Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS: Israel gagal pulih bantuan kemanusiaan ke Gaza

Nov 5, 2024 | 3:38 PM
Penduduk Palestin berebut-rebut membeli roti di Khan Younis akibat krisis makanan yang kini melanda Gaza.
Penduduk Palestin berebut-rebut membeli roti di Khan Younis akibat krisis makanan yang kini melanda Gaza. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Israel telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan akses bantuan ke Gaza tetapi setakat ini gagal memulihkan keadaan kemanusiaan di wilayah itu, kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller pada 4 November.

Beliau menyatakan demikian ketika tarikh akhir yang ditetapkan oleh Amerika untuk Israel memperbaiki keadaan di Gaza semakin hampir.

Pentadbiran Presiden Joe Biden memberitahu Israel dalam surat pada 13 Oktober bahawa ia mempunyai 30 hari untuk mengambil langkah menangani krisis kemanusiaan yang teruk di wilayah Palestin itu.

Krisis itu memburuk sejak tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara yang bertujuan menumpaskan kumpulan Hamas di Gaza sejak lebih 7 Oktober 2023.

Pekerja bantuan dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata keadaan kemanusiaan semakin buruk di Gaza.

“Setakat hari ini, keadaan tidak berubah dengan ketara. Kami telah melihat peningkatan bantuan dan lebih banyak lintasan yang dibuka.

“Tetapi hanya jika anda melihat cadangan yang ditetapkan dalam surat itu, ia tidak dipenuhi,“ ujar Encik Miller.

Menurutnya, tindakan Israel setakat ini “tidak cukup baik” tetapi menegaskan bahawa tempoh 30 hari belum berlalu.

Beliau enggan menyatakan apakah akibat yang akan dihadapi Israel jika gagal melaksanakan cadangan tersebut.

“Apa yang saya boleh beritahu anda bahawa kami akan lakukan mengikut lunas undang-undang,” jelas beliau.

Menyusuli kenyataan Encik Miller, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, telah bercakap dengan Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, dan menggesa Israel supaya meningkatkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain yang ketara di Gaza.

Washington, pembekal utama senjata kepada Israel, sering mendesak Israel supaya memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza sejak perang dengan Hamas meletus pada 7 Oktober 2023.

Surat bertarikh 13 Oktober itu menyebut bahawa kegagalan untuk meningkatkan akses bantuan ke Gaza mungkin mempunyai implikasi kepada dasar dan undang-undang Amerika.

Seksyen 620i Akta Bantuan Asing Amerika melarang bantuan ketenteraan kepada negara yang menghalang penyaluran bantuan kemanusiaan Amerika.

Israel pada 4 November berkata ia telah membatalkan perjanjiannya dengan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), memetik tuduhan bahawa beberapa kakitangan agensi itu mempunyai kaitan dengan Hamas.

Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, berkata Israel telah mengurangkan kemasukan trak bantuan ke Gaza kepada purata 30 trak sehari, yang paling rendah dalam tempoh yang lama. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg