Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, Russia teruskan rundingan damai tanpa Ukraine

Rundingan Riyadh cetus kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah tanpa penglibatan Kyiv
Feb 19, 2025 | 10:29 AM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio (kanan), bertemu dengan Menteri Luar Russia,  Encik Sergei Lavrov, di Istana Diriyah, Riyadh, Arab Saudi, pada 18 Februari.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio (kanan), bertemu dengan Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, di Istana Diriyah, Riyadh, Arab Saudi, pada 18 Februari. - Foto AFP

RIYADH: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pada 18 Februari bahawa ia bersetuju untuk mengadakan lebih banyak rundingan dengan Russia bagi mencari jalan mengakhiri perang di Ukraine.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan awal di ibu negara Arab Saudi, yang tidak melibatkan kehadiran wakil dari Ukraine.

Pendekatan itu berbeza dengan dasar Washington sebelum ini yang lebih cenderung menyatukan sekutu dalam usaha mengasingkan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.

Pertemuan selama empat jam setengah itu menyaksikan Russia menegaskan lagi tuntutannya, terutama menolak sebarang kemungkinan untuk Ukraine menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Encik Trump, yang bercakap kepada wartawan di Palm Beach, Florida, selepas perbincangan, melahirkan keyakinannya terhadap potensi rundingan itu.

“Russia mahu mencapai sesuatu,” kata Encik Trump kepada pemberita sambil menambah bahawa beliau berkemungkinan akan bertemu Encik Putin sebelum akhir Februari.

Bagaimanapun, beliau menolak kebimbangan Ukraine yang tidak dilibatkan dalam rundingan, dengan menyatakan bahawa Kyiv sepatutnya terlibat lebih awal dalam perbincangan tersebut.

“Saya rasa saya ada kuasa untuk menamatkan perang ini,” kata Encik Trump.

Ukraine telah berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima sebarang perjanjian yang dibuat tanpa persetujuan mereka.

Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, turut menekankan bahawa “tidak boleh ada keputusan dibuat tanpa melibatkan Ukraine”.

Sebelum perbincangan di Riyadh berlangsung, beberapa pemimpin Eropah telah mengkritik pendekatan pentadbiran Encik Trump yang didakwa memberi kelebihan konsesi tanpa syarat kepada Moscow.

Pengumuman Washington sebelum ini bahawa keanggotaan Nato untuk Ukraine bukan lagi satu pilihan dan kenyataan bahawa Ukraine sukar mendapatkan semula 20 peratus wilayahnya yang kini di bawah kawalan Russia telah mencetuskan kebimbangan.

Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Mike Waltz, dalam satu sidang media di Riyadh menegaskan bahawa perang perlu ditamatkan secara kekal, yang akan melibatkan perbincangan mengenai sempadan wilayah dan jaminan keselamatan.

“Secara realistik, akan ada perbincangan mengenai wilayah yang diduduki serta jaminan keselamatan di rantau itu,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pula memaklumkan bahawa pasukan peringkat tinggi akan mula berbincang tentang penamatan konflik dan akan berusaha ke arah pemulihan hubungan diplomatik antara Washington dengan Moscow.

Beliau percaya Russia menunjukkan kesediaan untuk berunding secara serius, tetapi menegaskan bahawa proses damai memerlukan pengorbanan daripada semua pihak.

Walaupun Amerika menunjukkan keterbukaan dalam perbincangan ini, pegawai Russia tidak menyatakan kesediaan untuk membuat sebarang konsesi.

Sehingga kini, tiada sebarang tanda bahawa Moscow akan bertolak ansur dalam tuntutannya.

Bagi mengurangkan kebimbangan Ukraine dan sekutu Eropah, Encik Rubio menegaskan bahawa tiada pihak yang disisihkan dan sebarang penyelesaian mestilah diterima oleh semua pihak terlibat.

Selepas rundingan di Riyadh, Encik Rubio mengadakan perbincangan dengan diplomat tertinggi dari Perancis, Jerman, Italy, Britain, dan Kesatuan Eropah untuk memberikan maklumat terkini mengenai hasil rundingan tersebut.

Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, yang dijadual melawat Arab Saudi pada 19 Februari, menangguhkan lawatan tersebut ke Mac.

Sumber yang mengetahui perkara itu menyatakan bahawa penangguhan tersebut dibuat bagi mengelakkan Ukraine memberikan pengiktirafan terhadap rundingan antara Amerika dengan Russia.

Pengarah Eksekutif McCain Institute, Dr Evelyn Farkas, memberi amaran bahawa sebarang perjanjian yang tidak melibatkan Ukraine mungkin akan berakhir dengan lebih banyak konflik.

“Dalam senario terburuk, Ukraine akan terus berjuang. Jika pertahanan mereka runtuh, saya tidak fikir rakyat Amerika mahu melihat perkara itu berlaku di kaca televisyen dan dipersalahkan kerana tidak bertindak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, menegaskan bahawa Moscow tidak akan menerima sebarang kehadiran tentera Nato di Ukraine dalam apa jua bentuk.

“Sudah tentu, ini tidak boleh diterima oleh kami,” tegas Encik Lavrov di Riyadh.

Setakat ini, kedua-dua pihak belum menetapkan tarikh untuk pertemuan langsung antara Encik Trump dengan Encik Putin, walaupun kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk bertemu.

Perkembangan diplomatik ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah dan Washington bahawa Amerika mungkin akan memeterai perjanjian yang tidak mengambil kira keselamatan Ukraine, sekali gus mengukuhkan kedudukan Russia dalam konflik ini.

Ahli Kongres Amerika, Encik Jake Auchincloss, menyifatkan perbincangan Riyadh sebagai satu kemenangan awal bagi Moscow.

“Russia telah memenangi pusingan pertama. Mereka berjaya menyertai rundingan dua hala tanpa perlu memberikan sebarang kompromi,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg