Iran tutup Selat Hormuz, Israel bedil serentak Teheran, Lebanon
Iran tutup Selat Hormuz, Israel bedil serentak Teheran, Lebanon
Iran beri amaran akan serang kapal yang melalui Selat Hormuz, langkah berisiko ganggu 20% bekalan minyak dunia
TEHERAN: Iran mengumumkan bahawa Selat Hormuz kini ditutup dan memberi amaran bahawa Teheran akan melepaskan tembakan ke atas mana-mana kapal yang cuba melalui laluan strategik itu, ketika ketegangan memuncak susulan serangan yang diterajui Amerika Syarikat ke atas Iran.
Amaran tersebut dibuat ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mula melaksanakan serangan serentak ke atas Teheran dan Beirut. Tentera Udara Israel dilaporkan melancarkan serangan bersasar terhadap apa yang disifatkan sebagai sasaran ketenteraan rejim Iran dan kumpulan Hezbollah.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pula memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan Washington boleh berlanjutan lebih lama daripada jangkaan awal.
Langkah Teheran menutup Selat Hormuz berpotensi menjejaskan 20 peratus aliran minyak dunia serta melonjakkan harga tenaga global.
Penutupan itu juga dilihat sebagai pelaksanaan ancaman lama Iran untuk menyekat laluan strategik itu sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan ke atas Republik Islam berkenaan.
Qatar, antara pengeksport utama gas asli cecair dunia, menghentikan pengeluaran berikutan kebimbangan keselamatan penghantaran melalui Selat Hormuz.
Arab Saudi pula menutup penapisan minyak terbesar negara itu selepas serangan dron mencetuskan kebakaran di kemudahan tenaga.
Di rantau Teluk, ketegangan turut dirasai apabila dua dron menyerang Kedutaan Amerika di Riyadh, Arab Saudi, manakala letupan kuat kedengaran di Dubai, Samha di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Doha di Qatar.
Encik Trump berkata Amerika akan membalas “tidak lama lagi” selepas dron yang disyaki milik Iran menyerang Kedutaan Amerika di Riyadh yang menyebabkan kerosakan kecil dan kebakaran terhad.
Tentera udara Qatar menembak jatuh dua pesawat yang memasuki ruang udara dari Iran pada 2 Mac, kata kementerian pertahanan Doha selepas republik Islam itu sebelum ini menyasarkan kemudahan gas di negara Teluk tersebut.
Konflik yang tercetus sejak 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mengheret rantau Teluk ke dalam ketidakstabilan yang semakin serius sehingga 3 Mac.
Puluhan orang awam dilaporkan terbunuh di Iran, Israel dan Lebanon manakala ruang udara di beberapa negara ditutup dan laluan perkapalan terganggu. Hezbollah yang merupakan sekutu utama Teheran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, mendorong Israel membalas dengan serangan udara besar-besaran ke atas pinggir selatan Beirut yang dikuasai kumpulan itu. Agensi berita rasmi Lebanon NNA, melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 149 lagi cedera akibat serangan tersebut.
Komando Pusat Amerika turut memaklumkan bahawa Kuwait tersilap menembak jatuh tiga jet pejuang F-15E milik Amerika ketika serangan balas Iran. Semua enam kru pesawat berjaya keluar dan diselamatkan.
Tentera Amerika juga menyatakan lebih 1,250 sasaran di Iran telah diserang dan 11 kapal Iran dimusnahkan. Enam anggota tentera Amerika dilaporkan terbunuh setakat ini dalam serangan balas Iran di Kuwait.
Di Tel Aviv, letupan kuat dilaporkan apabila sistem pertahanan udara Israel memintas peluru berpandu Iran. Israel turut menyatakan bahawa ia menyerang kompleks yang menempatkan penyiar rasmi Iran, IRIB, di Teheran.
Di Iran, orang awam turut meluahkan kemarahan terhadap konflik yang semakin memuncak.
“Mereka membunuh kanak-kanak, mereka menyerang hospital. Adakah ini demokrasi yang Trump mahu bawa kepada kami?” kata Encik Morteza Sedighi, 52 tahun, seorang guru dari Tabriz.
“Orang yang tidak bersalah dahulu dibunuh oleh rejim, dan kini oleh Israel serta Amerika Syarikat,” tambahnya. – Agensi berita.

