Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran guna tekanan serantau ubah keseimbangan perang
Iran guna tekanan serantau ubah keseimbangan perang
Iran guna tekanan serantau ubah keseimbangan perang
TEHERAN: Walaupun berdepan kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel yang jauh lebih besar, Iran berjaya mengubah arah konflik melalui strategi yang lebih bersifat geopolitik dan ekonomi berbanding aspek ketenteraan semata-mata.
Hampir tiga bulan selepas perang bermula pada 28 Februari, Teheran bukan sahaja berjaya bertahan daripada siri pembunuhan dan serangan awal, malah, kini dilihat mempunyai pengaruh lebih besar dalam menentukan hala tuju konflik.
Perkembangan itu mengejutkan banyak pihak kerana pada awal perang, ramai penganalisis menjangkakan Iran akan lumpuh dengan cepat akibat tekanan ketenteraan Amerika dan Israel.
Namun, keadaan di medan geopolitik berubah apabila Iran menggunakan pendekatan yang dikenali sebagai tekanan segi tiga.
Pakar dasar luar Iran di Pusat Pengajian Antarabangsa Sciences Po di Perancis, Penolong Profesor Nicole Grajewski, berkata Iran kini mempunyai kelebihan tertentu dalam konflik tersebut.
“Iran sememangnya mempunyai kelebihan ketika ini. Amerika pula kelihatan seperti sedang tercari-cari arah,” katanya.
Strategi tekan negara Teluk, Selat Hormuz
Strategi tekanan segi tiga merujuk kepada tindakan menyerang pihak ketiga yang lebih lemah tetapi mempunyai hubungan penting dengan musuh utama.
Dalam konflik ini, negara Teluk seperti Qatar, Arab Saudi dan Kuwait menjadi sasaran tekanan Iran kerana negara itu penting kepada ekonomi dan kepentingan strategik Amerika.
Profesor Daniel Sobelman, dari Universiti Hebrew Baitulmakdis, berkata Iran memahami bahawa ia sukar menewaskan Amerika secara langsung dari sudut ketenteraan.
Justeru, Teheran memilih memberi tekanan kepada sekutu dan rakan ekonomi Washington di rantau Teluk.
“Amerika dan Israel agak terlindung daripada serangan ketenteraan langsung, tetapi negara Teluk seperti Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) jauh lebih terdedah,” katanya.
Menurut beliau, Iran berjaya menggunakan kelemahan negara jirannya untuk memberi tekanan terhadap kuasa besar yang menyokong mereka.
Ciri paling penting dalam strategi Iran ialah penguasaan Selat Hormuz, laluan laut yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia.
Sejak awal perang, Iran mula menyerang kapal yang melalui selat itu sehingga menyebabkan laluan penting berkenaan ditutup.
Keadaan menjadi semakin serius pada 18 Mac apabila Israel mengebom medan gas South Pars milik Iran.
Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang kemudahan gas asli cecair Ras Laffan di Qatar serta melancarkan serangan dron terhadap kilang penapisan minyak di Arab Saudi dan Kuwait.
Serangan itu memberi mesej jelas jika kemudahan tenaga Iran diserang, Teheran juga akan menyerang prasarana tenaga negara Teluk.
Menurut Dr Sobelman, tindakan Iran itu berjaya mencipta “persamaan baru” dalam perang.
Tidak lama selepas serangan itu, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memaklumkan serangan Israel terhadap South Pars tidak diselaraskan dengan Washington.
Encik Trump turut memberi bayangan tiada lagi serangan terhadap South Pars jika Iran menghentikan serangan ke atas Qatar.
Penganalisis melihat kenyataan itu sebagai titik perubahan penting dalam perang kerana ia menunjukkan Washington mula bimbang terhadap kesan ekonomi konflik.
Harga minyak melonjak
Serangan terhadap kemudahan tenaga menyebabkan harga minyak dunia melonjak ke paras tertinggi sejak perang bermula.
Kesan itu memberi tekanan besar pada ekonomi sejagat dan secara tidak langsung meningkatkan kos politik kepada Washington sendiri.
Dr Grajewski berkata keadaan itu mewujudkan apa yang dipanggil pencegahan semasa perang.
“Ia memberi Iran pengaruh yang besar dalam konflik ini,” katanya.
Beberapa hari selepas itu, Encik Trump mengumumkan Washington dan Teheran sedang berunding.
Pada 8 April, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata walaupun Selat Hormuz masih belum dibuka semula sepenuhnya.
Selepas gencatan senjata dicapai, tumpuan utama dunia berubah kepada usaha membuka semula Selat Hormuz.
Namun, usaha Amerika untuk memaksa Iran membuka laluan itu gagal menghasilkan keputusan pantas.
Washington kemudian melaksanakan sekatan sendiri di kawasan selat berkenaan dan berjanji akan mengekalkannya sehingga perjanjian damai bersifat jangka panjang dicapai.
Langkah itu sebenarnya turut memberi tekanan kepada Iran kerana negara itu juga bergantung kepada eksport minyak.
Namun begitu, Teheran masih berjaya mengekalkan pengaruhnya di laluan strategik tersebut.
Pada 3 Mei, Trump mengumumkan operasi, ‘Projek Kebebasan’, bagi mengiringi kapal yang terkandas di selat berkenaan.
Tetapi beberapa hari kemudian, beliau menarik balik operasi tersebut walaupun lebih 1,000 kapal masih terperangkap.
Menurut Dr Sobelman, tindakan Washington berundur menunjukkan kemampuan Iran untuk mengekang Amerika.
“Itu menunjukkan kapasiti Iran untuk membendung dan menghalang Amerika,” katanya.
Kelebihan baharu Iran
Walaupun Iran mengalami kerosakan besar akibat perang, ramai penganalisis percaya negara itu mungkin muncul dengan aset geopolitik baru iaitu pengaruh terhadap Selat Hormuz.
Pakar keselamatan antarabangsa di Chatham House, Cik Nitya Labh, berkata semakin lama Iran berjaya menahan pergerakan kapal, semakin besar kemungkinan Teheran akan dianggap sebagai pihak yang mesti dilibatkan dalam pembukaan semula selat itu.
“Semakin lama Iran menahan perkapalan dunia, semakin jelas Iran perlu menjadi pihak berkepentingan dan penerima manfaat dalam pembukaan semula selat tersebut,” katanya.
Pengaruh terhadap Selat Hormuz juga boleh menjadi bentuk perlindungan strategik kepada Iran pada masa depan.
Dr Grajewski berkata kemampuan Iran menutup semula selat itu pada bila-bila masa boleh menjadi “polisi insurans” terhadap sebarang serangan baru.
Perkembangan perang itu turut membuka persoalan lebih besar mengenai had sebenar kuasa Amerika.
Walaupun Washington mempunyai tentera paling kuat di dunia, konflik itu menunjukkan kuasa besar masih terdedah kepada tekanan ekonomi dan geopolitik.
Iran berjaya menunjukkan bahawa perang moden bukan hanya ditentukan oleh jumlah jet pejuang atau peluru berpandu, bahkan juga kemampuan mengawal laluan perdagangan, tenaga dan kestabilan ekonomi sejagat.
Lebih penting, strategi Iran mungkin menjadi contoh kepada negara lain pada masa depan.
Tidak semua negara mempunyai kemampuan seperti Iran, tetapi kejayaan Teheran menentang tekanan Amerika dan Israel boleh mendorong lebih banyak negara mencari pendekatan serupa dalam menghadapi kuasa besar dunia.
Konflik ini akhirnya memperlihatkan bahawa dalam geopolitik moden, negara yang lebih lemah masih mampu mengubah keseimbangan kuasa jika tahu memanfaatkan kedudukan strategik dan kelemahan ekonomi lawan. – Agensi berita.
