Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa kembali goncang Afghanistan selepas ragut lebih 1,400 nyawa

Sep 3, 2025 | 1:15 PM
Nangarhar, Pakistan, Afghanistan
Rumah penduduk menyembah bumi selepas gempa bumi terbaru melanda Dara-e-Noor, daerah di Wilayah Nangarhar di Pakistan, pada 2 September. - Foto EPA

JALALABAD (Afghanistan): Gempa bumi 5.2 magnitud kembali melanda timur Afghanistan pada 2 September, menggemparkan wilayah yang masih bergelut dengan kesan gempa bumi kuat pada hujung minggu lalu yang mengorbankan 1,400 orang.

Pusat gegaran terbaru hampir dengan lokasi gempa bumi berukuran 6.0 magnitud yang melanda pada 31 Ogos itu memusnahkan kawasan terpencil di wilayah pergunungan berhampiran sempadan Pakistan.

“Gempa itu dirasai sama seperti di kawasan yang terjejas di Kunar dalam gempa pertama”, kata jurucakap pengurusan bencana di wilayah yang dilanda teruk itu, Encik Ehsanullah Ehsan.

“Gegaran susulan ini berterusan, tetapi ia belum menyebabkan sebarang kemalangan jiwa,” tambahnya.

Jumlah mangsa gempa bumi pada 31 Ogos telah meningkat secara berterusan, dengan setakat ini 1,411 orang maut dan 3,124 cedera di Kunar sahaja, kata ketua jurucakap pemerintah Taleban, Encik Zabihullah Mujahid, pada 2 September.

Berdozen orang lagi terbunuh dan ratusan cedera di wilayah jiran Nangarhar.

Afghanistan adalah salah satu negara termiskin di dunia, dengan bantuan yang semakin berkurangan sejak Taleban merampas kuasa pada 2021, menjejaskan keupayaannya bertindak balas terhadap bencana alam.

Kemusnahan boleh menjejas “ratusan ribu penduduk”, kata penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Afghanistan, Cik Indrika Ratwatte.

Pasukan penyelamat masih terus menjalankan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang terselamat di dalam rumah-rumah yang telah menyembah bumi di Kunar.

Lebih 5,400 rumah musnah di Kunar, kata jurucakap pemerintah, Encik Hamdullah Fitrat, menerusi platform X.

Banyak kawasan yang terjejas teruk masih tidak dapat dimasuki melalui jalan raya, tetapi kemudahan kecemasan sedang disediakan dan beberapa negara telah mengumumkan mereka akan memberikan bantuan, kata Encik Fitrat.

Kesatuan Eropah (EU) berkata ia menghantar 130 tan bekalan kecemasan dan menyediakan 1 juta euro ($1.5 juta) untuk membantu mangsa gempa.

Bantuan itu mengurangkan masalah di negara yang sudah menghadapi salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia selepas konflik selama beberapa dekad.

“Skala keperluan jauh melebihi sumber yang ada,” kata Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pemotongan pembiayaan telah menjejas perkhidmatan kemanusiaan menerusi udara dan mengehadkan akses kepada penduduk di kawasan terpencil.

Pekerja kecemasan terpaksa bersusah payah untuk sampai ke kawasan pergunungan bagi menjalankan usaha menyelamat yang disertai penduduk. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg