Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump ikrar tamatkan perang Iran dengan segera ketika berkempen di Wisconsin
Trump ikrar tamatkan perang Iran dengan segera ketika berkempen di Wisconsin
Trump ikrar tamatkan perang Iran dengan segera ketika berkempen di Wisconsin
CHIPPEWA FALLS, Wisconsin: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 5 Jun berikrar untuk menamatkan perang Iran dengan cepat dan mengurangkan kos sara hidup ketika berkempen di Wisconsin bagi membantu Parti Republikan mempertahankan penguasaan Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Persinggahan di Chippewa Falls menonjolkan strategi Republikan untuk mempertahankan kawalan Dewan Perwakilan ketika pengundi semakin kecewa dengan peningkatan kos sara hidup dan harga petrol yang melambung akibat perang dengan Iran.
Trump berkata kemajuan dalam rundingan dengan Iran mungkin dicapai tidak lama lagi, walaupun perjanjian untuk menamatkan konflik itu masih belum dimeterai. Beliau turut menggesa pengundi Wisconsin supaya bersemangat menjelang pilihan raya.
“Kita akan keluar daripada Iran dengan amat cepat,” kata Encik Trump dalam acara meja bulat di Chippewa Falls. “Harga baja anda akan turun dengan banyak, seperti empat bulan lalu.”
Para hadirin memenuhi sebuah bangunan ladang yang panas, sementara hujan lebat turun ke atas barisan orang di luar yang masih menunggu untuk masuk.
Sebahagian hadirin merupakan penyokong tegar Trump, namun ada juga yang mempersoalkan dasar beliau terhadap Iran.
Encik Tom Paff, seorang penganalisis data dari Boyd, Wisconsin, menyifatkan dirinya sebagai penyokong Trump tetapi mengakui tidak gembira dengan kenaikan harga petrol.
“Saya tidak fikir kita sepatutnya berada di Timur Tengah langsung,” katanya.
Penyandang kerusi daerah itu, Encik Derrick Van Orden, yang rapat dengan Trump, menegaskan pentadbiran Trump memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. Kemenangan tipis beliau dalam pemilihan semula pada 2024 menjadikannya sasaran utama Demokrat yang berharap merampas majoriti tipis Republikan di Dewan Perwakilan.
Berucap di Custer Farms, Encik Van Orden berkata Encik Trump mengambil berat tentang petani Amerika dan dakwaan sebaliknya adalah tidak benar.
Pencabar Demokrat, Cik Rebecca Cooke, berkata Republikan membawa Trump ke daerah itu kerana persaingan dianggap sengit. Beliau turut menyebut lawatan Setiausaha Kesihatan Encik Robert F. Kennedy Jr ke kawasan tersebut minggu ini.
Menurut Cik Cooke, para petani terjejas oleh tarif, kos penjagaan kesihatan dan kenaikan kos bahan dan tenaga akibat perang Iran.
Trump berjanji menurunkan inflasi semasa kempen 2024, namun harga meningkat selepas tarif baru dilaksanakan pada 2025. Harga tenaga juga melonjak sejak perang Iran bermula.
Purata harga petrol di Wisconsin kini AS$4.04 ($5.20) segelen, iaitu AS$1.08 lebih tinggi berbanding 2025, menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA).
Walaupun Trump menolak dakwaan bahawa kos tenaga meningkatkan tekanan untuk mencapai perdamaian, ramai sekutu Republikan mahu memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan mengelakkan Kongres jatuh ke tangan Demokrat.
Lawatan Trump ke Wisconsin merupakan lawatan keempat pegawai kanan pentadbiran ke daerah itu dalam tempoh setahun, selepas kunjungan Naib Presiden Encik J.D. Vance pada Ogos dan Februari serta lawatan terkini Encik Robert F. Kennedy Jr. - Agensi berita
