GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, terutama selepas Israel mengumumkan larangan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di wilayah dan kawasan diduduki Israel.
Langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan agensi kemanusiaan yang bimbang tentang kesan buruk yang mungkin timbul, bukan sahaja terhadap pelarian Palestin, malah terhadap kestabilan politik dan diplomatik Israel sendiri.
Berdasarkan undang-undang baru yang diluluskan pada 29 Oktober oleh Parlimen Israel, Knesset, larangan itu akan berkuat kuasa dalam masa 90 hari dan dijangka akan mewujudkan pelbagai cabaran baru bagi UNRWA.
Buat masa ini, ia sudah pun berhadapan dengan kesukaran dalam memberikan bantuan di kawasan yang dilanda perang itu.
UNRWA telah ditubuhkan pada 1949 dengan tujuan memberikan bantuan kepada pelarian Palestin yang terpaksa meninggalkan rumah mereka semasa perang Arab-Israel pada 1948.
Sekitar enam juta pelarian Palestin layak menerima perkhidmatan UNRWA di rantau itu.
Ditubuhkan pada 1949 untuk membantu 750,000 pelarian Palestin, UNRWA beroperasi di Jaluran Gaza, Tebing Barat, Syria, Lebanon, Jordan dan Baitulmakdis Timur.
Penduduk Gaza sangat bergantung pada perkhidmatan UNRWA dalam bidang seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Agensi itu menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, dan makanan kepada lebih dua juta penduduk Gaza, yang kebanyakannya telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan.
Dengan keadaan kemanusiaan yang semakin memburuk, kehadiran UNRWA kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh jurucakap UNRWA, Cik Juliette Touma: “Kami tidak akan meninggalkan orang yang bergantung kepada kami untuk kelangsungan hidup mereka.”
Dua rang undang-undang yang diluluskan dengan majoriti besar oleh Knesset pada 29 Oktober bertujuan membatalkan undangan yang diberikan kepada UNRWA untuk beroperasi di Israel.
Pertama, undang-undang itu menegaskan bahawa tiada agensi atau wakil pemerintah Israel boleh mempunyai sebarang hubungan dengan UNRWA.
Kedua, ia melarang UNRWA daripada menjalankan sebarang misi atau kegiatan di dalam wilayah yang diduduki Israel.
Ini bakal menghalang UNRWA daripada menjalankan tugas mereka di Gaza, Tebing Barat dan tempat pelarian Palestin berada.
Menurut anggota Knesset, Encik Dan Illouz, undang-undang itu dianggap sebagai langkah penting dalam memerangi keganasan.
Beliau menegaskan bahawa UNRWA bukanlah sebuah organisasi kemanusiaan yang tidak bersalah, tetapi disyaki bekerjasama dengan Hamas, yang menjadi titik tumpuan kritikan daripada kalangan penyokong undang-undang itu.
Akibat daripada larangan ini, hampir semua 2.2 juta penduduk Gaza berisiko kehilangan akses kepada bantuan penting.
Ini bukan sahaja mengancam kelangsungan hidup mereka, malah berisiko meningkatkan kadar kebuluran yang sudah pun berada pada tahap meruncing.
Seperti yang dinyatakan oleh kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, undang-undang itu boleh dianggap sebagai ‘hukuman mati’ bagi penduduk Gaza yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan.
Dalam keadaan yang sukar ini, badan bantuan kemanusiaan mungkin terpaksa mencari alternatif lain.
Namun, kebanyakan mereka berpendapat bahawa tiada pilihan lain yang setanding dengan kepakaran dan jaringan yang ada pada UNRWA.
Langkah itu tidak hanya mengundang reaksi daripada agensi kemanusiaan, bahkan juga mengakibatkan kecaman daripada beberapa pemerintah Eropah.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengingatkan Israel tentang kewajipan antarabangsa mereka untuk memastikan bantuan mencukupi sampai kepada penduduk Gaza.
Dalam sesi khas Majlis Keselamatan PBB, banyak negara menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan Israel itu.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, turut menyuarakan kebimbangan mendalam tentang undang-undang tersebut dan menekankan bahawa tiada alternatif yang tersedia untuk UNRWA dalam menyalurkan bantuan makanan dan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Pakistan dan Arab Saudi mengecam tindakan Israel melarang UNRWA daripada beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki.
“Sasaran Israel terhadap UNRWA adalah sebahagian daripada kempen melakukan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin, memadamkan identiti Palestin, serta melumpuhkan usaha untuk mencapai keamanan yang menyeluruh dan adil.
“Perundangan itu adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan satu penghinaan langsung kepada keabsahan antarabangsa, terutama di tengah-tengah krisis kemanusiaan tidak pernah berlaku sebelum ini yang dihadapi rakyat Palestin,” ujar Kementerian Luar Arab Saudi.
“Kelulusan rang undang-undang oleh Parlimen Israel berkaitan UNRWA adalah bukti lanjut bahawa Israel menggandakan perang genosidnya terhadap rakyat Palestin dengan memutuskan talian hayat yang disediakan UNRWA dan entiti lain PBB,” kata Perwakilan Tetap Pakistan ke PBB, Encik Munir Akram.
Walaupun undang-undang ini telah diluluskan, pelaksanaannya mungkin berdepan dengan cabaran di mahkamah Israel yang mungkin menganggap undang-undang itu tidak selaras dengan kewajipan antarabangsa Israel.
Pengarah Pusat Keselamatan dan Demokrasi Institut Demokrasi Israel, Dr Eran Shamir-Borer, berkata:
“Proses perundangan mungkin telah berakhir, tetapi cara undang-undang ini dirangka membolehkan ruang untuk tafsiran dan keputusan pemerintah tentang cara pelaksanaannya.”
Larangan terhadap UNRWA tidak hanya menjadi isu politik, bahkan menjadi masalah kemanusiaan lebih besar yang memerlukan kerjasama antarabangsa untuk mencari penyelesaian.
Seperti yang dinyatakan oleh pengarah Horizon Center, kumpulan analisis politik di Ramallah, Tebing Barat, Encik Ibrahim Dalalsha:
“Undang-undang ini mencerminkan pengaruh golongan kanan dalam politik Israel yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang penyelesaian dua negara.” – Agensi berita.
“
Akibat daripada larangan ini, hampir semua 2.2 juta penduduk Gaza berisiko kehilangan akses kepada bantuan penting. Ini bukan sahaja mengancam kelangsungan hidup mereka, malah berisiko meningkatkan kadar kebuluran yang sudah pun berada pada tahap meruncing. Seperti yang dinyatakan oleh kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, undang-undang itu boleh dianggap sebagai ‘hukuman mati’ bagi penduduk Gaza yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg