WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mengerahkan sehingga 200 tentera ke Israel untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menyokong usaha penstabilan di Gaza, tetapi mereka dijangka tidak akan ditugaskan ke kawasan Palestin, kata pegawai Amerika pada 9 Oktober.
Komando Pusat tentera Amerika akan membentuk pasukan petugas, yang dikenali sebagai Pusat Koordinasi Awam-Ketenteraan atau CMCC, kata salah seorang pegawai.
Tugas CMCC adalah untuk memudahkan aliran bantuan masuk ke Gaza, termasuk bantuan keselamatan dan bantuan kemanusiaan, kata pegawai itu lagi.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata dalam catatan media sosial bahawa anggota pasukan itu akan ditugaskan untuk memantau perjanjian gencatan senjata Gaza di Israel dan bekerjasama dengan pasukan antarabangsa lain di lapangan.
Dua pegawai yang tidak mahu nama mereka disiarkan berkata tentera Amerika akan menjadi teras CMCC, tetapi ia juga termasuk wakil dari tentera Mesir, Qatar, Turkey dan mungkin Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Para pegawai berkata pusat kawalan bersama itu akan berkoordinasi dengan tentera Israel dan pasukan keselamatan lain untuk mengelak berlakunya pertempuran.
“Tiada tentera Amerika akan masuk ke Gaza,” kata salah seorang pegawai.
Salah seorang pegawai berkata tentera Amerika yang dikerahkan akan mempunyai kepakaran dalam perancangan, keselamatan, logistik dan kejuruteraan.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata pada 8 Oktober bahawa beliau akan berkunjung ke Mesir untuk menandatangani perjanjian secara rasmi dengan “fasa pertama” rancangan itu telah dipersetujui.
Penempatan tentera Amerika di Israel itu menyusuli perjanjian penting yang dicapai antara Israel dengan Hamas pada 8 Oktober yang bakal menyaksikan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin - satu kejayaan diplomatik besar selepas berbulan-bulan rundingan untuk menamatkan perang dua tahun yang memusnahkan Jaluran Gaza.
Encik Trump, yang menjadi pengantara utama dalam perjanjian itu, berkata kedua-dua pihak telah bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai tajaan beliau, yang memerlukan Israel menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui.
Para pegawai berkata adalah diharapkan perjanjian gencatan senjata Gaza akan meredakan ketegangan di rantau itu dan mewujudkan syarat untuk rundingan mengenai lebih banyak perjanjian normalisasi antara Israel dengan negara-negara Arab.
Encik Trump dalam penggal pertamanya memperantarai apa yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham, perjanjian normalisasi antara Israel dengan Bahrain, UAE, Maghribi dan Sudan.
Para pegawai berkata Arab Saudi adalah negara yang bakal memeterai perjanjian sedemikian dengan Israel. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg