WASHINGTON: Hampir seminggu selepas gempa bumi mengorbankan lebih 2,200 orang di Afghanistan dan menyebabkan puluhan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal, Amerika Syarikat masih belum mengambil langkah untuk salurkan bantuan.
Sehingga kini, masih tidak jelas sama ada Amerika akan berbuat demikian, kata dua bekas pegawai kanan negara itu dan sumber yang sedia maklum dan terbiasa tentang situasi itu.
Kekurangan tindak balas Washington terhadap salah satu gempa bumi paling dahsyat di Afghanistan dalam beberapa tahun ini menyerlahkan bagaimana Amerika di bawah Presiden Donald Trump telah kehilangan kepimpinan dalam memberikan bantuan bencana global.
Ini ekoran dana bantuan asing dipotong dan penutupan agensi bantuan utama negara itu, kata sumber dan bekas pegawai berkenaan.
Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bahkan telah ditutup secara rasmi pada 2 September.
Jabatan Negara, pada 1 September pula, hanya menyampaikan takziah kepada Afghanistan, menerusi hantaran di platform X.
Setakat 5 September, Jabatan Negara belum meluluskan pengisytiharan keperluan bantuan kemanusiaan, langkah pertama dalam membenarkan bantuan kecemasan, kata kedua-dua pegawai yang pernah bekerja dengan USAID.
Pengisytiharan sedemikian biasanya dikeluarkan dalam masa 24 jam selepas bencana besar.
Sumber itu berkata pegawai Jabatan Negara telah mempertimbangkan cadangan untuk menyalur bantuan bencana kepada Afghanistan.
Malah, seorang bekas pegawai kanan berkata Rumah Putih juga telah mempertimbangkannya tetapi memutuskan untuk tidak mengembalikan dasar menamatkan bantuan kepada Afghanistan.
Ketika ditanya sama ada Amerika akan memberi sebarang bantuan kecemasan kepada Afghanistan berikutan gempa bumi berukuran 6 magnitud pada 31 Ogos, disusuli gegaran kuat pada 4 September dan 5 September, seorang jurucakap Jabatan Negara berkata:
“Kami tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diumumkan buat masa ini.”
Sehingga 2025, Amerika adalah penderma bantuan terbesar kepada Afghanistan – negara yang diperanginya selama 20 tahun, yang berakhir dengan pengunduran tentera Amerika dan rampasan kuasa oleh Taleban pada 2021.
Tetapi pada April, pentadbiran Encik Trump menamatkan hampir semua bantuan – berjumlah AS$562 juta ($721 juta) kepada Afghanistan.
Alasannya, ia memetik laporan badan pemantau Amerika bahawa kumpulan kemanusiaan yang menerima dana Amerika telah membayar cukai dan yuran sebanyak AS$10.9 juta kepada Taleban.
Seorang pegawai Rumah Putih pula berkata: “Presiden Trump telah, secara konsisten, mahu memastikan bantuan tidak sampai ke tangan rejim Taleban, yang terus tersilap menahan warga Amerika.”
Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, berkata gempa bumi Afghanistan adalah “krisis terbaru yang mendedahkan kos penyusutan sumber untuk kerja-kerja kemanusiaan yang penting”.
“Pemotongan dana besar-besaran telah menyebabkan perkhidmatan kesihatan dan bantuan makanan untuk berjuta-juta penduduk yang terdesak tiba-tiba terhenti,” kata Encik Fletcher dalam satu kenyataan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg