SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS mula sekat pelabuhan Iran selepas rundingan gagal

AS mula sekat pelabuhan Iran selepas rundingan gagal

Sekatan itu sebabkan harga minyak West Texas Intermediate (WTI) dan Brent lepasi AS$100
Apr 13, 2026 | 11:58 AM

AS mula sekat pelabuhan Iran selepas rundingan gagal

Sekatan pelabuhan Iran, Selat Hormuz, Donald Trump Iran, krisis minyak dunia, rundingan nuklear Iran, JD Vance, ketegangan AS-Iran 2026.
Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, bercakap kepada wartawan dalam siaran televisyen sebelum meninggalkan Islamabad, Pakistan, pada 12 April. Amerika dan Iran gagal mencapai persetujuan selepas rundingan panjang di Islamabad, dengan Washington menyatakan ia telah mengemukakan tawaran terakhirnya. - Foto EPA

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengumumkan akan melaksanakan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran dalam tempoh beberapa jam, selepas rundingan damai di Pakistan gagal mencapai persetujuan.

Menurut kenyataan Komando Pusat Amerika, sekatan itu akan berkuat kuasa pada 10 pagi waktu Timur (1400 GMT) 13 April dan akan melibatkan semua kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman.

“Sekatan ini akan dikuatkuasakan secara menyeluruh terhadap kapal dari semua negara yang berurusan dengan pelabuhan Iran,” menurut kenyataan tersebut.

Pengumuman itu dibuat walaupun gencatan senjata telah dipersetujui sebelum ini bagi menghentikan konflik selama enam minggu sehingga 22 April.

Namun, ketegangan kembali memuncak susulan kegagalan rundingan, khususnya berhubung tuntutan Amerika supaya Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dan gas dunia.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menegaskan bahawa matlamat utama Washington adalah untuk memastikan laluan tersebut selamat dan bebas daripada kawalan Iran.

“Bermula serta-merta, Tentera Laut Amerika akan memulakan proses menyekat semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Beliau turut memberi amaran keras: “Mana-mana pihak Iran yang menyerang kami atau kapal awam akan berdepan tindakan tegas.”

Di pihak Teheran menegaskan mereka tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ancaman luar.

Pegawai kanan negara itu dilaporkan berkata Iran “tidak akan menyerah kalah”, sambil memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan boleh mencetuskan tindak balas keras.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan negara itu tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika. “Kami tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman,” katanya selepas kembali dari rundingan di Pakistan.

Sebelum ini, Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa mereka menguasai sepenuhnya pergerakan di Selat Hormuz dan mampu memerangkap mana-mana pihak yang mencabar mereka.

Kegagalan rundingan di Islamabad dilihat berpunca daripada keengganan Iran untuk melepaskan program nuklearnya.

Delegasi Amerika yang diketuai Naib Presiden Encik JD Vance dilaporkan kecewa dengan pendirian Teheran. Encik Trump menegaskan pendirian Washington kekal tegas. “Iran tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.

Seorang anggota Parlimen Iran, Encik Mahmoud Nabavian, pula mendakwa tuntutan Amerika terlalu melampau, termasuk cadangan untuk berkongsi keuntungan daripada Selat Hormuz serta penghapusan uranium diperkaya Iran.

Penganalisis hubungan antarabangsa berpendapat langkah sekatan itu bukan sekadar tekanan diplomatik.
Menurut Cik Nicole Grajewski dari Sciences Po, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai kesinambungan konflik. “Ia bukan isyarat tekanan biasa, tetapi hampir menyerupai penyambungan semula perang,” katanya.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, pula mendakwa perjanjian hampir dicapai sebelum rundingan gagal. “Kami hanya beberapa langkah sahaja daripada mencapai persetujuan, tetapi berdepan tuntutan melampau dan sekatan,” katanya.

Kegagalan rundingan dan ancaman sekatan memberi kesan segera kepada pasaran tenaga global.

Harga minyak mentah melonjak, dengan West Texas Intermediate meningkat sekitar lapan peratus kepada AS$104.50 ($132.84) setong, manakala Brent naik tujuh peratus kepada AS$102.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan bahawa konflik berpanjangan boleh menjejaskan bekalan tenaga serta keselamatan perkapalan antarabangsa.

Dalam wawancara dengan Fox News, Encik Trump bagaimanapun percaya Iran akan kembali ke meja rundingan dan menyifatkan perbincangan sebagai “sangat mesra”.

Beliau turut mendakwa sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bersedia membantu operasi di Selat Hormuz, walaupun tiada maklum balas segera daripada pihak berkenaan.

Seorang pegawai Amerika berkata Iran menolak tuntutan untuk menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium, menutup kemudahan utama serta memindahkan uranium diperkaya tinggi.

Kedua-dua pihak juga gagal mencapai persetujuan mengenai tuntutan Amerika supaya Iran menghentikan pembiayaan kepada Hamas, Hezbollah dan Houthi serta membuka sepenuhnya Selat Hormuz.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian dalam perbualan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin menegaskan Tehran mahukan perjanjian yang seimbang dan adil.

“Jika Amerika kembali kepada rangka kerja undang-undang antarabangsa, persetujuan boleh dicapai,” katanya.

Agensi berita Tasnim melaporkan tuntutan berlebihan Amerika menghalang perjanjian dimeterai, walaupun beberapa isu lain mencapai persetujuan.

Walaupun rundingan gagal, tiga kapal tangki minyak gergasi dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz pada Sabtu, 11 April dipercayai yang pertama sejak gencatan senjata diumumkan.Pakistan menggesa kedua-dua pihak terus mematuhi gencatan senjata sementara. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg