DOHA: Serangan udara Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Qatar sekutu rapat Amerika Syarikat dan lokasi pangkalan tentera Amerika terbesar di rantau Teluk telah menggoncang keyakinan pemimpin Arab terhadap nilai sebenar jaminan keselamatan Washington.
Negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain mengecam serangan tersebut. Namun, tiada yang dijangka bertindak balas secara ketenteraan atau mengenakan sekatan perdagangan terhadap Israel.
Sebaliknya, penganalisis menjangkakan ia mempercepatkan usaha negara Arab memperluas hubungan dengan kuasa global lain seperti China dan Russia, selain mempererat kerjasama politik serta ketenteraan serantau.
“Jika anda sebuah negara Arab yang menempatkan pangkalan tentera Amerika, atau anggota Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) seperti Turkey, kemudian melihat sekutu utama Amerika menyerang Qatar, anda pasti akan mula meragui payung keselamatan Amerika yang anda bayar dengan harga tinggi,” kata Cik Ellie Geranmayeh, Timbalan Pengarah Program Timur Tengah dan Afrika Utara di Majlis Eropah bagi Hubungan Luar.
Serangan ini turut menjejaskan objektif utama dasar luar Presiden Amerika Donald Trump iaitu melemahkan Iran dan memperluas integrasi antara Israel dengan negara Arab. Sebaliknya, negara Teluk kini mungkin mendekatkan diri dengan Teheran.
“Sebelum ini, ancaman daripada Iran yang kuat mendorong negara-negara Teluk mendekati Israel. Tetapi kini, dengan Israel yang kelihatan semakin tidak terkawal, negara-negara Teluk mula menjauh dan malah mempertimbangkan untuk mempererat hubungan dengan Iran,” kata Encik Mustafa Fahs, penganalisis dari Beirut.
Seorang pegawai UAE berkata negaranya “terkejut” dengan serangan ke atas Qatar dan kini melihat Israel semakin menyerupai Iran menjadi ancaman kepada kestabilan rantau ini.
Encik Abdulaziz Al-Anjeri, Ketua Reconnaissance Research berpangkalan di Kuwait, menegaskan: “Ironinya, Israel melancarkan serangan yang sama seperti amaran mereka sebelum ini kononnya akan datang dari Iran terhadap GCC (Majlis Kerjasama Teluk). Kini amaran itu mereka sendiri yang lakukan.”
Beliau menambah: “Payung keselamatan Amerika Syarikat kini terbukti tidak menyeluruh, ia tidak melindungi daripada ancaman Israel, dan kelemahan ini tidak dapat dipulihkan lagi.”
Namun menurut Dr Robert Satloff dari Institut Washington bagi Dasar Asia Barat Dekat , reaksi negara Teluk yang hanya bersifat retorik mungkin menandakan mereka melihat serangan ini sebagai insiden terpencil, bukannya perubahan besar.
Tetapi bagi ramai pemerhati, serangan di Doha jelas berbeza kerana bandar itu ialah pusat kewangan serantau dan kediaman dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia. “Api kini sudah sampai ke depan pintu mereka sendiri, bukan lagi di pinggiran,” kata Oraib Al-Rantawi dari Pusat Pengajian Politik Al-Quds di Jordan.
Dalam sidang akhbar sehari selepas serangan 9 September itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani, kelihatan marah ketika mengkritik tindakan Israel. “Netanyahu sendiri berkata beliau akan melakar semula peta Timur Tengah. Adakah mesejnya beliau juga mahu melakar semula Teluk?” soalnya sambil mengetuk jari di podium.
Beliau turut mendedahkan bahawa Amerika hanya memaklumkan Doha mengenai serangan itu 10 minit selepas ia berlaku. “Ini adalah keganasan negara, dan kami telah dikhianati,” katanya lagi.
Ironinya, Qatar baru sahaja menyambut Encik Trump awal tahun 2025 ini dengan penuh penghormatan, menghadiahkan jet presiden dan berjanji melabur AS$500 bilion ($6.42 bilion) di Amerika.
Pada 10 September, Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani menerima lawatan rasmi Presiden UAE Sheikh Mohamed Bin Zayed bersama lebih sedozen pegawai ketenteraan dan keselamatan kanan menandakan solidariti Teluk di saat getir.
Dr Hasan Alhasan dari Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) di Bahrain berkata: “Israel kini terbukti sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan Teluk Arab. Negara GCC tidak dilengkapi untuk menghadapi ancaman sebegini. Serangan ke atas Qatar mesti mencetuskan penilaian semula hubungan dengan Amerika.”
Menurut penganalisis, negara Teluk mungkin mencari rakan baharu. Mendekatkan diri kepada Moscow atau Beijing akan mengecewakan Washington, tetapi mereka boleh juga memilih negara seperti Turkey, Pakistan, India atau Indonesia bahkan mempercepatkan pembuatan senjata mereka sendiri.
Encik Ali Shihabi, penulis dari Arab Saudi yang dekat dengan istana, menekankan: “Struktur Pemerintahan Pusat (Centcom) sepatutnya menjamin pencegahan, sekurang-kurangnya daripada sesama anggota Centcom. Serangan ini memusnahkan jaminan itu.”
Amerika kini mempunyai kira-kira 40,000 anggota tentera di Timur Tengah, termasuk di Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar markas hadapan Centcom Amerika Syarikat yang meliputi 21 negara dari Afrika Timur Laut hingga Asia Tengah. Namun serangan Israel ke atas Doha jelas memperlihatkan jurang dalam perlindungan tersebut.
“Ini bukti bahawa Israel boleh menyerang sesiapa sahaja yang dianggap musuh, tidak kira lokasi. Seluruh Timur Tengah kini boleh jadi medan perangnya,” kata seorang diplomat Eropah di Teluk.
Serangan ke atas Qatar yangmerupakan anggota GCC dilihat sebagai “melintasi garisan merah” bagi seluruh rantau. “Apa yang berlaku di Doha bukan sekadar serangan, tetapi isyarat bahawa struktur keselamatan yang selama ini dijanjikan sudah tidak boleh dipercayai,” kata Dr Hasan.
Dengan hubungan Qatar-UAE yang kembali rapat selepas bertahun-tahun ketegangan, dan Arab Saudi menunjukkan solidariti, mesejnya jelas: Israel kini dianggap ancaman bersama.
“Israel kini terbukti sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan Teluk Arab. Serangan ini mesti mencetuskan penilaian semula hubungan dengan Amerika,” tambah Dr Hasan. - Agensi berita 


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg