Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS sertai PBB kecam serangan Israel di Doha

Kenyataan bersama ditandatangani semua 15 anggota termasuk AS bagaimanapun tidak sebut nama Israel secara khusus
Sep 12, 2025 | 10:27 AM
AS, PBB, serangan Israel di Doha
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, berucap kepada delegasi dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 11 September 2025. - Foto REUTERS

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 September sebulat suara mengecam serangan udara Israel di Doha, Qatar, dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh semua 15 anggotanya termasuk Amerika Syarikat – kesatuan yang jarang sekali berlaku apabila melibatkan isu berkaitan Israel.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama Israel secara khusus, namun jelas negara tersebut menjadi sasaran kritikan.

“Anggota Majlis menekankan kepentingan meredakan ketegangan dan melahirkan perpaduan mereka dengan Qatar,” ujar kenyataan itu.

“Mereka juga menegaskan sokongan kepada kedaulatan dan integriti wilayah Qatar, selaras dengan prinsip Piagam PBB.”

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan diadakan bagi membincangkan serangan udara Israel pada 9 September ke atas sebuah kompleks kediaman di Doha, yang Tel Aviv sifatkan khusus untuk menyasar pertemuan pemimpin kanan Hamas.

Israel berulang kali menegaskan bahawa ia akan memburu musuhnya di mana-mana sahaja, termasuk mereka yang didakwa bertanggungjawab terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Namun, serangan di Qatar, negara yang memainkan peranan penting sebagai pengantara gencatan senjata dianggap melampaui batas, termasuk oleh sekutu paling rapat Israel, Amerika.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menulis di media sosial: “Menyerang secara sepihak ke atas Qatar, sebuah negara berdaulat dan sekutu rapat Amerika Syarikat yang berusaha gigih mengatur perdamaian tidak membantu matlamat Israel mahupun Amerika.”

Lazimnya, Washington sering melindungi Israel daripada sebarang kecaman di PBB, namun kali ini ia tidak berbuat demikian.

Duta Sementara Amerika Syarikat ke PBB, Cik Dorothy Shea, mengulangi kenyataan di dewan Majlis Keselamatan, sambil menegaskan bahawa menyingkirkan Hamas tetap menjadi “matlamat yang wajar”.

Israel pula mempertahankan tindakannya.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata: “Serangan itu hanya menyasarkan pengganas Hamas yang merancang serangan 7 Oktober. Tiada tempat selamat untuk pengganas... tidak di Gaza, tidak di Teheran dan tidak di Doha.”

Serangan itu mengorbankan enam orang, termasuk orang awam, dengan pemimpin kanan Hamas dikhabarkan selamat daripada pengeboman tersebut.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, ke New York untuk menghadiri sesi tergempar itu.

Beliau mengecam keras serangan tersebut, menegaskan kawasan yang dibom adalah kawasan kediaman yang dihuni orang awam.

“Serangan ini telah menggemparkan penduduk tempatan,” katanya.

“Lokasi itu diketahui sebagai kawasan penempatan pasukan pengantara Hamas, dan maklumat ini telah diketahui oleh pihak-pihak terlibat dalam konflik. Israel telah melampaui segala batas.”

Beliau menambah: “Serangan ini menguji kesungguhan masyarakat antarabangsa. Bagaimana kita boleh menerima kehadiran wakil Israel selepas mereka melakukan serangan ini?

Duta Algeria ke PBB, Encik Amar Bendjama, satu-satunya wakil Arab dalam Majlis Keselamatan, turut mengecam tindakan Israel.

“Israel berkelakuan seolah-olah undang-undang tidak wujud, seolah-olah sempadan hanyalah ilusi, seolah-seolah kedaulatan itu boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Negara Arab lain termasuk Mesir, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyuarakan kebimbangan hubungan rapat dengan Washington tidak mampu melindungi mereka daripada tindakan ketenteraan Israel.

Serangan ke atas Qatar menambahkan lagi ketegangan serantau di tengah-tengah krisis kemanusiaan di Gaza.

Lebih 200,000 orang dilaporkan terpaksa melarikan diri selepas serangan Israel yang kian diperhebat di Bandar Gaza.

Sebahagian anggota Majlis Keselamatan menuduh Israel sebagai “penghasut perang” yang “menggagalkan rundingan damai”.

“Adalah dikesali pemerintah Israel memilih untuk melakukan satu lagi tindakan permusuhan,” kata Duta Timbalan Korea Selatan ke PBB, Encik Sangjin Kim, yang memegang jawatan Presiden Majlis secara bergilir pada September ini.

Sekretariat PBB, Timbalan Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Politik, Cik Rosemary DiCarlo, menyifatkan Qatar sebagai “rakan penting dalam usaha perdamaian” dan melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Israel.

“Serangan ini mewakili satu peningkatan yang membimbangkan,” katanya.

Qatar memberi amaran ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran kedaulatannya, sementara negara Arab lain menilai semula sejauh manakah mereka benar-benar dilindungi oleh hubungan dengan Washington.

“Israel sedang menggugat kestabilan rantau ini dengan sikap terburu-buru,” tegas Sheikh Mohammed al-Thani.

“Dunia harus memutuskan sama ada membiarkan undang-undang antarabangsa terus dipijak, atau berdiri bersama Qatar untuk menegakkan kedaulatan dan keamanan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg