KAHIRAH: Israel dan Hamas mencapai satu perjanjian penting yang melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin - satu kejayaan diplomatik besar selepas berbulan-bulan rundingan untuk menamatkan perang dua tahun yang memusnahkan Jaluran Gaza.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang menjadi pengantara utama dalam perjanjian itu, mengumumkan di media sosial bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai tajaan beliau, yang memerlukan Israel menarik balik tenteranya ke garisan yang telah dipersetujui.
“Saya amat berbangga mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani fasa pertama Pelan Damai kami. Ini bermakna SEMUA tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan berundur sebagai langkah awal ke arah keamanan yang kukuh, berkekalan dan abadi,” kata Encik Trump di platform Truth Social.
Sumber yang mengetahui butiran rundingan memberitahu Reuters bahawa majlis memeterai perjanjian dijadualkan berlangsung pada jam 12 tengah hari waktu Israel dan gencatan senjata dijangka berkuat kuasa sebaik sahaja perjanjian itu dimeterai.
Encik Trump juga dijangka melawat rantau Timur Tengah hujung minggu ini bagi menghadiri mesyuarat susulan di Mesir, malah berkemungkinan ke Israel.
Beliau menyatakan bahawa Gaza akan dibina semula selepas pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai titik perubahan besar dalam usaha damai Asia Barat.
Duta Israel ke Amerika Syarikat, Encik Yechiel Leiter, berkata Hamas dijangka membebaskan baki tebusan warga Israel yang masih hidup dalam tempoh 72 jam selepas kabinet keselamatan Israel meluluskan senarai tahanan Palestin untuk pertukaran.
Sumber Hamas turut mengesahkan kesediaan kumpulan itu untuk menyerahkan semua tebusan dalam masa tiga hari sebaik sahaja perjanjian disahkan secara rasmi.
Sementara itu, tentera Israel menjangka proses pembebasan akan bermula pada 11 Oktober, manakala Presiden Trump memberitahu Fox News bahawa tarikh paling awal bagi pembebasan tebusan mungkin pada 13 Oktober.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam kenyataannya pada 8 Oktober menyifatkan perjanjian itu sebagai “hari yang besar bagi Israel” dan berjanji akan membawa pulang semua tebusan secepat mungkin. “Esok (9 Oktober) saya akan memanggil mesyuarat kabinet untuk meluluskan perjanjian ini dan membawa pulang semua tebusan tercinta kami. Saya berterima kasih kepada tentera IDF dan semua pasukan keselamatan, keberanian dan pengorbanan mereka membolehkan kita sampai ke hari ini,” katanya.
Encik Netanyahu menambah: “Dengan izin Tuhan, kita akan terus mencapai semua matlamat kita dan memperluas keamanan dengan jiran-jiran kita.” Tentera Israel pula mengesahkan bahawa mereka bersedia mengetuai operasi membawa pulang para tebusan, sambil menyatakan bahawa “usaha pembebasan mereka adalah keutamaan tertinggi negara.”
Dalam kenyataannya pada 9 Oktober, Hamas mengesahkan bahawa perjanjian itu akan membawa kepada penamatan perang di Gaza dan pengunduran penuh tentera Israel. “Perjanjian ini juga akan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan Palestin dengan tebusan Israel,” kata jurucakap Hamas.
Hamas turut menyeru agar Encik Trump dan negara penjamin seperti Qatar, Mesir dan Turkey memastikan Israel tidak melengahkan pelaksanaan perjanjian tersebut. “Kami menuntut semua pihak memaksa kerajaan penjajah mematuhi sepenuhnya komitmennya dan mengelak daripada sebarang cubaan mengubah syarat yang telah dipersetujui,” katanya.
Perang di Gaza bermula pada Oktober 2023 selepas serangan mengejut Hamas yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang Israel dan menculik 250 orang. Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan besar-besaran yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin termasuk orang awam serta memusnahkan sebahagian besar infrastruktur wilayah itu.
Perjanjian itu tidak menjelaskan sama ada ia akan membawa kepada penamatan kekal perang.
Satu isu utama masih menjadi pertikaian tuntutan Israel agar Hamas meletakkan senjata. Hamas menegaskan ia tidak akan berbuat demikian selagi tanah Palestin terus diduduki.
Tiga jam selepas Encik Trump mengumumkan perjanjian itu, tentera Israel mengingatkan penduduk Gaza bahawa tentera masih berada di wilayah itu dan operasi ketenteraan masih diteruskan.
Menurut sumber Palestin, senarai tahanan yang diminta Hamas untuk dibebaskan termasuk dua tokoh terkenal, Encik Marwan al-Barghouti dari pergerakan Fatah dan Encik Ahmed Saadat, ketua Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin – kedua-duanya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dalam serangan ke atas warga Israel.
Encik Trump menegaskan bahawa semua pihak akan dilayan dengan adil dan memuji peranan pengantara. “Ini adalah hari yang hebat bagi dunia Arab dan Islam, bagi Israel, negara-negara jiran, dan Amerika Syarikat. Kami berterima kasih kepada Qatar, Mesir dan Turkey atas peranan penting mereka dalam menjayakan peristiwa bersejarah ini,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyeru semua pihak mematuhi syarat perjanjian tersebut sepenuhnya. “Bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan masuk tanpa halangan. Penderitaan ini mesti berakhir,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beberapa negara Arab menegaskan bahawa pelan damai tajaan Encik Trump mesti membawa kepada pembentukan negara Palestin yang merdeka.
Fasa seterusnya pelan itu dilaporkan akan menubuhkan sebuah badan antarabangsa yang diketuai Encik Trump dan termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, bagi mengurus pentadbiran pasca-perang di Gaza.
Namun Hamas menolak sebarang bentuk pentadbiran asing, dengan menyatakan bahawa Gaza hanya boleh ditadbir oleh pemerintahan teknokrat Palestin di bawah pengawasan Penguasa Palestin dengan sokongan negara Arab dan Islam.
Di Khan Younis, selatan Gaza, ribuan penduduk turun ke jalanan meraikan berita tersebut. “Kami gembira perang ini akhirnya akan berakhir,” kata Encik Montaser Bahja, seorang guru bahasa Inggeris yang kehilangan rumahnya dalam serangan udara. “Ada rasa lega, tapi juga kesedihan atas segala yang kami hilang.”
Stesen televisyen Mesir, Al Qahera News, menyiarkan rakaman konvoi bantuan kemanusiaan yang mula memasuki Gaza sejurus pengumuman perjanjian itu, menandakan harapan baru bagi wilayah yang telah lama dilanda penderitaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg