Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS sekali lagi nafi visa Abbas ke Perhimpunan Agung PBB
AS sekali lagi nafi visa Abbas ke Perhimpunan Agung PBB
WASHINGTON: Amerika Syarikat sekali lagi menafikan visa Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu depan, sekali gus menghalangnya daripada menghadiri pertemuan tahunan pemimpin dunia itu secara bersemuka.
Sumber yang mengetahui perkara itu pada 16 September mengesahkan kepada AFP bahawa Encik Abbas termasuk dalam kalangan pegawai Palestin yang dikenakan sekatan visa terbaru oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Encik Abbas dinafikan visa untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB.
Pada 2025, tindakan sama memaksanya menyampaikan ucapan kepada perhimpunan itu menerusi rakaman video.
Dalam kenyataan pada 16 September yang tidak menyebut Encik Abbas secara khusus, Jabatan Negara Amerika berkata visa akan dinafikan kepada anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pegawai Penguasa Palestin (PA).
Washington berkata tindakan itu diambil kerana kedua-dua badan berkenaan didakwa gagal melaksanakan pembaharuan seperti yang dijanjikan kepada Amerika serta terus menjalankan kegiatan yang menurutnya menjejaskan prospek keamanan.
Jabatan Negara berkata PLO dan PA “sekali lagi gagal memenuhi komitmen mereka”, termasuk dengan memulakan atau menyokong tindakan di pertubuhan antarabangsa yang didakwa bercanggah dengan komitmen terdahulu.
Washington turut menuduh kepimpinan Palestin cuba membawa konflik Israel-Palestin ke badan antarabangsa, termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selain berusaha mendapatkan pengiktirafan sebuah negara Palestin tanpa melalui rundingan dengan Israel.
Amerika juga mengulangi dakwaan bahawa PA terus membuat bayaran kepada individu yang disifatkannya sebagai pengganas dan keluarga mereka serta memuliakan tindakan keganasan menerusi kenyataan awam dan buku teks sekolah.
Pihak Palestin sebelum ini mempertikaikan beberapa tuduhan Amerika dan Israel berkaitan dasar berkenaan.
Keputusan Washington itu dibuat ketika isu pengiktirafan negara Palestin terus menjadi antara perkara yang membezakan Amerika dengan banyak anggota PBB.
Sebanyak 142 negara anggota PBB menyokong langkah berkaitan penyelesaian dua negara susulan persidangan yang dipengerusikan bersama Perancis dan Arab Saudi, sementara beberapa negara turut mengiktiraf negara Palestin pada 2025.
Ketegangan turut meningkat di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, dengan keganasan melibatkan peneroka Israel dan penduduk Palestin dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Keadaan di wilayah itu semakin meruncing sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Jaluran Gaza.
Menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,109 rakyat Palestin, termasuk orang awam dan pejuang, terbunuh di Tebing Barat akibat tindakan tentera atau peneroka Israel sejak 7 Oktober 2023.
Serangan pimpinan Hamas pada hari itu pula membunuh lebih 1,200 orang di Israel.
Kempen ketenteraan Israel yang menyusul di Gaza telah mengorbankan lebih 73,700 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas.
Angka kementerian itu secara umum dianggap boleh dipercayai oleh PBB.
Masyarakat antarabangsa semakin menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan di Tebing Barat, termasuk tindakan peneroka Israel.
Amerika setakat ini menegaskan bahawa ia menentang sebarang langkah Israel untuk merampas atau mengilhakkan wilayah Palestin.
Penafian visa terbaru itu bermakna Encik Abbas sekali lagi mungkin perlu menyampaikan ucapannya kepada Perhimpunan Agung PBB dari luar Amerika, seperti yang dilakukannya pada tahun lalu. - Agensi berita
