Krisis Selat Hormuz: Ancaman terbesar terhadap keselamatan tenaga, ekonomi dunia
Krisis Selat Hormuz: Ancaman terbesar terhadap keselamatan tenaga, ekonomi dunia
Apabila perang di Teluk Parsi kian memuncak, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz harus kekal sebagai keutamaan. Bagaimanakah hal ini dapat dicapai sebelum kesan berpanjangan menimpa ekonomi sejagat?
Sejak permusuhan bermula di rantau Teluk Parsi pada 28 Februari, sekitar 20 kapal perdagangan telah diserang, dan laluan strategik itu telah menjadi tempat paling berbahaya bagi perkapalan antarabangsa.
Apa yang bermula sebagai serangan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel telah dengan cepat menjadi krisis perkapalan dan tenaga sejagat, tanpa sebarang tanda ia akan berakhir.
Selat Hormuz merupakan laluan air yang sempit di antara Oman dengan Iran, dan ia adalah satu-satunya jalan laut yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Lautan Hindi.
Lebih 20 peratus bekalan minyak dan gas sejagat melalui selat itu setiap hari.
Dengan mengisytiharkan Selat Hormuz ditutup dan mengancam untuk menyerang kapal-kapal yang cuba melaluinya dengan peluru berpandu, dron dan bot laju, Iran pada dasarnya sedang membekukan pasaran tenaga sejagat.
Penutupan selat tersebut telah memberi kesan serta-merta ke atas keselamatan tenaga dan makanan sejagat, dengan implikasi besar terhadap ekonomi dunia.
Harga minyak dan gas, baja, serta pengangkutan maritim, secara amnya, telah melonjak.
Semakin lama selat itu tertutup, semakin besar risiko kesan berantai di peringkat sejagat, gangguan rantaian bekalan, inflasi, dan krisis kemanusiaan.
Senario untuk membuka semula selat itu, walaupun dalam keadaan permusuhan yang berterusan, amat diperlukan dengan segera.
Langkah Pengurangan Semasa
Ekonomi besar yang sangat bergantung pada Timur Tengah untuk tenaga seperti Jepun, Korea Selatan, India, dan China akan menerima tamparan paling teruk.
Walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa mengumumkan pada 11 Mac pelepasan rekod 400 juta tong minyak daripada simpanan strategik untuk mengatasi lonjakan harga minyak mentah sejagat, ia hanyalah kelegaan bersifat sementara.
Simpanan Petroleum Strategik (SPR) tidak direka untuk menggantikan bekalan harian, tetapi ia boleh membantu buat masa ini.
Bolehkah aliran tenaga sejagat mengelakkan selat ini?
Terdapat beberapa saluran paip yang memintas Selat Hormuz.
Ia termasuk saluran paip timur-barat yang mengangkut minyak dari medan minyak timur Arab Saudi ke pelabuhan di Laut Merah.
Begitu juga, terdapat saluran paip yang menghubungkan medan minyak di Abu Dhabi ke pelabuhan Fujairah di Teluk Oman.
Namun begitu, jumlah kapasiti saluran paip itu masih tidak mencukupi berbanding jumlah bekalan yang biasanya melalui selat tersebut setiap hari.
Selain itu, kedua-dua saluran paip tersebut berada dalam jangkauan peluru berpandu dan dron Iran, dan Fujairah telah diserang.
Bagi gas asli cecair (LNG) dari rantau Teluk, tiada laluan transit alternatif.
Membuka Selat Mesti Jadi Keutamaan
Selagi perang berterusan, selat itu mesti dibuka semula bagi mengelakkan krisis ekonomi sejagat.
Namun, memastikan laluan selamat bagi kapal perdagangan akan menjadi satu cabaran besar.
Ia memerlukan gabungan langkah diplomatik dan ketenteraan, serta daya cipta yang tinggi.
Bagi industri perkapalan antarabangsa, kategori risiko yang menentukan adalah premium insurans, reputasi, kebolehpercayaan dan kesejahteraan anak kapal.
Perkapalan komersial hanya akan kembali ke selat tersebut apabila risiko sebegitu berkurangan dan jaminan telah ditetapkan. Apakah senarionya?
India telah menerima jaminan daripada Iran bahawa kapal yang menuju ke India akan mendapat laluan selamat. Ini membuktikan beberapa saluran diplomatik masih terbuka.
India jelas telah menemui titik keseimbangan dalam mengurus hubungannya dengan Iran, walaupun masih mengekalkan persahabatan dengan Amerika dan Israel.
Masih belum dapat dipastikan sama ada sebarang syarat akan dikenakan ke atas jaminan itu.
China, salah satu daripada sahabat Iran, juga sedang berhati-hati dan telah mengurangkan pergerakan kapal melalui selat tersebut.
Rundingan diplomatik seperti itu kemungkinan besar bersifat jangka pendek, terhad kepada beberapa negara sahaja, dan tidak pada skala yang diperlukan bagi memenuhi permintaan tenaga sejagat.
Senario lain bersifat ketenteraan. Melindungi perkapalan melalui konvoi beriringan tentera laut adalah satu pilihan.
Malah, pada satu ketika, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi isyarat Tentera Laut Amerika akan menyediakan pengawal keselamatan bagi kapal tangki yang melalui Selat Hormuz, tetapi Tentera Laut Amerika kemudian menjelaskan ia tiada rancangan sedemikian.
Keupayaan tentera laut yang ketara hadir di rantau itu.
Selain Tentera Laut Amerika, ia turut merangkumi tentera laut dari 47 negara yang diselaraskan melalui Pasukan Maritim Gabungan (CMF) antarabangsa, Tentera Laut India, dan dua operasi tentera laut Kesatuan Eropah (EU), iaitu Atalanta dan Aspides.
Namun begitu, menganjurkan konvoi beriringan tentera laut melalui Selat Hormuz bukan sahaja sangat kompleks, malah hanya menawarkan perlindungan terhad.
Walaupun mekanisme penyelarasan antara tentera laut di rantau itu dengan industri perkapalan wujud, skop ancaman terhadap perkapalan adalah genting.
Bukan sahaja pertahanan udara diperlukan, malah keupayaan memintas bot laju dan dron permukaan, serta mengesan lombong juga perlu.
Had pengawalan dan cara-cara ketenteraan mungkin paling jelas ditunjukkan oleh kegagalan gabungan tentera laut antarabangsa untuk melindungi perkapalan daripada serangan Houthi di Laut Merah.
Dengan berita lombong sedang dipasang di selat tersebut, adalah lebih sukar untuk menjamin laluan selamat.
Mana-mana negara yang menyertai atau menyokong perlindungan ketenteraan, walaupun dibenarkan sebagai pertahanan diri secara kolektif, berisiko terlibat dalam perang.
Penyelesaian Pelbagai Hala Mesti Dibangun
Perjanjian laluan selamat yang diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serupa dengan Inisiatif Bijirin Laut Hitam, mungkin menjadi satu lagi pilihan.
Di bawah inisiatif itu, prosedur bersama telah dipersetujui, dan sebuah Pusat Penyelarasan Bersama memantau pelaksanaannya.
Namun, dalam kes Laut Hitam, Russia dan Ukraine, mempunyai insentif yang kuat untuk membenarkan bijirin dan baja dieskport.
Walaupun berjaya, perjanjian itu dimungkiri dalam masa setahun.
Pengaturan yang serupa di Selat Hormuz akan memerlukan semua negara pengeksport minyak untuk bersatu.
Tambahan pula, sukar untuk memaksa Teheran duduk semeja secara sukarela, walaupun PBB bertindak sebagai pengantara.
Pilihan pelbagai hala lain boleh merangkumi pengaturan keselamatan maritim yang lebih fleksibel yang menyatukan aktor serantau dan antarabangsa serta industri perkapalan.
Sebuah Suruhanjaya Selat Hormuz atau Kumpulan Hubungan peringkat pakar seperti itu boleh memberi tumpuan kepada operasi harian dan memberikan jaminan keselamatan kepada laluan yang diperakui secara individu.
Penglibatan langsung industri perkapalan dan persatuan-persatuannya, seperti Dewan Perkapalan Antarabangsa atau Persatuan Antarabangsa Pemilik Tangki Bebas (Intertanko), serta kepimpinan daripada EU, Majlis Kerjasama Teluk, atau India akan menjadi kunci kepada pembangunan penyelesaian fleksibel sedemikian.
Artikel ini kali pertama diterbitkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) pada 16 Mac.
Kededua penulis bagi rencana ini ialah Profesor Hubungan Antarabangsa di Jabatan Sains Politik, Universiti Copenhagen, Dr Christian Bueger; dan Felow Kanan dan Penyelaras Program Keselamatan Maritim di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Jane Chan.

