WASHINGTON: Wanita China yang menjadi tumpuan skandal membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, dilaporkan berhubung dengan seorang pegawai agensi perisikan utama China selama lebih setahun, ketika menjalinkan hubungan sulit dengan tokoh teknologi Amerika Syarikat itu.

Menurut beberapa sumber yang mengetahui laporan risikan Amerika, wanita berkenaan, Cik Alice Huang, berhubung dengan seorang pegawai Kementerian Keselamatan Negara China (MSS) dari sekitar musim bunga 2025 hingga musim luruh 2026.

Tempoh itu bertindih dengan sebahagian daripada hubungan sulitnya dengan Encik Jensen, yang ketika itu menerajui Nvidia, pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terkemuka dunia.

Agensi risikan Amerika turut memperoleh bukti bahawa rakan perniagaan Alice, Encik Kang Wei, yang sering diperkenalkan sebagai suaminya, mempunyai hubungan kerja dengan agensi perisikan China yang sama.

Pendedahan terbaru itu mengukuhkan kebimbangan pegawai Amerika bahawa Encik Jensen, yang meletak jawatan awal November, mungkin menjadi sasaran operasi perisikan China.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Amerika masih menyiasat sejauh mana penglibatan Cik Alice dan Encik Kang dalam kegiatan perisikan berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, hubungan Cik Alice dengan agensi perisikan China turut berlaku ketika syarikatnya, Megaspeed, memperoleh sejumlah besar cip Nvidia berteknologi tinggi.

Sebahagian cip itu dihantar ke pusat data di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat teknologi China, termasuk Alibaba.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sebahagian lagi disyaki diseludup ke China bagi mengelakkan sekatan eksport Amerika terhadap teknologi semikonduktor canggih.

Megaspeed sebelum ini menyatakan Cik Alice secara rasmi meninggalkan syarikat itu pada 30 Ogos 2025 dan tidak lagi memegang sebarang jawatan.

Sumber risikan berkata, bukti yang dikumpulkan Amerika, termasuk rekod penghantaran, menunjukkan peranan Cik Alice dan Encik Kang dalam rangkaian syarikat Asia Tenggara yang disiasat berhubung kemungkinan penyeludupan cip Nvidia ke China.

Rangkaian itu juga dikaitkan dengan usaha membekalkan cip berkuasa tinggi kepada kontraktor pertahanan milik kerajaan China yang menjalankan projek untuk Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Sebelum ini, Encik Jensen menyifatkan hubungannya dengan Cik Alice sebagai urusan biasa antara syarikat dengan pelanggan.

Namun, beliau akhirnya mengakui hubungan sulit itu selepas laporan pada Oktober mendedahkan Cik Alice dikenal pasti pihak Amerika sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan perisikan China.

Hubungan Encik Jensen dengan Cik Alice turut dikesan menerusi pemantauan elektronik yang menyasarkan wanita berkenaan.

Encik Jensen kemudian meletak jawatan pada November selepas satu lagi laporan mendedahkan beliau mempunyai hubungan sulit dengan seorang kakitangan bawahannya di Nvidia.

Jurucakap Encik Jensen enggan mengulas, manakala Rumah Putih, Jabatan Negara Amerika, Kedutaan China di Washington, Cik Alice dan Encik Kang tidak menjawab permintaan mendapatkan komen pada 22 November.

Sementara itu, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilaporkan sudah dimaklumkan sekurang-kurangnya dua kali mengenai hubungan Cik Alice dengan agensi perisikan China sebelum skandal itu terbongkar.

Bagaimanapun, Encik Trump dikatakan tidak mahu campur tangan kerana menganggap Encik Jensen sebagai sekutu penting dan Nvidia sebagai syarikat yang memainkan peranan besar dalam ekonomi serta pasaran saham Amerika.

Encik Trump malah mencadangkan Nvidia mempertimbangkan untuk melantik semula Encik Jensen sebagai CEO, namun cadangan itu ditolak lembaga pengarah syarikat berkenaan.

“Kita perlu melindungi individu yang bijak dan berbakat. Jensen seorang daripada mereka,” kata Encik Trump dalam sidang media di Rumah Putih pada 20 November.

Encik Trump turut mempertikaikan dakwaan bahawa Cik Alice seorang perisik China.

“Saya tidak tahu sama ada dia seorang perisik,” katanya.

Pendedahan itu muncul ketika MSS meningkatkan usaha mendapatkan teknologi AI canggih bagi membantu China mengatasi sekatan eksport yang dikenakan Amerika.

Menteri Keselamatan Negara China, Encik Chen Yixin, pada April lalu mengumumkan satu lagi keutamaan agensinya, iaitu mengatasi sekatan yang menghalang China memperoleh teknologi penting, termasuk AI.

Bekas Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Matt Pottinger, berkata rangkaian syarikat yang disyaki mendapatkan dan menyeludup cip Nvidia itu selaras dengan usaha China memintas sekatan teknologi Washington.

Menurut beliau, sukar untuk mempercayai bahawa MSS tidak memainkan peranan penting dalam operasi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota Kongres daripada kedua-dua parti utama Amerika menuntut penjelasan lanjut mengenai maklumat risikan yang mengaitkan Cik Alice dengan China.

Satu taklimat susulan yang dijadualkan pada 18 November ditangguhkan oleh pentadbiran Trump.

Laporan itu turut mendedahkan Setiausaha Negara Amerika merangkap Penasihat Keselamatan Negara, Encik Marco Rubio, menyediakan memorandum sulit bertarikh 30 Mac 2026 yang memperincikan hubungan Cik Alice dengan perisikan China.

Enck Pottinger menegaskan bahawa penglibatan MSS dalam usaha mendapatkan cip canggih tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Untuk menganggap MSS tidak berada di tengah-tengah operasi ini bermakna kita menganggap mereka tidak cekap.

“Itu bukan andaian yang akan saya buat,” katanya. - Agensi berita