Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS: Siaran langsung hukuman mati penembak Fort Hood tidak cetus ancaman keselamatan
AS: Siaran langsung hukuman mati penembak Fort Hood tidak cetus ancaman keselamatan
WASHINGTON: Pegawai kanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 11 Oktober berkata rancangan menyiarkan secara langsung hukuman mati ke atas pelaku yang terlibat dalam kejadian tembakan rambang askar Amerika tidak akan mencetuskan risiko keselamatan tambahan kepada negara itu.
“Saya langsung tidak melihat sebarang peningkatan risiko pada ketika ini disebabkan hal ini,” kata Ketua Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Encik Markwayne Mullin, dalam rancangan Face the Nation terbitan CBS News, apabila ditanya sama ada ia berisiko mengangkat pelaku berkenaan sebagai ‘wira’ dalam perjuangannya.
“Saya rasa orang ramai perlu faham... jika anda serang Amerika, kami akan buru anda, dan kami akan pastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan jenayah dilakukan,” kata Encik Mullin.
Pesalah, Nidal Hasan, 56 tahun, seorang pakar psikiatri dalam Tentera Amerika, telah menembak mati 13 orang dan mencederakan lebih 30 orang dalam satu serangan di pangkalan tentera Fort Hood, Texas, pada 2009.
Serangan tersebut, yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kumpulan pengganas Al-Qaeda, berlaku ketika Amerika masih terlibat dalam peperangan di Afghanistan dan Iraq susulan serangan pengganas pada 11 September 2001.
Lelaki berkenaan bakal menjadi individu pertama yang hukuman matinya dilaksanakan oleh skuad penembak tentera Amerika sejak 1945.
Pelaksanaan hukuman mati itu dijadualkan disiarkan secara awam pada 3 Disember.
Rancangan penyiaran awam itu pertama kali diusulkan oleh Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, dan Pentagon pada 8 Oktober, sekali gus mencetuskan kecaman di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.
Encik Hegseth, sebelum ini berkata keputusan melaksanakan hukuman secara terbuka bertujuan menunjukkan bahawa tindakan pengganasan yang mengorbankan nyawa membawa akibat yang berat.
Encik Trump kemudian tidak memberi kepastian sama ada hukuman mati itu akan disiarkan secara awam atau tidak.
Apabila Encik Mullin diajukan dengan soalan bertubi-tubi mengenai siaran langsung itu pada 11 Oktober, beliau memberitahu CBS:
“Tiada siapa yang dipaksa menonton (siaran hukuman mati itu) jika mereka enggan menontonnya.”
Beliau menambah bahawa Encik Trump sedang “memimpin negara ini dengan pendekatan yang sangat berani, tegas, dan telus, serta sedang memulihkan nilai Amerika dan membawa kita... ke tempat di mana Amerika sepatutnya berada.”
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham mengecam kemungkinan pelaksanaan hukuman mati secara terbuka di Amerika itu sebagai sesuatu yang “amat menjijikkan”.
“Ia sesuatu yang tidak pernah saya ingin lihat (berlaku) di mana-mana di dunia,” katanya dalam satu rancangan podcast popular di Britain, The Rest is Politics. – AFP.