BUENOS AIRES/CHICAGO: Satu kes parasit cacing skru (screwworm) pemakan daging telah dikenal pasti pada seorang individu di Maryland yang telah berkunjung ke Amerika Syarikat dari Guatemala, menurut empat sumber yang biasa dengan perkara itu.
Orang itu, yang menerima rawatan di Maryland, adalah kes pertama cacing skru yang ditemui dan disahkan di Amerika sebagai parasit yang memakan hidup-hidup daging lembu dan haiwan berdarah panas.
Kes tersebut dikesan sejak wabak mula meningkat dan bergerak ke utara dari Amerika Tengah dan selatan Mexico pada lewat pada 2024.
Dr Beth Thompson, doktor haiwan di South Dakota, berkata pada 24 Ogos bahawa beliau dimaklumkan mengenai kes itu pada minggu lalu oleh orang yang mempunyai pengetahuan langsung tentang kes Maryland tersebut.
Sumber kedua berkata mereka telah melihat e-mel yang dihantar oleh eksekutif kumpulan industri Beef Alliance pada 20 Ogos kepada kira-kira dua dozen orang dalam sektor ternakan dan daging lembu, memaklumkan bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika telah mengesahkan kes cacing skru melibatkan manusia di Maryland.
Mangsa telah melakukan perjalanan ke Amerika dari Guatemala.
Dr Thompson berkata: “Kami mendapat tahu melalui kaedah lain dan kemudian terpaksa pergi ke CDC untuk memberitahu kami apa yang sedang berlaku.
“Mereka tidak menjawab sama sekali dan sebaliknya menyerahkannya semula kepada pihak negeri untuk mengesahkan apa yang telah berlaku atau apa yang ditemui pada pengembara berkenaan.”
Jurucakap CDC dan jurucakap Jabatan Kesihatan Maryland tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Kes yang disahkan itu timbul selepas Setiausaha Jabatan Pertanian Amerika (Usda), Encik Brooke Rollins, dan pegawai pemerintah lain pergi ke Texas untuk mengumumkan rancangan membina kemudahan steril di sana sebagai sebahagian daripada usaha memerangi perosak itu.
Cacing skru adalah lalat parasit yang betinanya bertelur dalam luka pada mana-mana haiwan berdarah panas.
Apabila telur menetas, ratusan larva cacing skru menggunakan mulut tajam mereka untuk menggali daging hidup, akhirnya membunuh mangsa jika jika tidak dirawat.
Cacing skru boleh membinasakan lembu dan hidupan liar, dan jarang menyerang manusia. Serangan sama ada terhadap haiwan atau manusia boleh membawa maut.
Rawatan biasanya melibatkan penyingkiran ratusan larva dan membasmi kuman luka secara menyeluruh.
Serangan itu biasanya boleh diatasi jika mangsa mendapatkan rawatan awal.
E-mel 20 Ogos daripada eksekutif Beef Alliance itu, yang kandungannya dikongsi dengan Reuters, menyatakan kes positif cacing skru di Maryland telah disahkan pada hari itu.
Pesakit berkenaan telah dirawat dan langkah pencegahan telah dilaksanakan di negeri itu, tambah e-mel itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg