AS sedia iring kapal tangki di Selat Hormuz susulan ancaman Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS sedia iring kapal tangki di Selat Hormuz susulan ancaman Iran

Mar 4, 2026 | 10:29 AM

AS sedia iring kapal tangki di Selat Hormuz susulan ancaman Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
selat hormuz, ancaman iran
Pemandu beratur untuk mengisi petrol kenderaan mereka di sebuah stesen minyak di kawasan Marina Del Rey, Los Angeles, California, pada 2 Mac. Harga tenaga melonjak pada hari yang sama apabila perang di Asia Barat menjejaskan operasi beberapa kemudahan pengeluaran tenaga utama. Pasaran tenaga global turut terkesan oleh penghentian de facto trafik perkapalan di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk mengiringi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia, ketika konflik ketenteraan dengan Iran semakin memuncak dan menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.

Presiden Amerika Donald Trump berkata Tentera Laut negara itu bersedia bertindak bagi memastikan laluan strategik berkenaan kekal terbuka kepada perdagangan antarabangsa.

“Jika perlu, Tentera Laut Amerika akan mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social.

Beliau menegaskan Washington tidak akan membenarkan gangguan terhadap bekalan tenaga global.

“Apa pun yang berlaku, Amerika akan memastikan aliran bebas tenaga kepada dunia terus terjamin. Kekuatan ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat adalah yang paling hebat di dunia,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Encik Trump turut mengarahkan Perbadanan Pembiayaan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (DFC), agensi pemerintah yang memberi tumpuan kepada pelaburan infrastruktur luar negara, agar menawarkan jaminan keselamatan kewangan kepada perdagangan maritim.

Langkah itu termasuk menyediakan insurans risiko politik bagi melindungi perdagangan laut, khususnya penghantaran tenaga yang melalui rantau Teluk.

Keputusan Iran menutup Selat Hormuz susulan serangan udara bersama Amerika dan Israel menggegarkan pasaran perkapalan global, dengan penganalisis memberi amaran gangguan berpanjangan terhadap perdagangan tenaga dan kontena, 

Ketegangan di laluan perairan itu meningkat selepas Iran mengancam untuk menutup dan menyerang mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz.

Seorang penasihat kanan tentera Iran, Encik Ebrahim Jabari, memberi amaran bahawa pasukan keselamatan negara itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

“Selat Hormuz telah ditutup. Jika sesiapa cuba melaluinya, wira Pengawal Revolusi dan tentera laut biasa akan membakar kapal-kapal itu,” katanya dalam kenyataan yang dipetik media negara Iran.

Ancaman itu mencetuskan kebimbangan besar di Washington dan ibu kota lain di dunia kerana Selat Hormuz memainkan peranan penting dalam perdagangan tenaga global.

Konflik antara Amerika, Israel dan Iran tercetus pada 28 Februari lalu selepas beberapa siri serangan udara oleh Washington dan Tel Aviv terhadap sasaran di Iran, sekali gus meningkatkan ketegangan di Asia Barat.

Seorang sumber yang mengetahui perbincangan strategik di Washington berkata pasaran tenaga kini berdepan tekanan yang semakin meningkat.

“Semakin lama kempen ketenteraan ini berlarutan dan semakin luas kawasan konflik, pasaran tenaga global akan menghadapi tekanan yang lebih besar,” katanya kepada Politico.

Beliau menambah bahawa akses kepada Selat Hormuz amat penting bagi penghantaran minyak mentah dan gas asli.

“Laluan ini sangat penting untuk penghantaran gas dan minyak, khususnya dari Qatar dan Arab Saudi,” katanya.

Kesan konflik itu sudah mula dirasai di Amerika apabila harga petrol meningkat dengan ketara.

Purata harga petrol di negara itu meningkat sebanyak 12 sen bagi setiap gelen (3.78 liter) pada 2 Mac lalu, dan penganalisis menjangkakan harga itu boleh terus meningkat.

Kenaikan harga tenaga menjadi isu politik sensitif di Amerika, terutama ketika musim pilihan raya pertengahan penggal yang sering dipengaruhi oleh kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup.

Pada masa sama, Iran turut melancarkan serangan terhadap beberapa kemudahan tenaga di Arab Saudi dan Qatar.

Penganalisis berkata tindakan itu adalah sebahagian daripada strategi Teheran untuk memperluaskan konflik dan meningkatkan tekanan ekonomi global.

Profesor hubungan antarabangsa di Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan Johns Hopkins, Encik Vali Nasr, berkata Iran sedar ia berhadapan dengan tentera yang lebih kuat dari segi teknologi.

“Perang ini menjadi ujian ketahanan dan keazaman...Iran berhadapan dengan tentera yang jauh lebih maju. Oleh itu strateginya adalah memperluaskan medan konflik, merumitkan perang dan meningkatkan risiko terhadap ekonomi dunia,” katanya.

Ketegangan di Selat Hormuz juga memberi kesan besar kepada pasaran perkapalan global.

Ahli ekonomi kanan sektor pengangkutan, logistik dan automotif di ING Group, Encik Rico Luman, berkata laluan sempit itu mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia serta gas asli cecair (LNG).

“Selat Hormuz adalah salah satu laluan tenaga paling kritikal di dunia,” katanya.

Beliau berkata kesannya sudah mula kelihatan apabila kadar sewa kapal tangki minyak meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Harga dijangka terus meningkat kerana semakin banyak kapal tangki terpaksa berlabuh di luar selat itu, sekali gus mengurangkan kapasiti kapal yang boleh beroperasi.

Pada masa sama, premium insurans bagi penghantaran melalui kawasan konflik turut melonjak selepas syarikat insurans mengaktifkan klausa risiko peperangan.

Selat Hormuz terletak di pintu masuk Teluk Parsi dan menjadi laluan utama eksport minyak serta LNG dari Asia Barat ke pasaran global melalui Laut Arab dan Lautan Hindi.

Pengeluar utama seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Kuwait, Iraq dan Qatar sangat bergantung kepada laluan tersebut untuk menghantar tenaga ke seluruh dunia.

Selain negara Barat, ekonomi utama Asia seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan juga bergantung kepada bekalan tenaga yang melalui selat itu.

Krisis di rantau itu bukan sahaja menjejaskan perdagangan tenaga, malah turut memberi kesan kepada industri perkapalan kontena.

Menurut Encik Luman, beberapa syarikat perkapalan utama kini menarik diri daripada operasi di kawasan tersebut kerana risiko keselamatan yang semakin meningkat.

Laluan melalui Laut Merah dan Terusan Suez juga semakin dielakkan, menyebabkan syarikat pengendali kapal mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Sebahagian pengendali, termasuk syarikat perkapalan global Maersk, dilaporkan mengehadkan operasi mereka di rantau berkenaan walaupun baru sahaja menyambung semula sebahagian aktiviti sebelum ini.

“Apabila premium insurans risiko perang meningkat, syarikat perkapalan mungkin memilih untuk mengelak laluan ini sama sekali,” kata Encik Luman.

Beliau menjangkakan lebih banyak kapal akan mengambil laluan alternatif yang lebih panjang dengan mengelilingi Tanjung Harapan di selatan Afrika.

Laluan yang lebih panjang itu dijangka meningkatkan kos operasi perkapalan dengan ketara dan menjejaskan rantaian bekalan global.

Ia juga boleh menyebabkan penghantaran barangan ke beberapa negara dan rantau Mediterranean mengambil masa lebih lama.

Encik Luman memberi amaran bahawa pasaran global perlu bersedia menghadapi tempoh pelayaran yang lebih panjang serta ketidaktentuan bekalan.

Menurutnya, gabungan ketidakstabilan serantau dan kenaikan harga bahan api boleh meningkatkan kos logistik global secara mendadak.

“Kos perkapalan akan meningkat dan gangguan terhadap rantaian bekalan mungkin berlarutan jika konflik ini berpanjangan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kadar tambang kontena yang sebelum ini menunjukkan trend menurun dijangka meningkat semula berikutan perkembangan terkini di Asia Barat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg