Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS kenakan tarif baru ke atas import panel solar dari Asia Tenggara

Apr 22, 2025 | 12:08 PM
Seorang pekerja sedang memeriksa dan membersihkan panel-panel solar di stesen bas Jatijajar di Depok, Indonesia.
Seorang pekerja sedang memeriksa dan membersihkan panel-panel solar di stesen bas Jatijajar di Depok, Indonesia. - Foto: EPA-EFE

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengenakan tarif baru ke atas import solar daripada empat negara Asia Tenggara yang membekalkan negara itu dengan sebahagian besar panel solarnya.

Keputusan itu adalah kemuncak hasil siasatan perdagangan selama setahun yang mendapati pengeluar solar di Asia Tenggara mendapat manfaat secara tidak adil daripada subsidi pemerintah dan menjual eksport mereka ke Amerika pada kadar yang lebih rendah daripada kos pengeluaran.

Siasatan itu dibuat hasil desakan pengeluar solar domestik dan dimulakan di bawah pentadbiran mantan Presiden Joe Biden.

Meskipun tarif ke atas sel dan panel solar yang dihasilkan di Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam adalah kemenangan yang jelas bagi pengeluar yang berpangkalan di Amerika, namun mereka mengancam untuk meningkatkan kos membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui yang sudah menghadapi masalah dasar dan ekonomi.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump sedang cuba meningkatkan bahan api fosil dan telah berusaha untuk mengurangkan sokongan terhadap projek hijau.

Tarif solar baru itu merupakan tambahan kepada tarif meluas baru yang dikenakan oleh Encik Trump sebelum ini dan telah menjejas rantaian bekalan dan pasaran global.

Tarif anti lambakan dan timbal balas itu direka untuk mengimbangi nilai subsidi dan penetapan harga yang didakwa tidak adil, seperti yang dikenal pasti oleh Jabatan Perdagangan Amerika.

Amerika mengimport AS$12.9 bilion (S$17 bilion) peralatan solar pada 2024 daripada empat negara yang akan dikenakan tarif baru itu.

Tarif baru itu mewakili kira-kira 77 peratus daripada jumlah modul import negara itu.

Rantau Asia Tenggara yang selama ini menjadi alternatif utama kepada China dalam rantaian bekalan global, dilanda kejutan besar apabila Encik Trump mengumumkan tarif mengejut ke atas barangan import dari sembilan negara serantau pada 2 April.

Malaysia dikenakan tarif import 24 peratus, Singapura (10 peratus), Vietnam (46 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus), sementara Indonesia pula 34 peratus.

Namun, Encik Trump telah mengumumkan penangguhan selama 90 hari sebelum pelaksanaannya pada 9 April. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg