RIYADH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, tiba di Arab Saudi pada 17 Februari bagi menghadiri rundingan penting dengan pegawai Rusia mengenai usaha menamatkan perang hampir tiga tahun di Ukraine.
Rundingan ini diadakan selepas Presiden Donald Trump menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin, mengarahkan pegawai tertinggi Amerika untuk memulakan perbincangan bagi mencapai penyelesaian damai, sesuatu yang sering dijanjikan Encik Trump semasa kempen pilihan rayanya.
“Hari-hari dan minggu-minggu mendatang akan menentukan sama ada Putin benar-benar serius mahu berdamai atau tidak,” kata Encik Rubio pada 16 Februari sebelum berlepas ke Riyadh.
Arab Saudi, yang turut terlibat dalam perbincangan dengan Amerika mengenai masa depan Gaza, memainkan peranan penting dalam hubungan awal antara pentadbiran Trump dan Moscow.
Negara itu telah membantu dalam pertukaran tahanan antara Rusia dan Amerika sebelum ini.
Encik Rubio dijangka menghadiri rundingan di Riyadh bersama Penasihat Keselamatan Nasional Amerika, Encik Mike Waltz, dan Utusan Timur Tengah Rumah Putih, Encik Steve Witkoff.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan siapa wakil dari pihak Russia yang akan menghadiri perbincangan ini.
Akhbar Rusia, Kommersant, melaporkan rundingan Amerika-Russia akan berlangsung pada 18 Februruari di ibu negara Arab Saudi. Jika berjalan lancar, pertemuan ini bakal menjadi langkah awal sebelum rundingan langsung antara Encik Trump dan Encik Putin diadakan.
Dalam masa yang sama, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, juga berada di rantau ini dan telah tiba di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 16 Februari. Beliau dijangka melawat Arab Saudi dan Turkey, tetapi tiada rancangan untuk bertemu pegawai Amerika atau Russia, dan Ukraine tidak dijemput untuk menyertai rundingan di Riyadh.
Selain konflik Ukraine, Encik Rubio juga dijangka bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MbS), bagi membincangkan cadangan Trump mengenai masa depan penduduk Palestin di Gaza.
Pentadbiran Trump sebelum ini mencadangkan agar penduduk Gaza dipindahkan ke negara Arab lain, dengan Amerika mengetuai usaha pembinaan semula wilayah itu.
Bagaimanapun, cadangan ini mendapat tentangan hebat dari negara-negara Arab dan membangkitkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Gaza mengenai kemungkinan mereka diusir dari tanah air sendiri.
Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyaksikan 250 tebusan diambil menurut statistik Israel, Israel melancarkan serangan balas yang telah menyebabkan lebih 48,000 rakyat Palestin terbunuh, menurut pihak kesihatan Gaza.
Walaupun satu gencatan senjata rapuh berjaya dicapai bulan Januari lalu, situasi di Gaza masih menjadi isu utama dalam perbincangan antarabangsa.
Arab Saudi menegaskan bahawa mereka menolak sebarang rancangan pemindahan penduduk Gaza dan sedang mengetuai usaha negara-negara Arab untuk merangka cadangan alternatif, termasuk pembentukan dana pembangunan yang diketuai negara Teluk serta pelan untuk mengetepikan pengaruh Hamas dalam pentadbiran Gaza.
MbS juga berpegang teguh pada pendirian bahawa Arab Saudi tidak akan memulihkan hubungan dengan Israel tanpa perjanjian yang jelas mengenai pembentukan negara Palestin yang berdaulat.
Sebelum tiba di Riyadh, Encik Rubio telah melawat Israel pada 16 Februari dan bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, di mana beliau menegaskan sokongan AS terhadap Israel dalam konflik geopolitik di rantau ini.
“Kami ingin melihat keamanan sebenar di rantau ini, tetapi sebarang penyelesaian mesti menghormati hak rakyat Palestin dan memastikan kestabilan serantau,” kata seorang pegawai Arab yang terlibat dalam rundingan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg