Tiga daripada empat pemilik haiwan peliharaan di Singapura tidak tahu bakteria tahan atau perintang antibiotik boleh merebak antara mereka dan haiwan peliharaan mereka, menurut hasil satu kajian baru-baru ini.
Kajian itu, hasil kerjasama Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS), dan Persatuan Veterinar Singapura, melibatkan 1,080 pemilik haiwan peliharaan yang ditinjau di 16 klinik doktor haiwan di seluruh Singapura dari Mac hingga Disember 2023.
Perintang antimikrob (AMR) berlaku apabila bakteria berkembang dan tahan antibiotik standard. Meskipun ini adalah proses semula jadi, patogen boleh menjadi perintang antibiotik dengan lebih cepat jika ubat-ubatan diberikan secara berlebihan atau tidak betul.
Pakar menganggarkan AMR, yang sering dilabelkan sebagai “pandemik senyap”, boleh menyebabkan lebih 10 juta kematian setiap tahun menjelang 2050 – mengatasi kanser, lapor The Straits Times.
Apabila ditanya mengapa risiko AMR semakin ketara, Profesor Madya Angela Chow, seorang perunding kanan di TTSH yang menerajui kajian itu, berkata: “Penyalahgunaan antibiotik memaksa bakteria berkembang, tetapi penemuan antibiotik tidak begitu pantas.
“Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk menemui antibiotik, jadi kami tidak mempunyai kelas baru untuk beberapa lama.”
Oleh kerana antibiotik menjadi tidak berkesan terhadap AMR, jangkitan mungkin menjadi lebih sukar untuk dirawat. Dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini meningkatkan risiko penyakit yang teruk, hilang upaya dan kematian.
Untuk menangani AMR, Singapura telah menerima pakai rangka kerja One Health – yang mengambil kira hubungan antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Bakteria AMR yang sama boleh didapati dalam haiwan peliharaan yang sakit, sama seperti manusia, kata Profesor Chow.
Patogen tahan antibiotik itu boleh berjangkit apabila bersentuhan, seperti apabila pemilik dijilat di muka oleh haiwan peliharaan mereka, atau mengendalikan najis mereka, kata Dr Teo Boon Han, Presiden Persatuan Veterinar Singapura.
Berdasarkan kertas kerja terdahulu, bakteria tahan antibiotik yang boleh merebak antara haiwan peliharaan dengan manusia termasuk Escherichia coli atau E. coli, dan Staphylococcus aureus.
Menurut laporan Euromonitor International, terdapat kira-kira 114,000 anjing peliharaan di Singapura pada 2023 – naik tiga peratus berbanding 2019.
Terdapat juga kira-kira 94,000 kucing peliharaan pada 2024, naik hampir 10 peratus dari 2019.
Penolong Profesor Zoe Hildon daripada Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, berkata: “Di Singapura, penduduknya tidak mempunyai ramai anak dan haiwan peliharaan berbulu adalah sesuatu yang penting.
“Terdapat peralihan budaya – orang menjadi lebih dekat dengan haiwan pendamping mereka berbanding generasi sebelumnya dan mereka mungkin berkongsi katil yang sama.”
Dengan peningkatan pemilikan haiwan peliharaan dan hubungan fizikal yang lebih rapat antara pemilik dengan haiwan peliharaan, haiwan peliharaan mungkin semakin menjadi sumber penularan zoonosis patogen tahan bakteria.
Kajian itu bertujuan mengkaji corak penggunaan antibiotik dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan tempatan dengan harapan dapat membendung perkembangan bakteria tahan antibiotik pada sumbernya.
Ia mendapati bahawa 24 peratus responden menggunakan antibiotik secara tidak wajar dalam rawatan mereka sendiri, manakala 34 peratus melakukannya untuk haiwan peliharaan mereka.
Perbezaan sedikit itu mungkin disebabkan oleh kesukaran memberikan antibiotik kepada haiwan peliharaan, kata Dr Teo.
Pemilik juga menghadapi cabaran lain seperti bil veterinar, kos pengangkutan dan kesulitan menjaga haiwan yang sakit.
Ini boleh mendorong sesetengah orang tidak mendapatkan rawatan segera untuk haiwan mereka atau memberi haiwan peliharaan mereka ubat yang telah tamat tempoh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg