Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran saling serang balas, Israel takluk tapak strategik di Lebanon
AS, Iran saling serang balas, Israel takluk tapak strategik di Lebanon
AS, Iran saling serang balas, Israel takluk tapak strategik di Lebanon
WASHINGTON: Harga minyak meningkat lebih 2 peratus pada 1 Jun berikutan tindakan Iran dan Amerika Syarikat untuk saling membalas serangan.
Ketegangan geopolitik yang semakin meruncing itu turut didorong oleh tindakan Israel mengarahkan tenteranya mara lebih jauh ke dalam wilayah Lebanon dalam pertempuran dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Teheran.
Tentera Israel dilaporkan telah menawan tapak strategik Istana Beaufort di selatan Lebanon baru-baru ini.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyifatkan tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Hezbollah itu sebagai satu “peralihan tegas”.
Ia berlaku sedang tentera darat Israel mara semakin jauh ke dalam wilayah Lebanon melangkaui garisan sempadan asal mereka di Sungai Litani.
Serangan terbaru oleh Israel itu bagaimanapun mendapat kritikan hebat daripada Britain, Perancis dan Jerman.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan amaran kepada lebih ramai penduduk setempat supaya segera berpindah dari kawasan terjejas di selatan Lebanon.
Sementara itu harga minyak mentah Amerika meningkat AS$2.29 ($2.93) atau 2.62 peratus kepada AS$89.65 ($114.52) satu tong pada 4.36 pagi GMT (12.36 tengah hari waktu Singapura).
Manakala, harga Brent naik AS$2.05 atau 2.25 peratus kepada AS$93.17 satu tong.
Pertempuran semakin meruncing ini berlaku sejurus selepas Amerika menjadi tuan rumah bagi rundingan damai Israel-Lebanon di Washington pada 29 Mei.
Sebelum ini, jangkaan positif terhadap rundingan damai tersebut telah mendorong harga Brent ditutup rendah pada kadar 1.8 peratus pada 29 Mei lalu.
Amerika pada 1 Jun berkata ia telah melancarkan “serangan mempertahankan diri” ke atas tapak radar dan kawalan dron Iran di Goruk dan Pulau Qeshm, pada hujung minggu lalu, yang disifatkan sebagai respons terhadap tindakan “agresif” Teheran.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada 1 Jun berkata pasukan aeroangkasanya telah menyasarkan pangkalan udara yang menurut IRGC, telah digunakan dalam serangan Amerika ke atas menara telekomunikasi di Pulau Sirik.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 29 Mei berkata tidak lama lagi beliau akan membuat keputusan mengenai cadangan perjanjian bagi melanjutkan gencatan senjata dengan Iran yang diumumkan pada awal April.
Langkah ini sekali gus memberi masa tambahan kepada perunding untuk mencari jalan penyelesaian kekal bagi menamatkan konflik tersebut serta mencari huraian kepada pertikaian berhubung program nuklear Iran.
Israel akan menjadi kunci kepada sebarang perjanjian sedemikian, dan Iran juga telah berulang kali berkata Hezbollah juga perlu mengambil bahagian dalam perjanjian itu.
Amerika telah mencadangkan pelan “meredakan ketegangan secara berperingkat”, yang menetapkan Hezbollah perlu terlebih dahulu menghentikan serangan ke atas Israel dan sebagai ganti, Israel akan mengelak daripada meningkatkan ketegangan di Beirut, menurut seorang pegawai Amerika pada 1 Jun. – Agensi berita.
