Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS perluas sekatan ‘talian hayat ekonomi’ Iran dalam tekanan baharu ke atas Teheran
Iran tempelak sekatan AS sebagai tanda terdesak
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan rancangan untuk meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Iran dengan memperluaskan sekatan sekunder terhadap sektor utama negara itu, ketika perang yang berlarutan hampir enam bulan menemui jalan buntu dan rundingan damai gagal mencapai kemajuan.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, pada 24 Ogos berkata Washington mahu memutuskan semua “talian hayat ekonomi” yang membolehkan Teheran terus memperoleh pendapatan dan menjalankan urus niaga antarabangsa.
Beliau menyifatkan kempen itu sebagai usaha untuk menyebabkan “kelemasan ekonomi” terhadap Iran, selepas sebelum ini menggunakan istilah “D-Day ekonomi” bagi menggambarkan skala tekanan yang akan dikenakan.
“Di seluruh dunia, matlamat kami adalah untuk memutuskan setiap talian hayat ekonomi yang menyokong pemerintahan ini sehingga Tehran berdiri sendirian,” kata Encik Bessent kepada wartawan.
“Kami akan memastikan semua pihak bertanggungjawab dan ini adalah usaha untuk menyebabkan kelemasan ekonomi terhadap pemerintahan ini,” tambahnya.
Menurut beliau, negara yang enggan menyertai sekatan Amerika juga berisiko menerima kesan daripada pengasingan ekonomi Iran.
Presiden Donald Trump pula sedang menghubungi beberapa pemimpin dunia bagi meminta mereka menghentikan urusan ekonomi dengan Teheran, kata Encik Bessent.
Jabatan Perbendaharaan berkata sekatan sekunder yang diperluaskan akan menyasarkan beberapa sektor utama Iran, termasuk aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan.
Washington turut mengenakan sekatan baharu terhadap 60 individu, syarikat dan kapal yang didakwa membantu Iran memperoleh hasil minyak, mendapatkan senjata atau menjalankan operasi siber.
Entiti yang dikenakan sekatan itu beroperasi di beberapa negara dan wilayah, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, China, Singapura dan Eropah.
Encik Bessent memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang membantu Iran melakukan pengubahan wang haram boleh disekat daripada sistem kewangan Amerika.
“Mana-mana entiti yang memudahkan pengubahan wang haram bagi pihak Iran akan dikeluarkan daripada sistem dolar Amerika,” katanya.
Ketika ditanya sama ada bank China boleh menjadi sasaran, Encik Bessent berkata “tiada siapa berada di luar jangkauan sekatan Amerika”.
Teheran bagaimanapun memperkecilkan ancaman terbaru Washington dan meramalkan kempen itu akan berakhir dengan “satu lagi kekalahan” bagi Amerika.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi dalam satu rakaman video di Telegram berkata, peralihan pemimpin AS daripada operasi ketenteraan kepada rancangan lama membuktikan Washington semakin terdesak.
Menteri Ekonomi Iran, Encik Ali Madanizadeh, berkata Teheran sudah lama menjangkakan tekanan sedemikian dan mempunyai rancangan untuk menghadapinya.
“Kami sudah lama menunggu rancangan ini. Pemerintah sudah bersedia dan mempunyai rancangan dua tahun untuk menguruskan perkembangan ini,” katanya.
Iran berdepan pelbagai sekatan Amerika dan Barat sejak beberapa dekad lalu, tetapi berjaya membangunkan rangkaian kewangan serta perdagangan antarabangsa yang kompleks untuk mengelakkan sebahagian sekatan tersebut.
Sebelum perang bermula, Iran masih mengeksport jutaan tong minyak, dengan sebahagian besarnya dihantar ke China.
Penganalisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Ali Vaez, berkata Washington kini cuba menggunakan pelbagai kaedah untuk meningkatkan tekanan ekonomi maksimum terhadap Tehran.
Bagaimanapun, katanya, Iran “pernah menghadapi semua tekanan ini sebelum ini”.
“Walaupun tidak banyak keraguan mengenai kemampuan Washington untuk menyebabkan tekanan besar, Tehran percaya ia mempunyai tahap ketahanan tinggi untuk menyerapnya, selain berpotensi membalas tekanan kewangan dengan tekanan ketenteraan,” katanya.
Tekanan ekonomi itu berlaku serentak dengan sekatan tentera laut Amerika terhadap Iran yang memberi kesan besar kepada eksport minyak melalui Selat Hormuz.
Menurut firma pemantauan perkapalan Kpler, eksport minyak Iran melalui laluan strategik itu merosot daripada kira-kira dua juta tong sehari sebelum perang kepada hanya 400,000 tong sehari menjelang pertengahan Ogos.
Risiko terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz turut meningkat.
Agensi Keselamatan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan sebuah kapal tangki minyak terkena “objek tidak dikenal pasti” di luar pantai Oman pada lewat 24 Ogos.
Kapal tersebut mengalami kerosakan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Walaupun Washington kini memberi tumpuan lebih besar kepada tekanan ekonomi, Amerika menegaskan pilihan untuk melancarkan serangan ketenteraan masih terbuka.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata peralihan kepada tekanan ekonomi tidak bermakna Washington menolak kemungkinan menggunakan kekuatan tentera.
“Kami sama sekali tidak menutup kemungkinan menggunakan serangan ketenteraan di mana-mana bahagian Selat Hormuz atau sekitar Iran,” katanya.
Bagi rakyat Iran, sekatan tambahan itu dijangka meningkatkan lagi tekanan kos sara hidup selepas bertahun-tahun berdepan inflasi tinggi.
Kenaikan harga yang berterusan pada Disember dan Januari lalu mencetuskan tunjuk perasaan besar antipemerintah di beberapa kawasan Iran.
Seorang ahli farmasi berusia 32 tahun di Tehran, Cik Sarah Hassanbeigi, berkata keadaan ekonomi semakin sukar ditanggung.
“Saya tidak fikir orang ramai mampu bertahan dengan keadaan seperti ini lebih lama lagi,” katanya.
Pengumuman Washington dibuat ketika usaha diplomatik untuk mencari jalan keluar daripada konflik terus berjalan.
Panglima tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir, yang memainkan peranan sebagai pengantara utama, mengunjungi Iran pada 24 Ogos dan mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Iran, ketua perunding serta pemimpin badan keselamatan tertinggi negara itu.
Lawatan tersebut berlangsung selepas Encik Trump bercakap dengan Marshal Munir minggu lalu.
Islamabad sebelum ini menjadi antara pengantara utama dalam rundingan yang menghasilkan gencatan senjata pada April sebelum perjanjian itu kemudian gagal bertahan.
Pakistan juga merupakan rakan dagang penting Iran, sekali gus berpotensi terdedah kepada ancaman sekatan sekunder baharu Amerika.
Menteri Luar Oman pula dijadualkan berada di Iran pada 25 Ogos ketika Muscat dan Tehran berusaha mencapai persetujuan mengenai aturan pelayaran melalui Selat Hormuz, yang kekal menjadi antara titik utama pertikaian dalam konflik itu. - Agensi berita
