SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS, Iran setuju gencatan senjata dua minggu, Selat Hormuz dibuka semula

AS, Iran setuju gencatan senjata dua minggu, Selat Hormuz dibuka semula

Israel setuju menyertai gencatan senjata dengan Iran, rundingan susulan di Islamabad 10 April ini
Apr 8, 2026 | 9:33 AM

AS, Iran setuju gencatan senjata dua minggu, Selat Hormuz dibuka semula

Orang ramai melaungkan slogan ketika berkumpul susulan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu dalam konflik Iran, di Teheran, 8 April 2026.
Orang ramai melaungkan slogan ketika berkumpul susulan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu dalam konflik Iran, di Teheran, 8 April 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, hanya kira-kira sejam sebelum tarikh akhir serangan besar-besaran yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump hampir dilaksanakan.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Teheran akan membuka semula Selat Hormuz buat sementara waktu, laluan penting yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dunia.

Selepas lebih sebulan serangan intensif oleh Amerika Syarikat dan Israel, Iran turut bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Washington di Pakistan bermula 10 April ini, dalam usaha menamatkan konflik.

Israel turut bersetuju untuk menyertai gencatan senjata dengan Iran selama dua minggu, seperti diumumkan PresidenDonald Trump, kata Pegawai Kanan Rumah Putih kepada media Amerika.

Encik Trump berkata keputusan menangguhkan serangan dibuat selepas permintaan daripada pihak Pakistan. “Saya bersetuju untuk menangguhkan serangan terhadap Iran selama dua minggu, tertakluk kepada pembukaan Selat Hormuz secara penuh, segera dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, mengesahkan bahawa laluan tersebut akan dibuka bagi memastikan pergerakan kapal berjalan lancar dalam tempoh itu. “Jika serangan terhadap Iran dihentikan, angkatan bersenjata kami juga akan menghentikan operasi pertahanan,” katanya.

Encik Trump memaklumkan bahawa rundingan ke arah perjanjian jangka panjang kini “hampir dimuktamadkan”, dengan Iran mengemukakan pelan 10 perkara yang dianggap “boleh dilaksanakan”.

Namun, Iran secara terbuka mengekalkan pendirian tegas, termasuk menuntut penamatan sekatan ekonomi, pengiktirafan kawalan ke atas Selat Hormuz dan pengunduran tentera Amerika dari rantau tersebut.

Pengumuman gencatan senjata itu turut memberi kesan segera kepada pasaran global apabila harga minyak jatuh mendadak, selepas sebelum ini meningkat tinggi akibat konflik berpanjangan.

Sebelum persetujuan dicapai, Trump mengeluarkan ancaman keras termasuk memusnahkan loji kuasa dan jambatan di Iran, yang dilihat berisiko melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang mencetuskan kontroversi, beliau berkata: “Seluruh tamadun boleh musnah malam ini… saya tidak mahu ia berlaku, tetapi ia mungkin terjadi.”

Kenyataan itu mendapat kecaman antarabangsa, termasuk daripada Pope Leo XIV yang menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima”.

Pakistan memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan apabila Perdana Menteri Shehbaz Sharif menggesa agar serangan ditangguhkan. “Usaha diplomatik untuk penyelesaian damai konflik ini sedang berkembang secara kukuh dan berkesan,” katanya.

Walaupun gencatan senjata diumumkan, Israel dilaporkan tetap melancarkan serangan ke atas beberapa kemudahan penting Iran sebelum tarikh akhir Trump. Encik Benjamin Netanyahu mengesahkan serangan ke atas landasan kereta api dan jambatan yang didakwa digunakan oleh pasukan Pengawal Revolusi Iran.

Di lapangan, rakyat Iran terus berdepan ketakutan akibat serangan berterusan. Seorang pelajar universiti dikenali sebagai Metanat berkata situasi tersebut sangat menakutkan. “Saya berasa takut, dan semua orang di negara ini sepatutnya merasainya. Sesetengah orang fikir ancaman ini sekadar gurauan, tetapi kematian bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Media tempatan turut menyiarkan imej rakyat membentuk rantaian manusia bagi melindungi loji kuasa, mencerminkan semangat solidariti di tengah konflik.

Walaupun gencatan senjata memberikan kelegaan sementara, ketegangan masih tinggi dengan serangan balas Iran ke atas negara Teluk yang menempatkan tentera Amerika, serta operasi ketenteraan Israel di Lebanon.

Amerika Syarikat dan Israel menyatakan serangan mereka bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran, manakala dakwaan bahawa Teheran hampir membangunkan senjata nuklear masih dipersoalkan oleh pemerhati antarabangsa. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg