Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS lancar serangan ke atas militan ISIS di Nigeria

Dec 26, 2025 | 11:05 AM
Gereja Christ Apostolic, Kwara, Nigeria,
Orang bersenjata menyerang Gereja Christ Apostolic di negeri Kwara, Nigeria, pada November. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan beberapa serangan ketenteraan ke atas kumpulan ISIS di barat laut Nigeria, menurut pengumuman Presiden Donald Trump pada 25 Disember, sebagai langkah tegas terhadap kumpulan pengganas yang didakwa menyasarkan dan membunuh penganut Kristian di negara Afrika itu.

Encik Trump mengumumkan serangan tersebut menerusi platform media sosial Truth Social, namun tidak memberikan perincian lanjut mengenai operasi berkenaan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata Amerika telah “melancarkan serangan ketenteraan yang berskala besar dan membawa kesan serius terhadap pengganas ISIS di barat laut Nigeria, yang didakwa menyasarkan dan membunuh orang awam tidak bersalah, khususnya penganut Kristian, pada tahap yang jarang disaksikan sejak sekian lama, malah berabad-abad”.

Seorang pegawai tentera Amerika yang bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan memaklumkan bahawa peluru berpandu Amerika telah menyasarkan kumpulan militan di dua kem ISIS yang terletak di negeri Sokoto, di barat laut Nigeria.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan dengan penyelarasan bersama pihak tentera Nigeria.

Serangan tersebut berlaku selepas tekanan berbulan-bulan daripada kumpulan evangelis Kristian dan ahli politik kanan Parti Republikan di Amerika, yang mendakwa penganut Kristian di Nigeria menjadi sasaran keganasan secara meluas.

Konflik bersenjata di Nigeria telah berlarutan lebih sedekad, mengorbankan ribuan nyawa termasuk penganut Kristian dan Muslim, merentasi garis mazhab dan agama.

Pihak berkuasa Nigeria sebelum ini menolak dakwaan berlakunya pembunuhan beramai-ramai terhadap penganut Kristian, sambil menegaskan bahawa keganasan di negara itu melibatkan pelbagai kumpulan bersenjata dengan motif berbeza.

Menurut pemerintah Nigeria, kumpulan tersebut turut mengorbankan orang Islam dalam jumlah yang sama besar, sekali gus menjadikan konflik itu bersifat kompleks dan tidak tertumpu kepada satu masyarakat sahaja.

Namun begitu, Nigeria dilaporkan meningkatkan penglibatan diplomatik dan keselamatan dengan Amerika sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada November lalu, Encik Trump mengarahkan Jabatan Pertahanan Amerika supaya bersedia untuk campur tangan secara ketenteraan di Nigeria bagi melindungi penganut Kristian daripada serangan kumpulan militan.

Arahan itu mendorong Komando Afrika Amerika Syarikat (Africom) merangka beberapa pilihan operasi, termasuk serangan udara ke atas lokasi yang dikenal pasti sebagai pangkalan kumpulan bersenjata di utara Nigeria, sebelum dikemukakan kepada Pentagon dan Rumah Putih.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, mengesahkan serangan tersebut dalam satu kenyataan di media sosial.

“Kami berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pemerintah Nigeria,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendirian Presiden Amerika adalah jelas.

“Pembunuhan penganut Kristian yang tidak berdosa di Nigeria dan di tempat lain mesti dihentikan. Jabatan Pertahanan sentiasa bersedia, dan ISIS merasainya malam ini,” katanya, merujuk kepada serangan yang berlaku pada musim perayaan Krismas.

Jabatan Pertahanan Amerika bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai sasaran, jumlah korban atau kesan operasi tersebut.

Menurut pegawai tentera, Amerika Syarikat telah menjalankan penerbangan pemantauan risikan di ruang udara Nigeria sejak akhir November bagi mengumpul maklumat sebelum sebarang tindakan ketenteraan dilaksanakan.

Walaupun Encik Trump menyatakan serangan dilakukan di barat laut Nigeria, penganalisis keselamatan menegaskan bahawa keganasan di wilayah itu kebanyakannya didorong oleh kumpulan penyamun bersenjata dan sindiket penculikan untuk wang tebusan.

Pusat utama pemberontakan keganasan terletak di timur laut Nigeria, khususnya di negeri Borno, di mana kumpulan Boko Haram dan serpihannya yang lebih kuat, Wilayah Negara Islam Afrika Barat (ISWAP), telah membunuh puluhan ribu orang awam sepanjang 15 tahun lalu.

Nigeria secara rasmi tidak berada dalam keadaan perang, namun data pemantau konflik menunjukkan lebih 12,000 orang terbunuh akibat keganasan pelbagai kumpulan bersenjata di negara itu sepanjang 2025.

Ketidaktentuan keselamatan terus membayangi negara paling padat penduduk di Afrika itu, meskipun operasi ketenteraan dari dalam dan luar negara semakin dipertingkatkan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg