WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, berkata beliau tidak berhasrat melanjutkan perjanjian rangka kerja dengan Iran yang dicapai pada Jun, sedang tempoh rundingan 60 hari hampir berakhir tanpa persetujuan menyeluruh untuk menamatkan perang.

Encik Trump pada 17 Ogos berkata Iran masih mahu berunding tetapi belum bersedia menerima syarat yang dianggap Washington perlu bagi mencapai perjanjian muktamad, terutama berhubung program nuklear Teheran.

“Tidak,” jawab beliau apabila ditanya wartawan sama ada mahu melanjutkan perjanjian yang dicapai dengan pengantaraan Pakistan itu.

Perjanjian Jun tersebut menyediakan tempoh 60 hari untuk Amerika dan Iran merundingkan penyelesaian lebih luas selepas konflik yang bermula pada Februari.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua pihak kini semakin hampir mencapai persetujuan, Encik Trump berkata: “Mereka mahu membuat perjanjian, tetapi mereka tidak akan membuat perjanjian seperti yang saya rasa perlu.”

Beliau sekali lagi menegaskan matlamat utama Amerika ialah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

“Kita berada di sana atas satu sebab: Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Anda faham bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan mereka tidak akan memilikinya,” katanya.

Konflik itu berlarutan lebih enam bulan selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.

Walaupun tentera Amerika telah menyerang ribuan sasaran dan menjejaskan keupayaan ketenteraan Iran, Washington masih belum mencapai penyelesaian politik yang dapat menamatkan konflik.

Perjanjian rangka kerja pada Jun sebelum ini dilihat sebagai peluang untuk meredakan ketegangan dan membuka jalan kepada penyelesaian lebih menyeluruh, termasuk mengenai program nuklear Iran dan Selat Hormuz.

Dengan tempoh perjanjian itu berakhir tanpa persetujuan muktamad, pemerintahan Encik Trump dijangka memperketat sekatan ekonomi terhadap Iran, meskipun butiran langkah terbaru itu belum diumumkan.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, pula berkata Washington mampu mengekalkan sekatan laut di Selat Hormuz bagi tempoh yang panjang.

Encik Trump mendakwa Amerika kini mempunyai “kawalan sepenuhnya” ke atas laluan perkapalan strategik itu menerusi sekatan tersebut.

“Saya fikir ia idea yang bagus. Maksud saya, kita mengawalnya. Kita mengawalnya dengan sekatan,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa Amerika mungkin mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayahnya.

“Kita mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas selat itu.”

Beliau mendakwa tindakan Amerika membolehkan berjuta-juta tong minyak melalui kawasan tersebut setiap minggu dan membantu menurunkan harga minyak.

“Selat itu terbuka dan harga minyak sedang turun, dan ia akan terus turun kecuali kita memutuskan untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih drastik daripada apa yang kita lakukan sekarang,” katanya.

Encik Trump turut mendakwa Iran kini berada dalam “masalah besar”.

Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga terpenting dunia, menghubungkan Teluk dengan Laut Arab dan menjadi laluan utama penghantaran minyak serta gas dari negara pengeluar di rantau itu.

Pada masa sama, Encik Trump meningkatkan tekanan terhadap Oman, sekutu Amerika yang sejak sekian lama memainkan peranan sebagai pengantara antara Washington dengan Teheran.

Encik Trump dilaporkan mengancam untuk mengebom Oman, sebuah negara sekutu Washington sekiranya negara Teluk itu dianggap menghalang usaha pentadbirannya dalam rundingan dengan Iran.

Iran sebelum ini berkata ia mengadakan rundingan dengan Oman mengenai langkah membuka semula Selat Hormuz buat sementara waktu.

Apabila ditanya sama ada kesabarannya terhadap Oman semakin berkurangan, Encik Trump berkata beliau tidak berpuas hati dengan tindakan negara itu.

“Saya tidak fikir mereka berkelakuan dengan baik, tetapi kita boleh menangani mereka dengan mudah, seperti kita menangani perkara lain,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Encik Trump menolak laporan mengenai keadaan semakin sukar yang dihadapi kelasi kapal induk USS Abraham Lincoln, yang menyokong operasi ketenteraan Amerika terhadap Iran.

Beliau menyifatkan laporan mengenai kekurangan bekalan makanan di kapal tersebut sebagai “berita palsu” dan berkata kapal induk Amerika sebelum ini pernah dikerahkan untuk tempoh lebih panjang.

Kebuntuan terbaru menunjukkan Washington masih berdepan cabaran untuk mencari jalan keluar daripada perang itu.

Encik Trump berkata beliau “tidak tergesa-gesa” mencapai perjanjian, tetapi tetap menegaskan Iran tidak boleh dibenarkan menghasilkan senjata nuklear.

Antara pilihan yang kini dihadapi Washington ialah meneruskan tekanan ekonomi, meningkatkan operasi ketenteraan atau kembali ke meja rundingan bagi mendapatkan persetujuan baru dengan Teheran.

Namun, keputusan Encik Trump untuk tidak melanjutkan perjanjian rangka kerja Jun bermakna usaha diplomatik kini memasuki fasa lebih tidak menentu, sedang sekatan di Selat Hormuz kekal menjadi antara titik utama pertikaian antara Washington dengan Teheran. – Agensi berita.