WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman pada 2 Ogos terhadap TikTok dan syarikat induk ByteDance, kerana gagal melindungi privasi kanak-kanak di aplikasi media sosial, ketika pentadbiran Presiden Joe Biden meneruskan tindakan keras ke atas laman media sosial itu.
Pihak berkuasa Amerika berkata, TikTok melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak (Coppa), yang memerlukan perkhidmatan yang bertujuan untuk kanak-kanak mendapatkan kebenaran ibu bapa, untuk mengumpul maklumat peribadi daripada pengguna di bawah umur 13 tahun.
Platform video pendek milik China itu mempunyai kira-kira 170 juta pengguna Amerika, dan kini sedang menentang undang-undang baru yang akan memaksa ByteDance melupuskan aset Amerika TikTok, menjelang 19 Januari 2025, atau ia akan diharamkan.
Tuntutan itu adalah tindakan terbaru Amerika terhadap TikTok dan syarikat induknya dari China, kerana bimbang syarikat itu mengumpul sejumlah besar data mengenai rakyat Amerika, untuk pemerintah China secara tidak wajar, sambil mempengaruhi kandungan dengan cara yang boleh membahayakan rakyat Amerika.
Saman itu, yang disertai oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC), berkata ia bertujuan untuk menamatkan “pencerobohan besar-besaran TikTok, yang menyalahi undang-undang terhadap privasi kanak-kanak.”
Encik Frank Pallone, anggota Demokrat tertinggi dalam Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan, berkata saman itu “menekankan kepentingan melepaskan TikTok daripada kawalan Parti Komunis China.
“Kami tidak boleh terus membenarkan musuh kami mengumpul banyak data sensitif Amerika.”
TikTok berkata pada 2 Ogos, ia tidak bersetuju “dengan dakwaan ini, kebanyakannya berkaitan dengan peristiwa dan amalan masa lalu, yang secara faktanya tidak tepat atau telah ditanganinya.
“Kami berbangga dengan usaha kami untuk melindungi kanak-kanak, dan kami akan terus mengemas kini serta menambah baik platform,” katanya.
Jabatan Kehakiman Amerika berkata TikTok dengan sengaja membenarkan kanak-kanak membuat akaun TikTok biasa, dan kemudian mencipta dan berkongsi video dan mesej pendek dengan orang dewasa dan orang lain di platform TikTok biasa.
TikTok mengumpul maklumat peribadi daripada kanak-kanak ini tanpa mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka.
Amerika mendakwa bahawa selama bertahun-tahun, berjuta-juta kanak-kanak Amerika di bawah 13 tahun telah menggunakan TikTok, dan laman web itu “telah mengumpul dan menyimpan maklumat peribadi kanak-kanak.”
“TikTok secara sedar dan berulang kali melanggar privasi kanak-kanak, mengancam keselamatan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh negara,” kata pengerusi FTC Lina Khan, yang agensinya pada Jun merujuk kes itu kepada Jabatan Kehakiman. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg