Topic followed successfully
Go to BHkuRundingan damai AS-Iran di Pakistan berakhir tanpa kata sepakat
Rundingan damai AS-Iran di Pakistan berakhir tanpa kata sepakat
Rundingan damai AS-Iran di Pakistan berakhir tanpa kata sepakat
ISLAMABAD: Amerika Syarikat dan Iran gagal mencapai kata sepakat bagi menamatkan peperangan antara kedua-dua negara meskipun telah melalui rundingan panjang yang berakhir pada 12 April di ibu negara Pakistan, Islamabad.
Kegagalan ini sekali gus menggugat gencatan senjata yang rapuh.
Kedua-dua pihak saling menuding jari atas kegagalan rundingan yang berlangsung selama 21 jam itu.
Ia bertujuan menghentikan pertempuran yang telah meragut ribuan nyawa serta menyebabkan harga minyak dunia melonjak tinggi sejak ia bermula lebih enam minggu lalu.
“Berita buruknya ialah kita tidak mencapai sebarang kesepakatan, dan saya fikir ini lebih buruk buat Iran berbanding Amerika,” kata Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, selaku ketua delegasi Amerika, kepada wartawan sejurus sebelum meninggalkan Islamabad.
“Kami pulang ke Amerika tanpa mencapai sebarang kata sepakat. Kami telah menyatakan dengan sangat jelas mengenai ‘garisan merah’ (had rundingan) kami.”
Delegasi Amerika kemudian meninggalkan Pakistan, manakala delegasi Iran akan meninggalkan negara itu lewat petang 12 April, menurut dua sumber kepada Reuters.
Encik Vance berkata Iran memilih untuk tidak menerima syarat yang ditetapkan Amerika, termasuk larangan membina senjata nuklear.
“Kami perlu melihat komitmen tegas bahawa mereka tidak akan membina senjata nuklear, dan tidak akan mencari alat yang membolehkan mereka menghasilkan senjata nuklear dengan pantas.
“Itulah matlamat utama Presiden Amerika, dan itulah yang kami cuba capai melalui rundingan ini.”
Rundingan di Islamabad – yang diadakan susulan gencatan senjata pada awal minggu ini – merupakan pertemuan langsung pertama antara Amerika dengan Iran dalam tempoh lebih sedekad, serta perbincangan peringkat tertinggi sejak Revolusi Islam 1979.
Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan bahawa tuntutan Amerika yang “melampau” telah menghalang pencapaian kata sepakat.
Media Iran lain pula berkata beberapa persetujuan mengenai beberapa isu berjaya dicapai, namun isu Selat Hormuz dan program nuklear Iran kekal menjadi titik perbezaan utama.
Menurut jurucakap kementerian luar Iran, rundingan itu dijalankan dalam keadaan penuh sangsi.
“Kami sememangnya tidak seharusnya menjangkakan kesepakatan akan dicapai dalam satu sesi sahaja,” kata jurucakap itu yang ditukil media Iran.
“Ia penting untuk semua pihak terus mempertahankan komitmen terhadap gencatan senjata,” kata Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, dalam satu kenyataan selepas rundingan tersebut berakhir.
Kedua-dua pihak bersetuju pada 7 April untuk mengadakan gencatan senjata selama dua minggu bagi meredakan peperangan yang tercetus pada 28 Februari, menyusuli serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran.
Dalam sidang media ringkas, Encik Vance tidak menyentuh mengenai pembukaan semula Selat Hormuz, sebuah laluan perkapalan strategik bagi sekitar 20 peratus bekalan tenaga global yang telah disekat oleh Tehran sejak perang bermula.
Encik Vance berkata beliau telah berbincang dengan Presiden Donald Trump sekitar 12 kali sepanjang rundingan itu berlangsung.
Namun, ketika rundingan masih berjalan, Encik Trump berkata satu perjanjian tidak begitu diperlukan.
“Kami sedang berunding, sama ada kami mencapai kesepakatan atau tidak, ia tidak memberi sebarang perbezaan kepada saya, kerana kita sudah menang,” ujarnya kepada wartawan.
Delegasi Amerika turut disertai oleh utusan khas, Encik Steve Witkoff dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.
Manakala pasukan Iran diwakili oleh Speaker Parlimen Mohammad Baqer Qalibaf dan Menteri Luar Abbas Araqchi. – Reuters.

