AS pertimbang longgar sekatan minyak Iran, usaha redakan lonjakan harga global

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS pertimbang longgar sekatan minyak Iran, usaha redakan lonjakan harga global

Turut timbang lepaskan lebih banyak simpanan minyak dari Rizab Petroleum Strategik
Mar 20, 2026 | 2:20 PM

AS pertimbang longgar sekatan minyak Iran, usaha redakan lonjakan harga global

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AS, sekatan minyak, perang Iran, Israel
Rakaman CCTV menunjukkan asap tebal naik dari kilang penapisan minyak di Haifa, Israel, selepas serangan yang dilaporkan dilakukan oleh Iran pada 19 Mac 2026, di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran. Imej ini diambil daripada rakaman video yang diperoleh daripada media sosial. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada 19 Mac mengumumkan rancangan untuk melonggarkan sekatan terhadap minyak Iran dalam usaha menurunkan harga minyak mentah yang melonjak, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Langkah luar biasa itu menandakan perubahan ketara daripada dasar sekatan ketat yang selama ini bertujuan melemahkan ekonomi Iran.

Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, berkata strategi tersebut mencerminkan keperluan mendesak untuk menstabilkan harga tenaga, walaupun Amerika kini berada dalam konflik dengan Iran.

“Hakikatnya, kami akan menggunakan minyak Iran untuk mengekang kenaikan harga dalam tempoh 10 hingga 14 hari akan datang ketika kempen ini diteruskan,” kata Encik Bessent dalam temu bual bersama Fox Business.

Encik Trump turut mempertahankan langkah itu dengan menegaskan bahawa pemerintah akan melakukan “apa sahaja yang perlu” untuk mengawal harga minyak.

“Saya mahu memadamkan ‘kebakaran’ itu,” katanya merujuk kepada Iran.

“Saya tahu tindakan ini boleh menaikkan harga minyak dan memberi sedikit kesan kepada ekonomi, tetapi saya jangka keadaan boleh menjadi lebih buruk.”

Menurut Encik Bessent, kelonggaran sekatan itu akan melibatkan kira-kira 140 juta tong minyak Iran yang kini berada di laut.

Amerika juga sedang mempertimbangkan untuk melepaskan lebih banyak simpanan minyak daripada Rizab Petroleum Strategik bagi meningkatkan bekalan global.

Namun, beliau menolak kemungkinan campur tangan secara langsung dalam pasaran niaga hadapan minyak.

Sejak konflik bermula pada akhir Februari, Iran terus mengeksport minyak, kebanyakannya ke China, walaupun dikenakan sekatan.

Namun, lonjakan harga minyak global akibat perang itu secara paradoks memberi keuntungan kepada Iran.

Penganalisis keselamatan antarabangsa dari Universiti Chicago, Robert Pape, berkata situasi tersebut memberi kelebihan kepada Teheran. “Mereka sebenarnya mendapat keuntungan daripada perang ini kerana harga minyak meningkat. Itu memberikan lebih banyak sumber kewangan kepada Iran,” katanya.

Data daripada Lloyd’s List Intelligence menunjukkan lebih 100 penghantaran kargo melalui Selat Hormuz sejak 1 Mac, walaupun laluan itu terganggu. Penganalisis tenaga menganggarkan Iran memperoleh lebih AS$100 juta ($127 juta) sehari daripada jualan minyak sejak konflik bermula.

Namun, tidak semua pihak yakin langkah melonggarkan sekatan akan berkesan.

Pengasas Capitol Peak Strategies, Encik Alex Zerden, memberi amaran bahawa tindakan itu mungkin memberi manfaat kepada Iran.

“Iran berkemungkinan akan mendapat keuntungan daripada jualan ini, sekali gus menyediakan dana tambahan untuk rejim, perang dan proksi mereka,” katanya.

“Saya tidak fikir langkah sementara ini mampu memberi keyakinan kepada pasaran.”

Selain itu, pakar dari Majlis Hubungan Luar, Encik Edward Fishman, berkata jumlah minyak Iran yang berada di laut tidak mencukupi untuk mengimbangi gangguan besar bekalan melalui Selat Hormuz.

“Insentif untuk Iran terus mengganggu pasaran tenaga masih wujud,” katanya. “Bagi Iran, menaikkan harga minyak melalui serangan terhadap kapal dan kemudahan tenaga adalah strategi terbaik mereka.”

Pentadbiran Encik Trump juga sebelum ini melonggarkan sekatan terhadap minyak Russia dan meningkatkan eksport minyak dari Venezuela, yang kini dianggap sekutu selepas perubahan kepimpinan di negara itu.

Encik Bessent berkata minyak tanpa sekatan itu berpotensi dihantar ke negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun dan India bagi menstabilkan bekalan global.

Namun, cabaran utama kekal pada keselamatan laluan tenaga global, khususnya di Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia.

Bekas pegawai Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Ben Harris, berkata situasi semasa lebih kompleks berbanding konflik Russia-Ukraine sebelum ini. “Kali ini, kita berdepan risiko gangguan fizikal terhadap laluan minyak. Jika Iran tidak membenarkan perdagangan berjalan lancar, bekalan itu tidak akan sampai,” katanya.

Harga minyak kini kekal sekitar AS$100 setong sejak Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran, mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi global dan kemungkinan kemelesetan ekonomi.

Encik Harris turut menegaskan bahawa harga petrol memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Tiada perkara yang lebih dirasai rakyat selain harga petrol. Risiko kemelesetan global adalah nyata dan mungkin di luar kawalan kita,” katanya.

Walaupun berdepan ketidaktentuan, Encik Bessent tetap optimis bahawa ekonomi Amerika Syarikat mampu berkembang. “Ini bersifat sementara,” katanya. “Kita akan melepasi tempoh ini dan muncul dengan pertumbuhan yang lebih kukuh.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg