Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran saling berbalas serangan selepas helikopter Apache ditembak jatuh
AS, Iran saling berbalas serangan selepas helikopter Apache ditembak jatuh
AS, Iran saling berbalas serangan selepas helikopter Apache ditembak jatuh
WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan baharu awal 10 Jun, selepas sebuah helikopter tempur Apache milik tentera Amerika ditembak jatuh berhampiran Selat Hormuz.
Komand Pusat Amerika (Centcom) berkata jet Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika melancarkan serangan terhadap sistem pertahanan udara Iran, pusat kawalan darat dan radar pemantauan berhampiran Selat Hormuz.
Televisyen negara Iran melaporkan bunyi letupan dan siren pertahanan udara kedengaran di beberapa bandar di pesisir Teluk Parsi termasuk Sirik dan pulau Qeshm.
Bagaimanapun, tahap kerosakan akibat serangan tersebut masih belum dapat dipastikan.
Sebagai tindak balas, Iran mendakwa melancarkan serangan dron terhadap Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain selain menyerang beberapa pangkalan tentera Amerika di rantau itu termasuk di Jordan.
Namun, Centcom menafikan dakwaan Iran bahawa sebanyak 21 pangkalan tentera Amerika diserang.
Seorang pegawai Amerika berkata Iran melancarkan beberapa peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera AS di Asia Barat, tetapi hampir semuanya berjaya dipintas.
Markas Pusat Khatam al-Anbiya pula memberi amaran bahawa serangan lebih besar dan meluas akan menyusul sekiranya AS meneruskan tindakan agresif terhadap Iran.
Menurut pegawai itu, setakat ini tiada laporan anggota tentera Amerika terkorban atau pangkalan tenteranya mengalami kerosakan besar akibat serangan Iran.
Dalam satu kenyataan, Centcom menyifatkan serangan Amerika itu sebagai operasi mempertahankan diri yang dilakukan atas arahan Presiden Donald Trump.
“Serangan ini adalah tindak balas setimpal terhadap pencerobohan Iran yang tidak berasas,” menurut kenyataan itu.
Centcom berkata serangan udara tersebut bermula pada jam 5 petang waktu Amerika atau sekitar 12.30 tengah malam waktu Asia Barat.
Encik Trump sebelum ini menyalahkan Iran atas insiden helikopter Apache Tentera Darat Amerika yang ditembak jatuh berhampiran Selat Hormuz pada 9 Jun.
“Amerika Syarikat semestinya perlu bertindak balas terhadap serangan ini,” katanya menerusi media sosial.
Bagaimanapun, Encik Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai insiden tersebut.
Iran pula tidak mengaku bertanggungjawab menembak jatuh helikopter itu.
Penyiar rasmi Iran, IRIB, memetik seorang pegawai tentera yang tidak dinamakan sebagai berkata tiada operasi udara ketenteraan dijalankan Iran di Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam sebelum kejadian.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata angkatan tentera negara itu tidak akan membiarkan sebarang ancaman atau serangan tanpa tindak balas.
“Angkatan bersenjata Iran tidak akan membiarkan sebarang ancaman atau serangan tanpa jawapan,” katanya menerusi media sosial selepas serangan Amerika bermula.
Pertempuran terbaru itu berlaku ketika konflik serantau semakin memuncak susulan serangan Israel di selatan Lebanon termasuk bandar Tyre yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang.
Ketegangan meningkat selepas serangan Israel terhadap Lebanon mencetuskan tindak balas Iran terhadap Israel sebelum kedua-dua pihak saling berbalas serangan.
Perkembangan itu juga menunjukkan isu Lebanon kini menjadi halangan utama dalam usaha mencapai perjanjian menamatkan perang antara Amerika, Israel dan Iran.
Iran sebelum ini memberi amaran bahawa serangan Israel terhadap selatan Lebanon akan mencetuskan gelombang serangan balas baharu.
Encik Trump berulang kali mendakwa Amerika dan Iran semakin hampir mencapai perjanjian untuk menamatkan perang, menyelesaikan isu program nuklear Iran dan membuka semula Selat Hormuz.
Tentera Jordan pula memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas lima peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Azraq.
Menurut kenyataan tentera Jordan yang disiarkan agensi berita rasmi negara itu, serpihan hasil pintasan tidak menyebabkan kerosakan atau kemalangan jiwa.
Iran sebelum itu mendakwa melancarkan serangan terhadap kemudahan tentera Amerika di Azraq, Jordan.
Kawasan tersebut menempatkan Pangkalan Udara Muwaffaq Salti yang menjadi hab penting operasi tentera Amerika di rantau berkenaan.
Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) turut mendakwa mereka menyerang empat sasaran di pangkalan tentera Amerika di Azraq menggunakan peluru berpandu jarak jauh.
Menurut media Iran, sasaran tersebut termasuk hangar jet pejuang F-35 dan pusat kawalan operasi.
IRGC turut memberi amaran bahawa mereka bersedia memberikan “tindak balas menghancurkan dan tegas” jika Amerika melancarkan serangan lanjut.
Tentera Kuwait pula berkata sistem pertahanan udara negara itu memintas sasaran udara yang dianggap bermusuhan.
Iran mendakwa pangkalan Ali Al Salem di Kuwait turut diserang menggunakan dron.
Sementara itu, Bahrain mengesahkan siren amaran diaktifkan selepas Iran mendakwa menyerang Armada Kelima AS di negara tersebut.
Penasihat media Raja Bahrain kemudian berkata sistem pertahanan udara negara itu berjaya mematahkan serangan Iran.
Ketegangan terbaharu itu menyebabkan harga minyak dunia meningkat sekitar satu peratus dalam dagangan awal Asia pada 10 Jun.
Konflik tersebut dianggap antara pertempuran terbesar sejak Amerika dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April lalu.
Perang itu bermula pada 28 Februari selepas serangan bersama AS-Israel terhadap Iran sebelum Teheran bertindak menyerang negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika dan hampir menutup Selat Hormuz.
Encik Trump berkata sebarang perjanjian damai mesti memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear.
Iran pula menafikan mempunyai cita-cita menghasilkan senjata nuklear dan menuntut sekatan antarabangsa ditarik balik serta asetnya yang dibekukan dikembalikan. - Agensi berita
