NEW YORK: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, akan berucap secara maya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengambil langkah luar biasa menghalang beliau dan pegawai tertinggi Palestin daripada memasuki New York.
Tindakan ini mencerminkan pendirian keras Washington yang menolak penubuhan negara Palestin, walaupun wujud tekanan global agar penyelesaian dua negara segera dipercepatkan.
Encik Abbas, yang berusia 89 tahun dan telah memimpin Penguasa Palestin sejak 2005, dijangka menyampaikan mesej penting kepada dunia hanya tiga hari selepas Perancis mengetuai sidang khas yang menyaksikan beberapa negara Barat mengiktiraf Palestin.
Perhimpunan Agung PBB sebelum ini meluluskan secara besar-besaran usul membenarkan Encik Abbas berucap melalui rakaman video. “Walaupun dihalang daripada hadir secara fizikal, suara Palestin tetap akan sampai ke dunia,” kata seorang diplomat Palestin kepada wartawan di New York.
Situasi ini berlaku ketika tekanan terhadap Israel semakin meningkat. Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu sekali lagi menegaskan penolakannya terhadap pembentukan negara Palestin. “Tidak akan ada negara Palestin,” katanya, sambil menyokong anggota kabinetnya yang mahu menguasai Tebing Barat bagi menutup sebarang peluang kemerdekaan penuh untuk rakyat Palestin.
Namun, perkembangan terbaru menunjukkan tanda-tanda pergeseran. Presiden Perancis Encik Emmanuel Macron mendedahkan bahawa Encik Trump, walaupun menolak negara Palestin, bersetuju dengannya menentang penaklukan Tebing Barat oleh Israel.
“Apa yang Presiden Trump beritahu saya semalam (24 September) ialah bahawa Eropah dan Amerika berkongsi pendirian yang sama menolak penaklukan,” kata Encik Macron dalam temu bual bersama France 24 dan Radio France Internationale.
Dalam usaha diplomatik lain, Encik Trump melalui utusannya Steve Witkoff rakan rapatnya yang kini memainkan peranan sebagai perunding global membentangkan pelan damai 21 perkara kepada kumpulan pemimpin Arab dan Islam bagi menamatkan perang yang telah berlarutan hampir dua tahun.
“Saya fikir pelan ini menangani kebimbangan Israel serta negara jiran di rantau ini,” kata Ebcik Witkoff dalam sidang Concordia yang berlangsung seiring dengan perhimpunan PBB. “Kami berharap, malah yakin, dalam beberapa hari akan datang kita boleh mengumumkan satu kejayaan.”
Menurut sumber Rumah Putih, Encik Trump mahu konflik diselesaikan dengan segera. “Presiden berhasrat membawa peperangan ini kepada penutup secepat mungkin,” kata seorang pegawai kepada AFP, sambil menambah negara-negara yang terlibat dalam mesyuarat itu berminat bekerjasama dengan Encik Witkoff untuk menilai cadangan Amerika.
Pelan yang dikemukakan Amerika turut menggabungkan elemen utama cadangan Perancis, termasuk pelucutan senjata Hamas dan penghantaran pasukan penstabilan antarabangsa ke Gaza selepas gencatan senjata tercapai.
Satu dokumen dasar Perancis yang dilihat AFP mencadangkan pemindahan kawalan keselamatan Gaza secara beransur-ansur kepada Penguasa Palestin yang diperbaharui.
Indonesia turut menyatakan kesediaan menyumbang tenaga dalam usaha pemulihan pasca-perang. Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, yang hadir dalam mesyuarat bersama Encik Trump, menawarkan sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera untuk menyokong operasi kestabilan. “Kami bersedia membantu bagi memastikan keamanan dan keselamatan di Gaza,” katanya.
Walaupun Encik Abbas dilarang hadir, beliau sebelum ini dalam ucapannya pada 22 September mengecam serangan besar-besaran Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang telah membawa tindak balas ketenteraan Israel yang berlarutan hingga kini.
Encik Abbas juga menyeru Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan kawalan keselamatan kepada Penguasa Palestin bagi memudahkan usaha damai.
Perancis dan beberapa kuasa Eropah lain mengingatkan bahawa Penguasa Palestin perlu melalui reformasi besar agar lebih berkesan dan diyakini rakyat Palestin sendiri. Namun mereka menolak usaha Amerika dan Israel yang cuba menyingkirkan legitimasi kepimpinan Encik Abbas sepenuhnya.
Sementara itu, Encik Netanyahu dijadual menyampaikan ucapan balas pada 26 September dengan dijangka mengekalkan pendirian keras terhadap negara Palestin.
Analisis politik menjangkakan Encik Netanyahu akan mempertahankan rancangan keselamatan Israel sambil mengkritik pengiktirafan negara-negara Barat terhadap Palestin.
Tindakan Amerika menghalang Encik Abbas dan rombongannya dilihat semakin mengasingkan Washington dalam isu Palestin. Sebahagian besar negara dunia meneruskan tekanan terhadap Israel dan mendesak pembentukan negara Palestin, manakala Amerika kekal berhati-hati dan lebih fokus kepada keselamatan Israel.
Ia menonjolkan lagi jurang antara Washington dan majoriti komuniti antarabangsa dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan lestari bagi konflik yang berlarutan lebih 70 tahun ini.
Namun, penentangan Encik Trump terhadap penguasaan Tebing Barat memberi petunjuk bahawa Washington masih tidak mahu keadaan di rantau itu menjadi lebih tegang.
Seorang diplomat Eropah berkata, “Walaupun Amerika menolak pembentukan negara Palestin, penting bagi mereka sekurang-kurangnya menghalang Israel daripada mengambil alih wilayah Palestin. Jika tidak, peluang untuk damai akan hilang sama sekali.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg