Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS pindah segera 12 pesawat pengebom dari Britain susuli ancaman Iran
AS pindah segera 12 pesawat pengebom dari Britain susuli ancaman Iran
LONDON: Amerika Syarikat memindahkan kesemua 12 pesawat pengebom B-1 dari sebuah pangkalan udara di selatan England secara tergesa-gesa pada hujung minggu selepas menerima maklumat risikan baru mengenai kemungkinan rancangan serangan yang disokong Iran terhadap pangkalan itu.
Dua pegawai Amerika berkata langkah memindahkan semua pesawat berkenaan dari RAF Fairford dilakukan dengan begitu pantas sehingga beberapa pengebom dan kru mereka berlepas pulang ke Amerika ketika pesawat pengisian minyak di udara masih sedang dikerahkan untuk menyokong penerbangan tersebut.
Sekurang-kurangnya tiga daripada pesawat itu sudah tiba di pangkalan asal mereka di South Dakota menjelang 4 Oktober.
Pemindahan secara mendadak itu dianggap luar biasa kerana Amerika jarang mengalihkan sejumlah besar pesawat pengebom dengan begitu pantas dari pangkalan sebuah negara sekutu yang berada dalam keadaan aman dan terletak ribuan kilometer dari zon pertempuran.
Komando Eropah Amerika Syarikat mengesahkan pada 4 Oktober bahawa semua pesawat pengebom yang ditempatkan di RAF Fairford sudah meninggalkan Britain, tetapi enggan mengulas mengenai laporan ancaman terbaru.
“Kami boleh mengesahkan bahawa semua pesawat pengebom Amerika yang ditempatkan di RAF Fairford sedang kembali ke pangkalan masing-masing di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pesawat pengebom Tentera Udara Amerika sering beroperasi di pelbagai lokasi di seluruh dunia bagi menyokong kesiapsiagaan pasukan dan memenuhi keperluan operasi.
Kementerian Pertahanan Britain pula enggan mengulas mengenai pergerakan aset ketenteraan Amerika.
Pegawai Amerika tidak mendedahkan secara terperinci maklumat risikan terbaru yang menyebabkan arahan pemindahan segera itu dikeluarkan.
Beberapa pesawat B-1 berkenaan baru tiba di Britain sepanjang minggu lalu sebagai sebahagian daripada penempatan secara bergilir.
Seorang pegawai AS berkata maklumat terbaru itu mempunyai kaitan dengan amaran ancaman yang diterima kira-kira tiga minggu lalu. Namun, butiran baru yang diterima dalam tempoh 24 jam lalu menunjukkan tahap ancaman semakin mendesak sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komander tentera.
Perkembangan itu berlaku kira-kira seminggu selepas polis Britain menahan lima lelaki yang menaiki van putih berhampiran RAF Fairford.
Pangkalan itu sebelum ini digunakan pesawat pengebom Amerika dalam perang Amerika-Israel terhadap Iran.
Kelima-lima lelaki terbabit dibebaskan dengan ikat jamin sehari selepas penahanan apabila pihak berkuasa tidak menemui bahan letupan di dalam van mereka.
Bagaimanapun, polis berkata siasatan terhadap mereka masih diteruskan.
Seorang lelaki yang memiliki dua kerakyatan Britain-Iran turut ditahan pada 2 Oktober kerana disyaki membuat persiapan untuk melakukan tindakan keganasan.
Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham, berkata minggu lalu bahawa kerajaannya percaya Iran terbabit dalam perancangan kejadian tersebut.
Pegawai Amerika dan Britain, selain pihak berkuasa di Jerman dan Israel, percaya rancangan itu mungkin mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) atau sebuah markas tentera berasingan di Teheran.
Iran menafikan tuduhan tersebut.
Kejadian di sekitar RAF Fairford mencetuskan operasi keselamatan besar-besaran, termasuk pemindahan penduduk dari 85 rumah berhampiran, pemeriksaan van menggunakan robot pemusnah bom serta mesyuarat keselamatan negara yang dipanggil Encik Burnham.
Kebimbangan terhadap keselamatan pangkalan itu sebenarnya sudah meningkat sejak beberapa bulan lalu.
Pada Julai, IRGC memberi amaran bahawa tindakan Britain membenarkan Amerika.
“Mana-mana pangkalan yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap wilayah Iran adalah sasaran sah bagi pasukan kami,” kata IRGC ketika itu.
Pada September, komander tentera Amerika menerima amaran daripada agensi perisikan Amerika dan beberapa negara Barat bahawa RAF Fairford mungkin menjadi sasaran serangan yang disokong Iran.
Menurut pegawai AS, maklumat mengenai kemungkinan rancangan serangan itu dikumpulkan menerusi gabungan komunikasi yang dipintas, maklumat daripada pemberi maklumat serta sumber risikan lain.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut berkata pegawai perisikan negaranya sudah memberi amaran kepada pihak Britain mengenai kemungkinan serangan tajaan Iran, walaupun mereka tidak mengenal pasti sasaran tertentu.
Penilaian sulit pihak perisikan turut memberi amaran bahawa serangan susulan mungkin menggunakan dron.
Amaran itu meningkatkan tahap kebimbangan terhadap keselamatan kemudahan tentera Amerika di Eropah.
Seorang pegawai kanan Amerika berkata Israel turut memberi amaran kepada Jerman bahawa pangkalan Amerika di negara itu menghadapi risiko lebih tinggi, khususnya Pangkalan Udara Spangdahlem dan Ramstein.
Jika dakwaan mengenai rancangan serangan di Britain itu disahkan, ia akan menandakan peningkatan besar dalam tindakan Iran terhadap sebuah negara Barat.
Ia juga akan meningkatkan kebimbangan bahawa konflik Iran dengan Amerika dan Israel kini berisiko merebak dari medan perang di Timur Tengah kepada pangkalan dan kepentingan ketenteraan Barat di Eropah. - Agensi berita