih besar. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg