WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata pada 22 November bahawa ia akan menghalang import dari puluhan syarikat yang berpangkalan di China – merangkumi perniagaan dalam industri logam hingga makanan – yang dibimbangi mengeksploitasi buruh paksa.
Sekitar 30 syarikat akan ditambah dalam senarai entiti Akta Pencegahan Buruh Paksa Uighur, oleh pegawai Amerika.
Ini bermaksud barangan yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh syarikat-syarikat ini akan disekat daripada memasuki negara itu.
Penambahan baru ini menjadikan jumlah keseluruhan syarikat dalam senarai tersebut kepada 107, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Ini kerana syarikat-syarikat tersebut didapati memperoleh bahan dari wilayah Xinjiang di barat laut China, atau bekerjasama dengan pemerintah tempatan untuk “merekrut, memindahkan, dan mengambil pekerja – termasuk penduduk etnik Uighur, keluar dari Xinjiang” kata pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR).
Beijing telah didakwa memenjarakan lebih satu juta individu Uighur dan minoriti Muslim lain dalam kem tahanan di Xinjiang, walaupun pegawai China dengan tegas menafikan dakwaan tersebut.
Syarikat-syarikat yang baru dimasukkan dalam senarai itu, menghasilkan barangan daripada produk pertanian hingga aluminium dan polisilikon.
Mereka juga mengusahakan dan memproses logam seperti tembaga, emas, dan nikel, tambah kenyataan dari USTR.
Antara mereka adalah syarikat yang berkaitan dengan pengeluar bateri kenderaan elektrik China, CATL, dan Gotion, menurut jawatankuasa bipartisan Kongres Amerika pada 22 November.
Pada awal 2024, Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (CCP) dan beberapa pihak lain telah mengaitkan CATL dan Gotion dengan dua perniagaan, Xinjiang Nonferrous dan Xinjiang Joinworld – kededuanya telah disertakan dalam senarai terbaru itu.
Pengerusi jawatankuasa CCP, Encik John Moolenaar, dan perwakilan lain telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan:
“Walaupun kami senang hati dengan langkah awal ini, kami tetap bimbang jika rantaian bekalan CATL dan Gotion berkait rapat dengan wilayah Xinjiang.”
Peraturan import ini akan berkuat kuasa pada 25 November, jelas AFP.
“Syarikat tidak seharusnya memperoleh kelebihan secara tidak adil dengan mengeksploitasi pekerja,” kata Wakil Perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai.
“Kami akan menguatkuasakan undang-undang kami untuk mencegah buruh paksa dan menghalang syarikat yang melanggar hak pekerja daripada mendapat keuntungan dari pasaran Amerika,” tambah beliau dalam satu kenyataan.
Akta Pencegahan Buruh Paksa Uighur telah dikuatkuasakan pada 2021. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg