Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga Britain-Iran ditahan, disyaki rancang serangan pengganas
Warga Britain-Iran ditahan, disyaki rancang serangan pengganas
LONDON: Polis antipengganasan Britain menahan seorang lelaki yang mempunyai dua kerakyatan Britain-Iran kerana disyaki membuat persiapan untuk melakukan tindakan pengganasan, susulan kejadian mencurigakan berhampiran sebuah pangkalan udara yang digunakan tentera Amerika Syarikat.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di London pada 1 Oktober sebagai sebahagian siasatan terhadap kejadian berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford di Gloucestershire, barat England, 27 September lalu.
Polis turut menggeledah dua hartanah di London berhubung siasatan tersebut.
Penahanan terbaru itu meningkatkan perhatian terhadap kemungkinan wujud kaitan antara kejadian di RAF Fairford dengan pihak asing, termasuk Iran, meskipun polis Britain belum membuat kesimpulan mengenai siapa yang mungkin mendalangi kejadian tersebut.
RAF Fairford mempunyai kepentingan strategik kerana pangkalan Britain itu digunakan tentera Amerika, termasuk bagi operasi pesawat pengebom jarak jauh.
Pangkalan itu juga digunakan pesawat Amerika dalam operasi berkaitan konflik dengan Iran, menjadikannya semakin mendapat perhatian sejak tercetusnya pertempuran terbaru di Timur Tengah.
Siasatan bermula selepas polis menerima laporan sekitar 12.45 pagi 27 September mengenai tiga kenderaan mencurigakan yang dilihat bergerak menuju ke arah RAF Fairford.
Polis bersenjata kemudian bertindak dan menahan lima lelaki warga Britain berusia dalam lingkungan 20-an di kawasan Whelford.
Mereka pada mulanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang bahan letupan sebelum turut disiasat kerana disyaki membuat persiapan untuk melakukan tindakan pengganasan.
Kejadian itu mencetuskan operasi keselamatan besar-besaran.
Kira-kira 85 keluarga yang tinggal berhampiran pangkalan dipindahkan sementara pasukan pemusnah bom memeriksa kenderaan yang digunakan suspek.
Tiada alat letupan yang boleh digunakan ditemukan, walaupun petrol dilaporkan ditemui dalam kenderaan berkenaan.
Lima lelaki itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat, tetapi polis menegaskan mereka masih disiasat.
Polis antipengganasan Britain kini menyiasat beberapa kemungkinan, termasuk sama ada individu terbabit bertindak sebagai proksi atau bekerja, sama ada secara sedar atau tidak, bagi pihak sebuah negara asing.
Ketua Polis Antikeganasan Kebangsaan Britain, Encik Laurence Taylor, sebelum ini berkata pihaknya sedang mempertimbangkan kes tersebut daripada setiap sudut.
Polis bagaimanapun belum secara rasmi menamakan Iran sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Teheran dengan tegas menolak dakwaan mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Kedutaan Iran di London menyifatkan spekulasi yang mengaitkan negara itu dengan insiden RAF Fairford sebagai tidak berasas dan sebahagian daripada apa yang disebutnya sebagai kempen “Iranofobia” di Britain.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, turut menolak tuduhan tersebut selepas lima suspek awal dibebaskan dengan ikat jamin.
Beliau mempersoalkan dakwaan bahawa mereka mungkin bertindak bagi pihak sebuah negara asing sedangkan pihak berkuasa Britain membenarkan mereka dibebaskan sementara siasatan diteruskan.
Bagaimanapun, perhatian terhadap kemungkinan kaitan Iran turut berpunca daripada ancaman terdahulu terhadap RAF Fairford.
Pada Julai, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi amaran bahawa pangkalan yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran boleh dianggap sebagai sasaran yang sah.
RAF Fairford semakin aktif selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, dengan pesawat pengebom jarak jauh Amerika dilaporkan keluar masuk dari pangkalan tersebut.
Pergerakan pesawat itu juga boleh dijejaki menerusi pangkalan data penerbangan sumber terbuka.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata bahawa kejadian di RAF Fairford jelas menunjukkan kemungkinan penglibatan pihak asing.
Beliau tidak menamakan negara yang dipercayainya bertanggungjawab, tetapi merujuk kepada ancaman Iran terhadap kepentingan Amerika.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, turut membangkitkan kemungkinan kaitan Iran, tetapi tiada bukti muktamad mengenai penglibatan Teheran diumumkan setakat ini. – Agensi berita.
Insiden itu berlaku ketika Britain meningkatkan perhatian terhadap ancaman keselamatan yang dikaitkan dengan negara asing.
Polis Britain berkata pada September bahawa terdapat peningkatan ketara dalam siasatan berkaitan keselamatan negara dan ancaman negara asing, termasuk beberapa kes yang dikaitkan dengan Iran.
Dalam satu kes berasingan pada Julai, dua lelaki Romania dipenjarakan kerana menikam seorang wartawan Iran International di London pada 2024.
Mahkamah menerima hujah pendakwa bahawa serangan tersebut dilakukan bagi kepentingan dan pihak pemerintah Iran. Polis berkata ancaman terhadap media berbahasa Parsi di Britain terus menjadi perhatian pihak keselamatan.
Namun, bagi kejadian RAF Fairford, persoalan utama masih belum terjawab — termasuk apa yang sebenarnya dirancang lima lelaki yang ditahan Ahad lalu dan sama ada suspek Britain-Iran yang ditahan Khamis mempunyai hubungan dengan mereka atau mana-mana pihak asing.
Polis menyifatkan siasatan itu sebagai sangat rumit dan menegaskan semua kemungkinan masih diperiksa ketika pihak berkuasa cuba menentukan sama ada kejadian tersebut merupakan rancangan pengganasan yang mempunyai kaitan dengan sebuah negara asing.– Agensi berita.